Kestabilan Kewangan
Kepentingan Kestabilan Kewangan
Ketidakstabilan kewangan dan kesannya terhadap ekonomi boleh melibatkan kos yang sangat tinggi disebabkan oleh kesan penularan atau limpahan kepada bahagian lain dalam ekonomi. Malah, keadaan ini boleh menyebabkan krisis kewangan dan memberikan kesan-kesan yang buruk terhadap ekonomi. Oleh itu, adalah penting untuk mempunyai sistem kewangan yang kukuh, stabil dan teguh bagi menyokong peruntukan sumber dan pengagihan risiko yang cekap ke seluruh ekonomi.
Salah satu objektif utama bank pusat adalah untuk menggalakkan dan mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan kerana keadaan ini akan mewujudkan ekonomi yang kukuh dan pertumbuhan yang mampan. Bank Negara Malaysia (Bank) melaksanakan tanggungjawabnya untuk menggalakkan sistem kewangan Malaysia yang kukuh dan cekap dengan memelihara keutuhan institusi kewangan dan kekukuhan infrastruktur kewangan bagi membolehkan negara menghadapi kitaran ekonomi yang buruk dan juga kejutan, sekali gus menghalang gangguan yang tidak dijangka terhadap proses pengantaraan serta mengekalkan keyakinan dalam sistem kewangan. Matlamat ini dicapai terutamanya melalui pengawalan dan penyeliaan ke atas institusi kewangan berlesen, dengan memastikan kebolehpercayaan yang berterusan terhadap sistem pembayaran dan penyelesaian utama, di samping menyumbang secara aktif kepada pembangunan pasaran kewangan yang cekap.
Bank juga sentiasa berwaspada terhadap trend dan cabaran yang baharu muncul terhadap sistem kewangan Malaysia yang boleh menjejaskan kestabilan kewangan, dengan menggembleng sumber yang banyak ke arah melaksanakan proses penyeliaan yang mantap yang bertujuan mengenal pasti kelemahan dan menyokong tindakan awal untuk menghalang gangguan sistemik.