Pembangunan Sektor Kewangan
Matlamat utama Bank Negara Malaysia (BNM) adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Untuk tujuan ini, BNM memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sektor kewangan yang progresif dan terangkum yang memerlukan asas-asas teras kestabilan kewangan yang terus terpelihara pada setiap masa, sekali gus memastikan pengantaraan kewangan yang cekap dan berkesan serta menyumbang kepada pencapaian matlamat pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.
Peneraju utama kepada proses pembangunan sektor kewangan ialah dua pelan induk 10 tahun, yang menyediakan asas kepada pertumbuhan sektor kewangan yang seimbang, terangkum dan mampan. Pelan Induk Sektor Kewangan (PISK), bagi tempoh 2001 - 2010, menyediakan asas pembangunan sektor kewangan yang teratur, bermula dengan pembinaan keupayaan institusi pengantara domestik dan pembangunan infrastruktur kewangan domestik. Ini diikuti oleh usaha untuk mewujudkan persekitaran yang lebih kompetitif sejajar dengan sektor kewangan yang pengawalseliaannya lebih longgar dan lebih berorientasikan pasaran. Setakat ini, semua saranan di bawah PISK telah atau sedang dilaksanakan secara berterusan.
Pelan Induk kedua, iaitu Pelan Sektor Kewangan (PSK) dikeluarkan pada tahun 2011 untuk tempoh 2011- 2020. PSK dirumuskan berdasarkan pencapaian PISK untuk mewujudkan ekosistem kewangan yang terbaik kepada ekonomi Malaysia yang bercirikan nilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi, di samping meningkatkan peranannya dalam dalam memenuhi keperluan kewangan yang kian meningkat di rantau Asia yang sedang pesat membangun ini. Inisiatif akan diteruskan untuk memperkukuh hubungan sektor kewangan dan menyokong integrasi antara rantau supaya pengantaraan lebihan dana berfungsi secara cekap dan berkesan untuk memanfaatkan peluang pelaburan yang luas di rantau Asia. Satu bahagian penting ialah pengantarabangsaan kewangan Islam dan pembangunan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.
Saranan-saranan dalam PSK tertumpu pada sembilan bidang utama yang disokong oleh 69 saranan dan lebih daripada 200 inisiatif. Bidang tumpuan PSK ialah:
- Pengantaraan yang berkesan ke arah pembentukan ekonomi bernilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi;
- Membangunkan pasaran kewangan yang meluas dan dinamik;
- Perkongsian kemakmuran yang lebih meluas melalui rangkuman kewangan;
- Mengukuhkan integrasi kewangan serantau dan antarabangsa;
- Pengantarabangsaan kewangan Islam;
- Memelihara kestabilan sistem kewangan;
- Mencapai kecekapan ekonomi yang lebih tinggi melalui pembayaran elektronik;
- Memperkasakan pengguna; dan
- Pembangunan tenaga mahir untuk sektor kewangan.
Bagi dekad yang akan datang, sektor kewangan dijangka berkembang melangkaui peranannya sebagai penggerak pertumbuhan kepada pemacu dan pemangkin utama pertumbuhan ekonomi, dengan pertumbuhan sistem kewangan ditegarkan (anchored) kepada pertumbuhan sektor benar. Berdasarkan unjuran pertumbuhan ekonomi untuk dekad yang akan datang, dijangka sistem kewangan akan berkembang pada kadar tahunan 8% hingga11%, iaitu peningkatan sehingga enam kali ganda keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2020 (2010: 4.3 kali ganda daripada KDNK). Pada masa yang sama, sumbangan sektor kewangan kepada KDNK nominal dijangka meningkat daripada 8.6 peratus daripada KDNK pada tahun 2010 kepada antara 10 hingga 12 peratus menjelang tahun 2020.