Sasana Symposium 2024 mengetengahkan sokongan seluruh negara bagi melaksanakan pembaharuan struktur
Embargo :12 Jun 2024
Sasana Symposium 2024 (SS2024) anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) mengetengahkan sokongan seluruh negara dalam melaksanakan pembaharuan struktur yang sangat penting. Persidangan dua hari ini diadakan di Sasana Kijang.
Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menekankan komitmen Kerajaan terhadap pembaharuan struktur dalam ucaptamanya. Kata beliau, ¡°Kesemua pembaharuan struktur ini sedang dilaksanakan bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu, memupuk perkembangan jangka panjang dan memperkukuh daya tahan terhadap kejutan masa hadapan serta pada masa yang sama merebut peluang yang baru muncul. Meskipun semua usaha ini secara lumrahnya rumit, kami komited untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi menyempurnakan pembaharuan ini.¡±
Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ¡°Keperluan untuk pembaharuan adalah sangat jelas. Para penggubal dasar kini mempunyai pandangan yang lebih jelas tentang landasan menuju sebuah Malaysia yang lebih berdaya saing dan inklusif. Tempoh kestabilan makroekonomi yang secara relatif stabil pada masa ini memberi kita peluang unik untuk melaksanakan pembaharuan yang bermakna dan membina masa depan yang lebih cerah. Kita perlu bersatu untuk menjadikan pembaharuan ini satu realiti bagi Malaysia.¡±
Sasana Symposium merupakan persidangan perdana tahunan BNM. Persidangan pada tahun ini diadakan sepanjang dua hari bagi meluaskan perbincangan mengenai isu makroekonomi dan sosioekonomi serta memberikan manfaat kepada lebih banyak peserta. Terdapat 24 Sesi Panel, Sembang Santai dan Bengkel yang menampilkan ahli panel termasuk menteri, pegawai Kerajaan, ahli ekonomi, ahli akademik serta pemimpin daripada industri dan masyarakat madani. Ketahui lebih lanjut mengenai program ini menerusi bnm.gov.my/ss2024.
Salah satu sorotan utama SS2024 ialah pameran oleh usahawan mikro yang memperoleh manfaat daripada program kewangan sosial iTEKAD. Sebanyak 13 perniagaan yang disokong oleh pebagai institusi kewangan telah mempamerkan produk mereka di SS2024. iTEKAD telah menyediakan pembiayaan campuran serta latihan kepada lebih enam ribu usahawan mikro yang berpendapatan rendah supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan.
Bersempena dengan ulang tahun BNM yang ke-65, SS2024 turut menampilkan pameran imersif yang mengetengahkan rentetan sejarah Bank Negara Malaysia dalam usaha menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan Malaysia.
Pameran ¡°Masih Ada Waktu: Sediakan Payung Sebelum Hujan¡± juga telah dilancarkan sebagai acara sampingan di SS2024. Pameran ini bertujuan menyemai amalan menyimpan serta meningkatkan tahap kesedaran kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pameran ini akan berlangsung hingga 31 Januari 2025 di Aras 2, Muzium dan Galeri Seni.
Bank Negara Malaysia
12 Jun 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.