Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucaptama Timbalan Gabenor Adnan Zaylani
di Majlis Pelancaran Hijrah27 MTA
Sasana Kijang | 8 November 2024
Saya amat berbesar hati berada di sini bersama-sama dengan para pemimpin yang berwawasan, dahulu dan sekarang, yang memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan dan pembangunan industri takaful di Malaysia sepanjang empat dekad ini. Takaful bukan sekadar perlindungan kewangan, tetapi pada terasnya, takaful berpaksikan prinsip kerjasama, kebersamaan dan tanggungjawab bersama. Daripada permulaan yang sederhana, pasaran takaful telah berkembang pesat dengan saiz sumbangan takaful meningkat hampir tiga kali sepanjang dekad yang lalu dan kini mencakupi 24.7% daripada bahagian pasaran insurans dan takaful[1] . Industri takaful telah membangun dengan keupayaan peserta industri dan penawaran produk yang berkembang bagi memenuhi pelbagai keperluan isi rumah dan perniagaan. Pada tahun 2023, jumlah sumbangan takaful bersih meningkat kepada RM17.3 bilion, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6% berbanding tahun sebelumnya.
Meskipun banyak yang telah dicapai, industri takaful berpotensi untuk melangkah lebih jauh, terutamanya memainkan peranan yang lebih besar bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan serta mendukung keadilan sosial. Walaupun berhadapan dengan rintangan dan ketidaktentuan global, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, dengan peningkatan momentum ekonomi yang menggalakkan. Berdasarkan pencapaian separuh pertama 2024 yang kukuh, pertumbuhan tahunan dijangka menghampiri paras tertinggi julat unjuran 4% hingga 5% dan prestasi ini akan berterusan pada tahun 2025. Prospek pertumbuhan ini, berserta dengan usaha pembaharuan struktur oleh Kerajaan yang sedang dilaksanakan, rasionalisasi subsidi dan penambahbaikan perlindungan sosial, telah menyediakan peluang yang besar dan luas kepada industri takaful untuk berkembang dan membawa perubahan yang bermakna.
Melihat kepada perkembangan positif ini, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Takaful Malaysia (Malaysian Takaful Association, MTA) dan anggotanya atas usaha yang berterusan dan bersepadu dalam merangka dan menyokong pertumbuhan industri takaful. Pelancaran Hijrah27, iaitu pelan strategik tiga tahun, yang tepat pada masanya telah meletakkan asas bagi merangka hala tuju masa hadapan yang jelas, selaras dengan visi untuk menjadikan produk takaful sebagai penyelesaian arus perdana bagi memenuhi keperluan perlindungan rakyat Malaysia.
Tiga keperluan utama dalam memandu usaha industri
Tuan-tuan dan puan-puan,
Izinkan saya untuk membaca petikan daripada kata pengantar Gabenor dalam Hijrah27. ˇ°Masih terdapat jurang perlindungan yang ketara di Malaysia, terutamanya dalam kalangan segmen yang mudah terjejas serta antara lainnya, penyelesaian perlindungan risiko iklim. Penggunaan pengantaraan berasaskan nilai untuk takaful (Value-based Intermediation for Takaful, VBIT) yang berkesan, dipandu oleh nilai-nilai asas Syariah, akan menjadi teras kepada usaha industri untuk memacu pertumbuhan dan pada masa yang sama menyediakan penyelesaian yang bermakna kepada isi rumah dan perniagaan.ˇ± Dalam usaha merapatkan jurang tersebut, saya ingin mengetengahkan tiga keperluan utama sebagai panduan kepada usaha industri untuk melangkah ke hadapan.
Pertama, penerapan Maqasid Syariah melalui pelaksanaan VBIT yang berkesan. Maqasid Syariah menjadi keutamaan bagi kewangan Islam dan berfungsi sebagai kompas yang memastikan semua aspek perniagaan mematuhi prinsip-prinsip asas keadilan, ketelusan dan keterangkuman. Walau bagaimanapun, di sebalik usaha mengejar pertumbuhan, pengembangan dan persaingan, usaha untuk memastikan nilai-nilai ini kekal sebagai keutamaan adakalanya mencabar. Terbitan Kad Skor Maqasid Syariah (Maqasid Shariah Scorecard, MSS) baru-baru ini menggalakkan pengendali takaful untuk memastikan keselarasan dengan nilai-nilai ini. MSS menyediakan alat untuk pengendali takaful menilai sendiri kemajuan mereka dalam pelaksanaan VBIT serta mengukur aspek seperti ketelusan, rangkuman kewangan dan sumbangan kepada masyarakat, iaitu semua faktor yang membantu mencerminkan takaful yang sebenar. Pengendali takaful perlu menghayati MSS sebagai komitmen kepada visi sistem kewangan Islam yang meletakkan manfaat kepada masyarakat sebagai terasnya. Hal ini harus diterjemahkan melalui keutamaan takaful sosial sebagai tumpuan utama untuk inovasi berasaskan nilai dalam sektor takaful.
Kedua, memperkukuh keupayaan takaful dan takaful semula (retakaful). Pembangunan takaful menawarkan peluang yang besar bagi pertumbuhan takaful semula. Tersirat dalam konsep perkongsian risiko, takaful semula meningkatkan keupayaan pengunderaitan risiko takaful melalui peningkatan skala dan kepelbagaian risiko. Hal ini membolehkan pengendali takaful menguruskan risiko yang berubah-ubah dengan lebih baik. Dengan peserta domestik dan global yang kukuh, Malaysia bersedia untuk memudahkan perniagaan merentas sempadan dan berfungsi sebagai hab takaful semula pada peringkat serantau dan global. Peserta takaful semula, melalui kerjasama dengan pengendali takaful, perlu mengkaji tawaran yang merangkumi segmen belum diberikan perkhidmatan seperti penyelesaian penjagaan jangka panjang, pertanian, iklim dan daya tahan sosial yang selaras dengan aspirasi Malaysia International Islamic Finance Centre (MIFC). Pengoptimuman takaful semula di dalam Malaysia juga dapat menyokong peningkatan keupayaan bagi menguruskan risiko yang baru muncul. Pendekatan ini membolehkan industri takaful bertindak balas dengan berkesan bagi memenuhi keperluan pasaran yang unik di Malaysia, di samping mengurangkan kebergantungan dan turun naik dalam pasaran insurans semula global.
Ketiga, meletakkan Malaysia sebagai peneraju pasaran takaful dan takaful semula, dengan keupayaan untuk memperluas kehadiran dalam pasaran dan mengeksport kepakaran. Tahun hadapan merupakan tahun yang penting buat Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Hal ini membuka peluang yang besar untuk Malaysia secara aktif memantapkan kerjasama serantau di seluruh Asia Tenggara terutamanya dalam sektor yang sangat penting termasuk takaful dan takaful semula. Sebagai perintis dalam sektor takaful, Malaysia berada pada kedudukan yang amat baik untuk menerajui usaha sama dan memacu inisiatif yang mampan melalui penyepaduan serantau yang lebih erat dalam takaful dan takaful semula. Langkah ini memberikan manfaat kepada komuniti di seluruh Asia Tenggara serta menyokong matlamat pembangunan jangka panjang untuk rantau ini. Saya menyeru industri takaful untuk mengambil tindakan dalam hal ini dan merangka strategi bagi memaksimumkan manfaat daripada peluang unik ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) adalah sangat penting dalam memudahkan proses inovasi bagi merungkai seluruh potensi takaful untuk mencapai Maqasid Syariah. Dalam usaha untuk menyemarakkan inovasi, BNM baru-baru ini telah menerbitkan Draf Dedahan Mengenai Aplikasi Ta'awun dan akan menerbitkan Kertas Perbincangan Rangka Kerja Kontrak Syariah yang bertujuan memudahkan penggunaan kontrak Syariah yang pelbagai serta mengkaji model operasi takaful yang baharu. Selain itu, penglibatan penanggung insurans digital dan pengendali takaful digital dalam masa terdekat akan mempercepat pembangunan penyelesaian inovatif dan meluaskan lagi perlindungan takaful untuk merangkumi segmen yang kurang dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan. Belanjawan 2025 baru-baru ini terus menyokong inovasi dalam penyelesaian takaful campuran dengan peruntukan geran untuk dipadankan dengan sumbangan daripada penanggung insurans dan pengendali takaful. Penyelesaian ini bertujuan meningkatkan penyertaan sektor kewangan dalam program iTEKAD dan menjadikan program ini lebih menyeluruh dengan adanya elemen perlindungan kewangan. Oleh itu, saya menyeru pengendali takaful agar bersedia dengan strategi yang berkesan dan bekerjasama untuk mencapai hasil yang dihasratkan dan memacu kejayaan secara kolektif.
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin berkongsi beberapa pandangan mengenai 'Hijrah'. Perlambangan Hijrah sememangnya memberikan makna yang mendalam. Dokumen ini menerangkan pemilihan 'Hijrah' yang memberikan tiga gambaran iaitu untuk mencerminkan simbol kegigihan dan keyakinan, sebagai peluang untuk bermula semula dan bermuhasabah serta lebih khusus lagi untuk takaful memacu peralihan daripada ketidakpastian kepada kestabilan. Sehubungan dengan itu, saya ingin membuat penambahan bahawa 'Hijrah' juga merupakan pengubah keadaan (game changer). Sama seperti hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah yang membolehkan Islam berkembang pesat dan umatnya hidup bebas dan makmur, matlamat Hijrah 27 juga seharusnya untuk menjadi pengubah keadaan bagi industri.
Sekali lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pemimpin industri dahulu dan sekarang yang telah memainkan peranan penting dalam mencorakkan perjalanan takaful pada hari ini. Bak kata pepatah, ˇ°patah tumbuh, hilang bergantiˇ±. Dedikasi mereka yang berterusan telah membolehkan kita mencapai kejayaan baharu dan terus berkembang. Ilmu dan pengalaman mereka menjadi panduan buat kita untuk masa hadapan. Kemajuan setakat ini dicapai menerusi kecekalan dan keazaman serta wacana intelek, akademik dan perundangan. Sambil kita terus berusaha untuk menambah baik dan membuat perubahan, generasi pengamal hari ini perlu sentiasa menoleh ke belakang untuk memperoleh iktibar dan, lebih penting lagi, kebijaksanaan. Dan sentiasalah berdoa dan mendapatkan bimbingan. Semoga Allah memberkati mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan industri takaful di Malaysia. Dengan itu, saya merasmikan majlis ini dan mengucapkan selamat ulang tahun yang ke-40 kepada industri takaful.
Terima kasih.
[1] Setakat akhir tahun 2023