Kestabilan Kewangan
Penyeliaan
Dalam persekitaran yang berubah-ubah dengan pantas dan risiko baharu terus timbul disebabkan oleh integrasi dalam pasaran kewangan global, adalah penting sistem kewangan negara dipelihara dengan baik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Oleh itu bagi memastikan sistem kewangan stabil, selain rangka kerja pengawalseliaan yang berkesan, adalah penting untuk mengekalkan keselamatan dan kekukuhan institusi kewangan. Ini adalah untuk mengelakkan kegagalan perbankan yang mungkin memberikan kesan buruk terhadap kegiatan ekonomi.
Tanggungjawab untuk memastikan institusi kewangan terus selamat, kukuh dan mantap terletak pada fungsi penyeliaan Bank Negara Malaysia. Untuk terus mencapai tahap kecekapan dan keberkesanan yang lebih tinggi dalam melaksanakan peranan penyeliaannya, Bank Negara Malaysia telah menjalankan kajian menyeluruh terhadap fungsi penyeliaan dan pengawalan kewangan bagi memastikan jabatan-jabatannya terus menyokong pencapaian hasil strategik dan matlamat yang dihasratkan. Langkah penjajaran semula khususnya telah membolehkan jabatan penyeliaan memainkan peranan sebagai penyelia ke atas fungsi dan jenis institusi; suatu peralihan daripada peranan penyeliaan sebelumnya iaitu terbatas kepada sektor tertentu. Ini bertujuan untuk mencapai pendekatan penyeliaan yang lebih bersepadu dan menyeluruh dengan keupayaan untuk mengenal pasti trend dan kelemahan yang mungkin timbul serta dapat memahami hubungan dinamik antara pelbagai jabatan dan fungsi mereka.
Fungsi Sektor Penyeliaan ini adalah untuk membangun, mempertingkat dan melaksanakan rangka kerja penyeliaan berasaskan risiko yang mampan, progresif dan teguh ke atas institusi kewangan yang di bawah bidang kuasa mereka, untuk memastikan keselamatan dan kekukuhan institusi tersebut untuk menerima pakai amalan terbaik, tadbir urus yang mantap dan pengurusan risiko yang sewajarnya. Tanggungjawab Jabatan Penyeliaan adalah seperti yang berikut:
- Penyeliaan Konglomerat Kewangan: Penyeliaan ke atas konglomerat kewangan domestik
- Penyeliaan Perbankan: Penyeliaan ke atas bank-bank asing, bank pelaburan kendiri dan semua bank Islam termasuk anak syarikat perbankan Islam bank tempatan
- Penyeliaan Insurans dan Takaful: Penyeliaan ke atas syarikat-syarikat insurans, syarikat-syarikat insurans semula, pengendali takaful, pengendali takaful semula serta pengendali takaful antarabangsa
Walaupun pendekatan penyeliaan sektor secara khusus dikekalkan, rangka kerja pelaporan secara matriks diterima pakai untuk penyeliaan institusi kewangan yang merupakan sebahagian daripada konglomerat kewangan. Ini adalah untuk membolehkan satu pendekatan penyeliaan dan penilaian profil risiko yang bersepadu dilaksanakan ke atas kumpulan institusi yang meliputi sektor perbankan dan insurans.
Memandangkan terdapatnya kegiatan perbankan yang semakin kompleks, kemunculan faktor-faktor risiko baharu dan landskap kewangan yang berubah-ubah, wujud keperluan untuk pakar risiko kewangan menjalankan penilaian risiko pada peringkat institusi itu sendiri dan juga pada keseluruhan sistem. Oleh itu,unit pakar risiko khusus mengenai risiko kredit, pasaran, operasi, insurans dan teknologi telah ditubuhkan dalam jabatan penyeliaan untuk menyokong sektor pengawalan dan penyeliaan. Melalui pemantauan dan pemeriksaan ke atas perkembangan dan trend risiko dalam sistem kewangan, unit ini memberi input dan sokongan kepada pembangunan dasar, fungsi penyeliaan dan penyeliaan kehematan makro berhubung dengan amalan pengurusan risiko.