Kestabilan Kewangan
Pengawalan Berhemat
Sebagai sebahagian daripada mandat Bank Negara Malaysia (Bank) untuk memelihara kestabilan kewangan, Bank bertanggungjawab untuk melaksanakan pengawalan berhemat ke atas institusi kewangan di bawah bidang kuasanya. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, terdapat perubahan asas dalam landskap kewangan dengan meningkatnya kepelbagaian peserta sektor kewangan; hubungan subsektor perbankan, insurans dan pasaran modal yang lebih erat dan garis pemisah antara mereka yang semakin kabur; inovasi kewangan yang lebih tinggi yang menghasilkan pertambahan produk dan perkhidmatan baharu; kewangan berasaskan pasaran yang semakin penting; dan integrasi kewangan global yang semakin meluas. Satu keutamaan penting bagi Bank Negara Malaysia ialah untuk mengekalkan rangka kerja pengawalseliaan yang teguh, cekap dan berkesan dan responsif kepada keadaan ekonomi yang berubah-ubah bagi mengekalkan daya tahan institusi kewangan, di samping menyediakan persekitaran kondusif untuk inovasi dan pengembangan kewangan.
Rangka kerja pengawalseliaan berhemat menekankanprinsip-prinsip amalan kewangan dan perniagaan yang tinggi, serta tanggungjawab lembaga pengarah dan pengurusan kanan institusi kewangan untuk menguruskan risiko sejajar dengan strategi perniagaan institusi masing-masing dan dengan cara yang wajar dengan keadaan dan dedahan institusi mereka. Pendekatan ini memastikan rangka kerja pengawalseliaan yang lebih kukuh terhadap ragam keadaan pasaran yang berubah-ubah di samping memberikan fleksibiliti kepada institusi kewangan untuk beroperasi selaras dengan matlamat strategik, model perniagaan,saiz dan profil risiko institusi itu sendiri.
Peraturan dan keperluan preskriptif masih dikekalkan dalam bidang-bidang tertentu yang diperlukan untuk memelihara kestabilan dalam sistem kewangan dan mengelakkan kesan bersaingan yang tidak teratur dalam sistem. Ini termasuk keperluan kecukupan modal minimum, had kehematan dalam pengambilan risiko yang berlebihan, panduan khusus mengenai piawaian pengurusan yang kukuh (contohnya untuk sektor yang kurang maju atau aktiviti-aktiviti kewangan baharu) dan keperluan pengawalseliaan untuk menangani risiko yang sedia ada dan yang bakal dihadapi (contohnya syarat-syarat yang dikenakan semasa kesukaran).
Rangka kerja pengawalan berhemat sentiasa disemak semula dan dikemas kini untuk menyesuaikan dengan realiti pasaran yang berubah-ubah dan mengambil kira perkembangan dalam piawaian dan panduan antarabangsa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Basel berhubung dengan Penyeliaan Perbankan, Persatuan Antarabangsa Penyelia Insurans dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam.