Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Pembukaan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Forum Perniagaan MIFC-UK
Hyatt Regency London ¨C The Churchill | 10 September 2024
Assalamualaikum dan selamat pagi,
Pertama sekali, izinkan patik merafak sembah takzim menjunjung kasih atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang sudi mencemar duli berangkat ke forum kami pada hari ini, serta sokongan dan mutiara kepimpinan yang tidak berbelah bahagi Ke Bawah Duli Tuanku dalam usaha memajukan sektor kewangan Islam. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Nazrin, dalam pelbagai peranan baginda termasuk sebagai Penaung Diraja Inisiatif Kewangan Islam Malaysia dan penglibatan dalam usaha-usaha kemanusiaan pada peringkat global, terus menjadi inspirasi kepada kita semua. Selama bertahun-tahun, Duli Yang Maha Mulia Tuanku aktif memperjuangkan potensi transformasi kewangan Islam dan kewangan sosial dalam menangani cabaran mendesak yang dihadapi dunia pada hari ini, antara lain kemiskinan tegar, perubahan iklim dan pemindahan manusia secara terpaksa (human displacement) akibat konflik geopolitik. Pada hari Sabtu lalu di Sidang Meja Bulat SC-OCIS ke-15, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan menyampaikan titah menyeru kepada pemulihan nilai-nilai kemanusiaan dalam kewangan, menekankan kepentingan untuk menyeimbangkan dengan lebih rapi antara matlamat utama pertumbuhan ekonomi dengan matlamat kepimpinan pemuliharaan alam sekitar serta rangkuman sosial. Seperti anda semua, saya juga menantikan mutiara pemikiran dan perspektif daripada nukilan titah Ke Bawah Duli Tuanku sebentar lagi.
Saya berbesar hati mengalu-alukan kehadiran anda semua ke Forum Perniagaan MIFC-UK. Pada hari ini, kita berkumpul di sini bukan sahaja untuk bertukar-tukar idea, malah untuk membina hubungan yang bermakna dan meneroka perkara yang boleh kita lakukan bersama bagi memacu kewangan Islam. Malaysia dan UK telah lama menjalinkan hubungan ekonomi dan kewangan yang kukuh. UK sentiasa menjadi rakan kerjasama yang penting bagi Malaysia. Kami berharap agar kesalinghubungan ini dapat membuka jalan untuk kerjasama yang inovatif dalam kewangan Islam, kelestarian dan perdagangan bagi mengukuhkan lagi ekonomi kedua-dua negara.
Izinkan saya berkongsi beberapa pemerhatian mengenai landskap dan prospek ekonomi Malaysia yang menawarkan banyak peluang kepada para pelabur.
Selama bertahun-tahun, Malaysia telah mengharungi cabaran yang belum pernah dihadapi dengan penuh ketelitian. Bukan sahaja krisis seperti Krisis Kewangan Asia, Krisis Kewangan Global dan pandemik COVID-19, justeru landskap ekonomi yang sentiasa berubah, geopolitik global dan serantau serta perubahan landskap dalam negeri. Dalam semua keadaan, pasaran kewangan Malaysia kekal teratur dan asas ekonomi terus kukuh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan serta sektor luaran yang mantap. Dalam aktiviti perdagangan, Malaysia kini merupakan negara pengeksport ke-20 terbesar di dunia. Gabungan produk eksport serta rakan dagangan Malaysia juga sangat pelbagai. Daya tahan Malaysia turut didorong oleh lebihan akaun semasa, hutang luar negeri yang terkawal, kedudukan aset luaran bersih yang positif dan tahap rizab antarabangsa yang mencukupi. Hari ini, pertumbuhan ekonomi Malaysia terus didorong oleh penggunaan swasta yang kukuh, pelaburan yang giat berkembang dan peningkatan permintaan luaran. Pada tahun 2024, kami menjangkakan pertumbuhan KDNK akan lebih hampir dengan had atas julat unjuran antara 4% hingga 5%. Seperkara yang menarik ialah pelaburan yang giat berkembang. Perkembangan ini disumbangkan oleh projek baharu dan projek jangka panjang yang terus dilaksanakan yang melibatkan sektor awam dan swasta, kemajuan selanjutnya dalam projek infrastruktur utama dan pelaksanaan pelaburan yang diluluskan. Bahagian pelaburan dalam KDNK meningkat kepada 22.2% pada suku kedua tahun 2024 berbanding 19.7% pada tahun 2022. Perkembangan ini merupakan bukti bahawa Malaysia ialah destinasi pelaburan yang sangat menarik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Seterusnya, izinkan saya berkongsi wawasan kami agar sektor kewangan memainkan peranan penting bagi merealisasikan aspirasi ekonomi Malaysia. Banyak aliran yang diperhatikan memasuki pelaburan berkualiti tinggi yang selaras dengan aspirasi pelaburan negara, termasuklah meningkatkan kompleksiti ekonomi Malaysia lantas mendorong aktiviti dengan nilai tambah yang tinggi, menjana pekerjaan berpendapatan tinggi dan mewujudkan jalinan ekonomi yang kukuh di dalam negeri serta pada peringkat global. Kami juga mendapati kewangan mampan dan kewangan Islam sebagai pemacu penting untuk memenuhi keperluan pendanaan ekonomi serta berfungsi sebagai gerbang antarabangsa bagi pelaburan patuh Syariah untuk pasaran Asia dan OIC.
Pada teras kewangan Islam terdapat prinsip keadilan, rangkuman, daya tahan dan kelestarian iaitu nilai-nilai yang amat penting dalam landskap ekonomi hari ini. Di Malaysia, kewangan Islam berteraskan strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation, VBI) dan rangka kerja Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment, SRI). Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bekerjasama secara aktif untuk menyepadukan kewangan Islam dengan inisiatif kewangan hijau dan mampan bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor pertumbuhan baharu. Pembangunan ini dibina atas kemajuan yang dicapai selama lebih empat dekad (sejak kewangan Islam diperkenalkan di Malaysia) dalam membangunkan ekosistem kewangan yang progresif, inklusif dan berdaya tahan.
Malaysia juga sedang melaksanakan langkah-langkah untuk mencapai sasaran Sifar Bersih pada tahun 2050, berpandukan rangka kerja strategik seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR), Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (Hydrogen Economy and Technology Roadmap, HETR), dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan, NIMP). Bagi sektor kewangan, Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim atau JC3 ditubuhkan sebagai platform kerjasama antara pengawal selia dengan peserta industri, termasuk peserta kewangan Islam, untuk membina daya tahan iklim dalam sistem kewangan Malaysia. Melalui JC3, kami sedang meluaskan lagi projek rintis pembiayaan iklim seperti Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC) dan Penghijauan Taman Perindustrian (Greening Industrial Parks, GIP). Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja memberikan dorongan kepada prospek pelaburan kami tetapi turut menekankan komitmen kami terhadap amalan yang mampan dan inklusif, selaras dengan rangka kerja ekonomi Kerajaan.
Hadirin sekalian,
Sebagai penutup, saya benar-benar yakin bahawa forum kita pada hari ini dapat membuka jalan untuk mencapai dua hasil utama:
Saya berharap agar forum ini menjadi wadah perbincangan yang produktif dan akan menghasilkan kerjasama yang bermakna.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama kami, iaitu Islamic Finance Council UK, TheCityUK, dan UK Islamic Finance - Halal Economy Hybrid Group atas sokongan padu mereka dalam merealisasikan forum ini. Setinggi-tinggi penghargaan saya juga kepada rakan-rakan kerjasama dari Malaysia, iaitu Majlis Kepimpinan MIFC, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, agensi-agensi kerajaan dan peserta industri yang telah bekerja keras untuk menganjurkan acara ini.
Demikian berakhirnya sembah ucapan patik. Dengan penuh hormat takzimnya patik merafak sembah menjunjung kasih mempersilakan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Shah untuk menyempurnakan titah perasmian yang bertajuk ¡°Sustainable Future: Leading the Change.¡±
Terima kasih.
Bank Negara Malaysia
10 September 2024