Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Alu-aluan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Sasana Symposium 2024
12 Jun 2024 | Sasana Kijang
Selamat datang ke Bank Negara Malaysia, dan selamat datang ke Sasana Symposium.
Simposium tahun lalu yang julung kali diadakan telah menekankan keperluan pembaharuan struktur untuk membina Malaysia yang lebih kukuh. Sehubungan dengan itu, tumpuan pada tahun ini adalah bagaimana kita boleh mengembangkan lagi pembaharuan struktur yang penting ini, lantas menjadikannya suatu realiti.
Keperluan untuk pembaharuan adalah jelas. Persekitaran ekonomi kita sentiasa berubah. Oleh itu, dasar kita perlu berkembang seiring dengan risiko dan kelemahan yang dikenal pasti. Pembaharuan yang merangkumi tanggungjawab fiskal, penambahbaikan jaringan keselamatan sosial serta peningkatan daya tahan iklim adalah mustahak untuk pertumbuhan negara kita yang mampan serta untuk kesejahteraan rakyat.
Berdasarkan iktibar yang diperoleh sejak beberapa tahun lalu dan cabaran yang mendatang, para penggubal dasar kini mempunyai pandangan yang lebih jelas tentang landasan menuju sebuah Malaysia yang lebih berdaya saing dan inklusif. Tempoh kestabilan makroekonomi yang secara relatif stabil pada masa ini memberi kita peluang unik untuk melaksanakan pembaharuan yang bermakna dan membina masa depan yang lebih cerah. Contohnya, peralihan daripada subsidi menyeluruh, termasuk untuk diesel, kepada sokongan yang lebih bersasar kepada mereka yang memerlukan perlu dialu-alukan sebagai langkah yang positif ke arah dasar yang lebih adil dan mampan seiring dengan membina ruang dasar fiskal. Kita tidak boleh, dan tidak seharusnya, menganggap bahawa peluang ini akan sentiasa terbuka untuk negara. Kita perlu bersatu untuk menjadikan pembaharuan ini satu realiti bagi Malaysia.
Namun begitu, tatkala kita melaksanakan pembaharuan penting ini, terdapat beberapa persoalan yang perlu kita jawab.
Pertama, bagaimana kita boleh memanfaatkan trend global yang baru muncul untuk kepentingan Malaysia?
Kedua, bagaimana kita memastikan bahawa pembaharuan yang diperlukan dapat memberikan manfaat jangka panjang yang mampan di samping menangani isu-isu jangka pendek?
Ketiga, bagaimana kita boleh membina dan menggalakkan kewangan yang lebih lestari, berkesedaran sosial dan adil untuk isi rumah serta perniagaan?
Saya pasti bahawa semua persoalan ini sememangnya berada dalam fikiran hadirin, baik ahli panel mahupun peserta, dan kita ingin mendapatkan jawapannya. Meskipun tiada jawapan yang mudah, perbincangan dan dialog sepanjang dua hari yang akan datang ini bertujuan untuk membantu kita maju ke hadapan. Kami berhasrat untuk menyediakan platform yang membolehkan kita meneliti bersama-sama mengenai isu-isu dan realiti yang dihadapi dalam ekonomi, mencari titik persamaan dan mencabar persepsi, Seterusnya melalui proses ini, kita memperteguh tekad untuk menjadikan pembaharuan ini suatu realiti. Simposium ini akan membincangkan isu semerta seperti meningkatkan daya tahan luaran, serta isu-isu struktur jangka panjang seperti pasaran pekerja Malaysia dan peranan kewangan dalam ekonomi negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Matlamat Sasana Symposium bukan sekadar ucaptama dan perbincangan teknikal yang mendalam. Simposium ini juga akan mengetengahkan bahawa pembaharuan dan dasar bukan sekadar konsep dan idea abstrak, malah pembaharuan mampu memberikan kesan positif pada kehidupan rakyat Malaysia.
Contohnya, program iTEKAD yang merupakan program kewangan sosial yang kami lancarkan semasa kemuncak pandemik telah menunjukkan kemajuan. Kami sukacita ingin berkongsi pada hari ini bahawa lebih enam ribu perniagaan kecil dan mikro telah mendapat manfaat daripada iTEKAD, dengan peningkatan hampir 90% dalam jualan bulanan dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam komuniti mereka. Saya mengundang para hadirin untuk singgah ke iTEKAD Marketplace di ruang legar Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia untuk bertemu dengan usahawan mikro yang telah mendapat manfaat daripada program iTEKAD. Program iTEKAD ialah contoh insaniah tentang bagaimana sektor awam dan swasta boleh bergabung tenaga untuk menghasilkan impak yang bermakna serta berpanjangan dalam kehidupan dan mata pencarian rakyat Malaysia.
Para hadirin sekalian,
Sasana Symposium pada asalnya lahir sebagai platform untuk membincangkan isu-isu penting dan penyelidikan dalam penerbitan utama kami, iaitu Laporan Tahunan, Tinjauan Ekonomi dan Monetari serta Tinjauan Kestabilan Kewangan. Pengalaman kami pada tahun lalu membuktikan bahawa Simposium ini ialah ruang yang berkesan untuk kita berinteraksi dengan orang ramai melalui dialog yang bermakna, serta saling bertukar pandangan tentang tugasan dan pemikiran kita bagi menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan demi pertumbuhan ekonomi yang mampan di Malaysia. Saya berharap melalui Sasana Symposium ini, para hadirin akan lebih memahami dan menghargai usaha kami, dan pada masa yang sama menghayati peranan masing-masing ke arah memastikan masa hadapan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.
Terima kasih.