Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucaptama Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid
di Affin Market Outlook
Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur | 30 Januari 2024
Saya berbesar hati untuk bersama-sama dengan para hadirin pada pagi ini. Pertamanya, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Affin Bank kerana mengundang saya untuk menyampaikan ucaptama ini. Tema ˇ°Propelling Malaysia Forwardˇ± atau ˇ°Mendorong Malaysia Majuˇ± merupakan pilihan tema yang baik. Tema ini mendorong kita untuk memikirkan perkara yang menanti serta memberikan inspirasi untuk merangka kedudukan kita pada tahun 2024. Perhimpunan ini berlangsung tepat pada masanya memandangkan kita berada pada permulaan tahun, lantas menjadi platform untuk kita berbincang tentang prospek, peluang dan cabaran baharu yang mengiringi langkah kita untuk meraih dan merealisasikan potensi Malaysia. Izinkan saya untuk berkongsi tentang beberapa prospek dan tawaran unik Malaysia yang akan menetapkan asas untuk kita memastikan tahun 2024 yang kukuh.
Tahun 2023 merupakan tahun yang mencabar bagi kita. Pertumbuhan Malaysia ketara sederhana, dipengaruhi oleh permintaan global yang lemah dan harga komoditi yang rendah berlatarkan keadaan kewangan global yang ketat. Meskipun menghadapi rintangan luaran sebegini, pertumbuhan dalam negeri adalah menggalakkan. Asas perubahan struktur telah ditetapkan apabila kerajaan baharu mula melaksanakan beberapa pembaharuan fiskal dan ekonomi. Memasuki tahun 2024, saya percaya bahawa Malaysia bersedia untuk pertumbuhan yang berterusan dan berada pada kedudukan yang baik untuk meraih peluang dalam bidang-bidang yang baru muncul. Saya juga percaya bahawa kita semua di sini akan memainkan peranan penting untuk ˇ°Mendorong Malaysia Majuˇ±.
Di dalam negeri, prospek ekonomi Malaysia kekal menggalakkan. Ekonomi dijangka berkembang sebanyak 4%-5% tahun ini, seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2024. Meskipun prospek pertumbuhan global adalah sederhana, permintaan dalam negeri diunjurkan mantap dengan sokongan guna tenaga yang berterusan dan pertumbuhan upah selanjutnya. Keadaan ini akan terus digalakkan dengan pasaran pekerja yang kukuh, dengan kadar penyertaan pekerja berada pada tahap tertinggi yang pernah dicapai iaitu 70.1%. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka semakin meningkat. Pada sembilan bulan pertama tahun 2023 sahaja, 14.5 juta pelancong mengunjungi Malaysia. Angka ini adalah lebih tinggi daripada jumlah ketibaan pelancong sepanjang tahun 2022, iaitu 10.1 juta.
Inisiatif kemajuan yang mula digerakkan oleh Malaysia dalam pelbagai bidang juga memberikan keyakinan kepada saya bahawa tarikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan semakin meningkat. Sektor swasta semakin ketara memberikan sumbangan dan menyokong aktiviti pelaburan secara keseluruhan, khususnya dalam industri penting seperti teknologi maklumat dan komunikasi, elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia. Perkembangan projek infrastruktur jangka panjang dan pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR), Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (New Industrial Master Plan 2030, NIMP 2030) serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) akan menjadi batu-batu asas yang sangat penting bagi pertumbuhan. Pelan hala tuju yang jelas dengan sokongan dasar yang mantap akan menjadi faktor-faktor penting ke arah memastikan aktiviti pelaburan yang berterusan dan lancar, yang begitu mustahak untuk membantu kita merealisasikan semua rancangan ini. Pelaksanaan merupakan faktor utama untuk masa hadapan. Sebagai sokongan tambahan kepada hal ini, kita perlu menyahut seruan Perdana Menteri untuk meningkatkan pelaburan langsung dalam negeri kerana kita memikul tanggungjawab bersama untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Usaha untuk mempertingkatkan potensi pertumbuhan dan daya saing global Malaysia tidak akan lengkap tanpa disiplin fiskal. Dari aspek ini, kerajaan telah memberikan komitmen untuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (Fiscal Responsibility Act, FRA). Komitmen ini akan mempertingkatkan kewibawaan dasar fiskal ke arah mencapai kemampanan kewangan awam jangka panjang. FRA mengandungi langkah-langkah seperti mengurangkan defisit fiskal secara beransur-ansur dan pengurangan subsidi bersasar, termasuk inisiatif seperti platform Pangkalan Data Utama (PADU) yang bertujuan menyokong pengagihan subsidi yang bersasar, tepat dan telus. Meskipun pengurangan subsidi mungkin akan menyebabkan kenaikan harga, prospek inflasi pada tahun 2024 kekal agak stabil dengan disokong oleh trend disinflasi pada tahun 2023, apabila inflasi negara mencatatkan purata sebanyak 2.5% pada tahun itu.
Kini, saya akan menyentuh pula mengenai keadaan pasaran kewangan global yang saya percaya akan menjadi kondusif untuk pemulihan prestasi ringgit. Sepanjang dua tahun yang lalu, ringgit dan mata wang serantau telah menghadapi tekanan penurunan nilai berikutan dasar kenaikan kadar faedah yang dilaksanakan secara agresif di negara-negara maju kerana berhadapan dengan tahap inflasi yang berlarutan tinggi. Bagi tahun 2023, nilai ringgit terus menurun, didorong oleh tahap kadar faedah global yang meningkat, kelembapan ekonomi di China dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah. Landskap ini sedang berubah ketika kita memasuki tahun 2024. Inflasi di negara maju mula menunjukkan tanda-tanda berkurang, lantas menunjukkan trajektori dasar monetari yang lebih jelas untuk dilaksanakan. Bank-bank pusat di negara maju kebanyakannya dijangka telah menghentikan kenaikan kadar dan mungkin akan melaksanakan pelonggaran pada akhir tahun ini. Perkembangan ini dijangka mengurangkan tekanan ke atas ringgit. Selain itu, penurunan nilai ringgit sepanjang dua tahun kebelakangan ini, yang telah kami tegaskan berulang kali tidak mencerminkan prestasi dan asas ekonomi dalam negeri, mungkin telah menyebabkan ringgit berada di bawah nilai saksama (undervalued). Tahap ringgit di bawah nilai saksama dan keadaan kewangan global yang semakin reda pada tahun 2024 lantas menjadi asas pemulihan ringgit. Nilai semasa yang rendah sewajarnya menjadi daya tarikan bagi pelabur. Unjuran kesepakatan Bloomberg menunjukkan bahawa ringgit akan lebih kukuh pada tahun 2024. Asas ekonomi yang menggalakkan, termasuk rancangan pembaharuan struktur yang akan dilaksanakan, akan memberikan sokongan selanjutnya terhadap ringgit bagi jangka panjang.
Kita juga boleh menjalankan tanggungjawab kita. Realitinya, tindakan setiap daripada kita turut menyumbang secara kolektif kepada prestasi ringgit. Mari kita jalankan peranan yang aktif dalam usaha menyokong ringgit. Izinkan saya berkongsi tiga cadangan. Pertama, untuk pengeksport dan pengimport. Sememangnya keuntungan tambahan dapat diperoleh daripada pemegangan mata wang asing serta mengambil peluang yang ada daripada trend dan kadar faedah mata wang asing yang lebih tinggi. Namun, tindakan ini tidak akan membantu ringgit. Kebergantungan pada keuntungan pertukaran asing bukan strategi perniagaan yang sesuai diteruskan untuk jangka masa yang lama. Mungkin sudah tiba masanya untuk menilai semula keuntungan ini dan memberikan tumpuan kepada situasi sebenar yang dihadapi, yang boleh menjadi langkah yang lebih bermanfaat. Uruskan penukaran mata wang asing anda kepada ringgit dengan matlamat untuk melindungi dan menyokong ringgit dengan sebaik-baiknya. Kedua, syarikat korporat, syarikat pelaburan dan pelabur institusi pula perlu memberikan lebih tumpuan pada pelaburan domestik. Sesungguhnya, terdapat keperluan yang menuntut pelaburan dihalakan ke dalam negara. Kita mempunyai pasaran bon kerajaan dan korporat yang sangat cair (highly liquid) dengan kadar hasil yang menarik serta pasaran ekuiti yang secara sejarahnya berada di bawah nilai saksama. Keadaan ini lantas menawarkan peluang pelaburan yang menarik. Akan semakin banyak juga peluang pelaburan dalam sektor baharu dan sektor baru muncul. Ketiga dan yang terakhir, kita sebagai pengguna harian juga boleh memainkan peranan dalam urusan seharian. Tindakan ini termasuk mengamalkan sikap mengutamakan keluaran Malaysia, daripada membeli barangan dan perkhidmatan, melancong untuk bercuti hinggalah melabur dalam unit amanah domestik atau pelaburan yang dilindung nilai dalam denominasi ringgit. Jika kita masing-masing memainkan peranan untuk merangsang ekonomi dalam negeri, pemulihan ringgit yang kukuh berada dalam genggaman kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sistem kewangan Malaysia sedia untuk memainkan peranannya untuk mengantara aktiviti pelaburan dan kegiatan ekonomi. Saya gembira melihat bahawa dalam banyak bidang, usaha untuk memperdalam pasaran kewangan dalam negeri selama
bertahun-tahun telah membuahkan hasil seperti yang dibuktikan oleh pasaran pertukaran asing (foreign exchange, FX) dan pasaran bon yang memberangsangkan. Purata hasil jualan FX harian meningkat daripada USD13.7 bilion pada tahun 2022 kepada USD15.6 bilion pada tahun 2023, mencerminkan kedalaman pasaran FX negara yang semakin mantap. Pasaran bon kini mempunyai saiz terkumpul melebihi RM2 trilion dengan pasaran bon kerajaan sebanyak RM1.1 trilion. Lelongan bon kerajaan terus menyaksikan nisbah bida kepada perlindungan (bid-to-cover ratio, BTC) yang sangat kukuh, dengan purata 2.25 kali pada tahun 2023. Sementara itu, jumlah hasil jualan perolehan pasaran sekunder meningkat daripada RM3.4 bilion sehari pada tahun 2022 kepada RM4.4 bilion sehari pada tahun 2023. Penyertaan pelabur bukan pemastautin dalam bon kerajaan kekal teguh dengan pemilikan sebanyak 22.6% pada akhir tahun 2023. Setakat tahun ini, lelongan bon kerajaan telah menerima permintaan yang mantap. Dua minggu yang lalu, pembukaan semula bon GII 5 tahun mencatatkan nisbah BTC sebanyak 4.4, iaitu nisbah BTC tertinggi yang dicatatkan sejak tahun 2016. Saya juga tertarik dengan peningkatan hasil jualan pasaran wang borong pada tahun 2023. Jumlah harian pasaran wang antara bank harian terus meningkat dalam transaksi bercagar dan tidak bercagar, iaitu peningkatan sebanyak 25% kepada RM9.6 bilion pada tahun 2023. Peningkatan ini menunjukkan pasaran wang yang semakin kukuh apabila lebihan dana terus diagihkan semula dengan cekap untuk pengantaraan yang berkesan. Secara keseluruhannya, perkembangan ini menandakan pasaran kewangan yang berfungsi dengan teratur dan bersedia untuk memudahkan pelaburan dan menyokong pertumbuhan yang menggalakkan.
Memandangkan keadaan global dan juga dalam negeri sangat sesuai untuk Malaysia berkembang maju, izinkan saya untuk mengalihkan pandangan kepada industri yang sedang kita terajui pada masa ini. Pada pandangan saya, sangat penting untuk kita memperkukuh kedudukan kepimpinan kita dalam kewangan Islam.
Kewangan Islam merupakan komponen penting dalan sektor kewangan negara yag teguh. Hari ini, Malaysia berbangga menjadi salah satu peneraju dalam landskap kewangan Islam global. Malaysia terus menerajui pasaran sukuk global, dengan mencakupi 43.3% bahagian pasaran sukuk terkumpul global pada tahun 2022[1]. Di dalam negeri, pasaran modal Islam mencakupi 65% bahagian daripada jumlah pasaran modal[2]. Perbankan Islam kini mencakupi 45% daripada jumlah pembiayaan dalam sistem perbankan. Kedudukan ini seiring dengan kehadiran yang lebih kukuh dalam industri takaful, dengan mencakupi hampir suku (24%) daripada bahagian pasaran sumbangan bersih[3]. Berlandaskan kekukuhan ekosistem kewangan Islam negara, kami berhasrat menjadikan Malaysia sebagai gerbang antarabangsa bagi kewangan Islam. Pada masa yang sama, kami akan terus mengoptimumkan peranan kewangan Islam dalam usaha menyokong keperluan pelaburan dan pendanaan dalam negeri.
Saya melihat peluang yang besar bagi kewangan Islam untuk memainkan peranan pemangkin dengan memanfaatkan spektrum penuh alat inovasi kewangan bagi menangani keperluan negara yang semakin berkembang. Hal ini termasuk menangani keperluan pendanaan yang semakin meningkat daripada projek jangka panjang NETR dan NIMP yang dianggarkan berjumlah RM1.4 trilion menjelang tahun 2050[4]. Industri kewangan Islam juga bersedia untuk menerajui usaha membangunkan penyelesaian inovatif dan memperhalus amalan perniagaan ke arah daya tahan sosial, ekonomi dan alam sekitar yang lebih besar, disokong oleh ukuran nilai dan impak yang lebih terperinci. Kita boleh memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan kewangan patuh Syariah untuk menyokong aspirasi dasar negara. Contohnya, untuk membina semula simpanan persaraan, mempertingkatkan jaringan keselamatan sosial, menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta memudahkan peralihan yang teratur ke arah ekosistem yang lebih lestari. Komitmen Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation, VBI) yang sedang dilaksanakan oleh bank-bank Islam menunjukkan kemajuan menerusi pengesanan tahunan (annual tracking) yang dilakukan untuk mengukur sumbangan VBI
masing-masing. Menurut laporan VBI terkini, pada tahun 2022 sahaja, sebanyak RM1.06 bilion telah diperuntukkan untuk sokongan keusahawanan bagi komuniti asnaf, RM8 bilion pembiayaan telah ditawarkan di bawah skim perumahan mampu milik dan RM9.40 bilion bagi pembiayaan sifar bersih dan pembiayaan hijau. Semua ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM131.64 bilion aktiviti kewangan yang sejajar dengan VBI yang telah diantarakan oleh bank-bank Islam untuk lebih 4.95 juta akaun.
Hadirin sekalian,
Visi kewangan Islam negara melangkaui sempadan untuk menghubungkan peluang kewangan Islam di seluruh Asia dan pasaran OIC. Visi ini memerlukan kita untuk mencapai matlamat yang pelbagai, yang merangkumi usaha untuk memperdalam dan mempelbagaikan pasaran kewangan Islam serta mengekalkan pengaruh global melalui penyelesaian yang berinovasi dan berasaskan nilai. Di rantau ini, Malaysia mempunyai potensi untuk menyokong aktiviti pengantaraan kewangan patuh Syariah, khususnya dalam memudahkan jalinan antara perniagaan serantau dengan memenuhi permintaan dalam peralihan hijau. Pelaburan dalam ekonomi halal di Asia dan OIC mencatatkan pertumbuhan yang sangat baik. Laporan terkini memaklumkan pertumbuhan tahunan yang memberangsangkan sebanyak 128% dalam pelaburan ekonomi halal, iaitu sebanyak USD25.9 bilion pada tahun 2022. Malaysia merupakan salah satu destinasi pelaburan terbesar untuk sektor ekonomi halal[5]. Kewangan mampan juga membentuk satu lagi komponen penting dalam keperluan pembiayaan global. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini mendedahkan kekurangan pelaburan tahunan untuk Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) iaitu kira-kira USD4 trilion untuk negara-negara membangun. Jumlah ini meningkat sebanyak USD15 trilion berbanding dengan jumlah yang dilaporkan pada tahun 2015[6]. Bagi memanfaatkan peluang-peluang ini, kewangan Islam boleh menawarkan instrumen pengumpulan dana Islam yang menarik, seperti sindiket dan sukuk serantau untuk menyokong keperluan pembiayaan global, serta dengan menggalakkan perdagangan halal rentas sempadan melalui penyelesaian pembiayaan perdagangan Islam yang khusus bersama-sama dengan perkhidmatan kemudahan perdagangan penuh yang lain. Malaysia memiliki pelbagai tawaran yang menarik. Kami komited untuk menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam, iaitu salah satu agenda MIFC kami. Institusi kewangan Islam negara mempunyai kapasiti dan keupayaan serta beroperasi dalam rangkaian kawal selia yang kukuh, lantas dapat menyokong semua usaha ini dalam ringgit serta mata wang serantau dan mata wang asing.Di dalam negeri pula, pelbagai usaha terus dilaksanakan untuk memastikan pasaran kewangan Islam negara kekal kondusif dan pada masa yang sama, mengekalkan keyakinan pasaran. Kita perlu memastikan kejelasan pengawalseliaan dan instrumen yang pelbagai kekal sebagai keutamaan. Berikutan hal ini, kami telah mengeluarkan Draf Dedahan (Exposure Draf, ED) Pendanaan Bercagar Mengikut Islam (Islamic Collateralised Funding) bagi menjelaskan dengan lebih baik kepada peserta pasaran dan meningkatkan lagi aktiviti repo berasaskan Islam. Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia (MPS) juga telah mengeluarkan keputusan Syariah mengenai keharusan lindung nilai jangkaan yang membolehkan bank-bank Islam untuk memasuki Swap Kadar Keuntungan Mengikut Islam (Islamic Profit Rate Swaps, IPRS) dan Swap Mata Wang Silang Mengikut Islam (Islamic Profit Rate Swaps, ICCS) secara dinamik dan tidak terdedah kepada risiko asas serta tertakluk pada syarat-syarat tertentu. Kita juga telah menyaksikan sebuah langkah rintis menerusi penerbitan repo Islam yang julung kali diadakan melalui FAST pada bulan November tahun lepas.
Keberkesanan inisiatif-inisiatif ini bergantung pada usaha kerjasama. Kami menekankan peranan penting Jawatankuasa Kecil Pasaran Kewangan Islam (Islamic Financial Market Subcomittee, IFMC) sebagai pemangkin bagi kerjasama bank pusat dan industri secara menyeluruh bagi mengenal pasti cabaran dan kesukaran utama yang boleh terus ditambah baik. Pada tahun ini, IFMC akan membantu kita meneroka dan membangunkan instrumen alternatif bagi transaksi berasaskan Tawarruq, produk perbendaharaan mengikut Islam berkaitan kelestarian dan strategi untuk meningkatkan penyertaan pelabur bukan pemastautin dalam pasaran sukuk. Usaha-usaha ini akan lebih memajukan aspirasi kewangan Islam negara seperti yang dihasratkan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.
Akhir kata, saya kekal yakin dengan potensi pertumbuhan Malaysia. Saya percaya bahawa ramai daripada kita yang hadir pada hari ini mempunyai pandangan yang sama. Sektor kewangan bersedia untuk memainkan peranan dengan mentakrifkan semula sistem kewangan sebagai salah satu sistem yang melangkaui keuntungan, untuk memberikan sumbangan bermakna bukan sahaja kepada ekonomi benar, tetapi juga kepada kesejahteraan bumi dan penghuninya. Saya benar-benar berharap bahawa prinsip-prinsip kewangan berasaskan nilai akan melangkaui rangkaian kewangan Islam, lantas memperluas jangkauan impak yang lebih besar dan mendorong kita ke arah sistem kewangan yang lebih berdaya tahan dan bermatlamat. Bagi memastikan kita meraih pelbagai peluang yang tersedia bagi negara pada tahun 2024 dan seterusnya, kita perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing untuk ˇ°mendorong Malaysia majuˇ±. Terima kasih dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua untuk sepanjang hari ini.
[1] Sumber: MIFC Estimate, data setakat akhir tahun 2022.
[2] Sumber: Shariah Equity Market Highlights (setakat 31 Disember 2023) oleh Bursa Malaysia.
[3] Data BNM, setakat S3 2023.
[4] Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, halaman 57 dan Ucapan Perdana Menteri untuk Pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (National Industrial Master Plan, NIMP 2030) pada 1 September 2023, perenggan 22.
[5] The State of the Global Islamic Economy Report 2023/2024 oleh Dinar Standard.
[6] World Investment Report 2023 oleh UNCTAD.