Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Pembukaan oleh Penolong Gabenor Dr. Norhana Endut
di Bengkel Ujian Tekanan Risiko Iklim BNM-JC3 SC1
Sasana Kijang | 23 September 2024
Selamat pagi kepada hadirin sekalian. Saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan hadirin ke Bengkel ˇ°Navigating Climate Risk Stress Testing in Malaysia: Catalysing Dialogue and Charting the Courseˇ±. Bengkel ini dianjurkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Kerja Risiko Peralihan dan Fizikal di bawah Jawatankuasa Kecil 1, Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3). Bengkel pembinaan keupayaan ini menghimpunkan peserta industri kewangan dan pakar dalam bidang berkaitan untuk berkongsi pengalaman, mempelajari amalan terbaik dan bertukar-tukar pandangan sambil kita membuat persiapan secara kolektif untuk melaksanakan ujian tekanan risiko iklim bagi seluruh industri buat julung kalinya.
Kami yakin bahawa perubahan iklim merupakan cabaran yang menimbulkan risiko terhadap sistem kewangan negara dalam tempoh terdekat. Sehubungan dengan itu, saya ingin menerangkan langkah-langkah yang telah diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dari segi pengawalseliaan kewangan bagi menangani risiko ini. Di Malaysia, kami telah melaksanakan langkah-langkah bagi membina komponen asas yang dapat meningkatkan keupayaan institusi kewangan untuk mengenal pasti, mengukur dan mengurus risiko kewangan berkaitan iklim. Terdapat lima elemen utama dalam komponen asas ini:
Pertama, taksonomi iklim mewujudkan sistem klasifikasi yang konsisten dan lazim bagi mengenal pasti dedahan berkaitan iklim. Kedua, penzahiran iklim secara mandatori oleh institusi kewangan akan menjadi pencetus bagi mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai peminjam dan syarikat yang menerima pelaburan mereka. Hal ini seterusnya mewujudkan kitaran aliran maklumat yang baik. Ketiga, piawaian pengawalseliaan bagi pengurusan risiko berkaitan iklim menetapkan jangkaan kepada institusi kewangan untuk mencerminkan risiko ini dalam tadbir urus, strategi dan amalan risiko mereka. Keempat ialah tumpuan pada perancangan peralihan. Hal ini bagi memastikan institusi kewangan menetapkan matlamat iklim yang jelas serta pelan peralihan yang tuntas. Dengan terbinanya asas ini, kita kini berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan komponen kelima, iaitu mempercepat tahap keupayaan industri melalui pelaksanaan ujian tekanan risiko iklim untuk seluruh industri.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya ingin menerangkan dengan lebih lanjut tentang sebab di sebalik pelaksanaan Ujian Tekanan Risiko Iklim (Climate Risk Stress Test, CRST). Langkah ini sebahagian besarnya bertujuan terutamanya untuk meningkatkan bina upaya dalam kalangan institusi kewangan bagi menilai cara perniagaan dan operasi mereka boleh dipengaruhi oleh risiko iklim. Sepanjang menjalankan ujian tekanan, institusi kewangan akan merungkai jurang berkaitan data, teknologi dan metodologi. Hal ini menjadi titik permulaan untuk institusi menilai keupayaan dalaman mereka, lantas mendorong mereka mencari jalan untuk menangani jurang ini. Dalam erti kata lain, ujian tekanan iklim dapat membantu institusi kewangan mengenal pasti, mengukur dan mengurangkan dedahan risiko terhadap iklim.
Semasa merangka ujian tekanan ini untuk Malaysia, kami di Bank Negara Malaysia (BNM) telah berusaha untuk menggabungkan ilmu yang diperoleh daripada negara-negara lain, termasuk menyesuaikan dan menggabungkan beberapa elemen yang khusus bagi Malaysia daripada aspek struktur ekonomi dan sistem kewangannya. Kami juga telah mengambil kira maklum balas daripada peserta industri di dalam negeri. Oleh itu, saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan daripada BNM kepada anda semua yang telah memberikan maklum balas yang sungguh bernilai semasa penulisan Kertas Kerja serta templat pelaporan. Kami amat menghargai semangat terbuka serta kerjasama yang diberikan oleh semua pihak, yang menjadi pendekatan yang terus diamalkan sehinggalah hari ini.
Ujian tekanan risiko iklim secara global masih berada pada peringkat awal. Oleh itu, kami telah berusaha mengimbangi antara pragmatisme dengan ketepatan apabila menentukan keperluan negara. Seboleh-bolehnya kami cuba mengatasi keterbatasan data, kekurangan kepakaran teknikal serta teknik pemodelan yang kurang membangun. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak cabaran bagi institusi kewangan untuk menjalankan ujian tekanan ini dengan jayanya. Kami akan meneroka bersama-sama dengan anda bagi menghadapi cabaran ini. Usaha ini merupakan satu pengalaman pembelajaran bagi BNM serta bagi semua institusi kewangan yang menjalankan ujian tekanan ini. Hal ini menjadi antara sebab kita semua menghadiri bengkel pada hari ini.
Saya percaya bahawa usaha kita secara bersama boleh mengatasi banyak rintangan. Risiko iklim ialah isu yang memerlukan tindakan secara kolektif. Mungkin mengambil tindakan demi kepentingan peribadi tanpa mengira apa yang dilakukan oleh individu lain merupakan jalan yang lebih mudah untuk seseorang. Walau bagaimanapun, jika semua individu mementingkan diri sendiri, maka akibatnya untuk semua orang adalah lebih buruk berbanding dengan hasil yang dapat dicapai sekiranya kita bekerjasama. Pada peringkat negara, kami berpendapat bahawa perkara ini berlaku dalam usaha pengurangan pelepasan global. Mungkin sesebuah negara kecil merasakan bahawa membelanjakan wang untuk mengurangkan pelepasan tidak akan banyak membantu perubahan iklim global, lantas negara tersebut memilih untuk tidak memainkan peranan. Namun begitu, situasi sebegini boleh menyebabkan sesetengah, waima semua negara memilih untuk tidak mengurangkan pelepasan. Akhirnya, kita semua akan menghadapi akibat buruk pada peringkat global dan secara kolektif terpaksa menghadapi kesan buruk risiko perubahan iklim yang tidak ditangani.
Pada peringkat sesebuah institusi kewangan, pembangunan pendekatan dan teknik baharu untuk ujian tekanan sangat penting untuk mengukur risiko perubahan iklim. Walau bagaimanapun, jika setiap entiti memilih untuk mengehadkan kemajuan kepada institusi mereka sahaja, keadaan ini akan memperlahankan penerapan kemajuan oleh industri. Kerjasama dan perkongsian pengetahuan diperlukan demi memperluas penyelesaian serta mengurangkan kos.
Oleh itu, saya berharap untuk beberapa jam yang berikutnya, kita akan membuat pilihan untuk menyertai semua sesi ini dengan hasrat untuk berkongsi serta fikiran yang terbuka. Saya harap hadirin semua akan memilih untuk bekerjasama berbanding dengan bersaing, serta untuk berkongsi dan bukannya menyimpan sendiri.
Dalam hal ini, saya bersemangat melihat usaha kolektif daripada pihak industri dalam melaksanakan inisiatif pembinaan keupayaan bagi meningkatkan kemahiran institusi kewangan serta meneroka penyelesaian yang berpotensi untuk menangani jurang data. Usaha yang membanggakan oleh Jawatankuasa Kecil 1 dan 4 JC3 dalam menerajui inisiatif latihan serta usaha Jawatankuasa Kecil 5 dalam menghasilkan dan memperincikan Katalog Data Iklim membuktikan semangat kerjasama ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Mungkin anda tertanya-tanya apakah tindakan selanjutnya selepas ujian tekanan ini? Saya ingin menjelaskan perkara ini secara terperinci.
Penting untuk kita fahami bahawa ujian tekanan risiko iklim, atau ringkasnya CSRT, bukanlah suatu pengakhiran. CSRT tidak boleh dianggap sebagai pelaksanaan pematuhan pengawalseliaan semata-mata. Meskipun BNM tidak berhasrat untuk menggunakan hasil ujian tekanan kali pertama ini untuk menyelaraskan keperluan modal, kami masih menghendaki institusi kewangan melaksanakan ujian ini dengan serius. Saya benar-benar menyarankan supaya institusi kewangan mula merancang cara hasil ujian tekanan ini boleh digunakan dalam membuat perancangan strategik serta keputusan oleh pihak pengurusan.
Hasil CRST bukan sekadar angka. Hasil ini memberikan pemahaman penting tentang cara risiko iklim boleh memberikan kesan terhadap perniagaan dan operasi sesebuah institusi. Oleh itu, penglibatan secara aktif daripada pengurusan kanan dan Lembaga Pengarah sepanjang CRST, bukan hanya apabila hasil akhir sudah tersedia, akan menjadi faktor penting kepada kejayaan ujian kali pertama ini. Institusi kewangan memerlukan sokongan dalaman yang mencukupi bagi menangani cabaran yang dihadapi, lantas memerlukan persetujuan daripada pihak atasan sepanjang pelaksanaan ujian tekanan ini.
Selain itu, seiring dengan risiko iklim yang terus berkembang, kami menjangkakan ujian tekanan risiko iklim akan terus dilaksanakan secara berkala pada masa hadapan. Oleh itu, institusi kewangan perlu terus melabur dalam usaha meningkatkan keupayaan ujian tekanan mereka, khususnya dalam bidang pengumpulan data, metodologi dan pembangunan model. Penambahbaikan berterusan ini amat penting untuk memastikan CRST kekal relevan serta responsif terhadap sifat risiko iklim yang sentiasa berubah-ubah.
Sebelum membuat kesimpulan bagi ucapan ini, saya ingin menekankan objektif menyeluruh berhubung dengan CRST dalam melindungi sistem kewangan negara. Melalui CRST, kita bukan sahaja memperkukuh daya tahan institusi kewangan kita terhadap risiko berkaitan iklim malah juga membina asas yang kukuh untuk kemampanan jangka panjang.
Bengkel pada hari ini menyediakan peluang yang baik untuk memulakan perbincangan yang bernas berkaitan CRST. Agenda bengkel disusun penuh teliti bagi menggalakkan pembelajaran dan perkongsian pengetahuan yang mendalam, dengan lebih penekanan diberikan terhadap penggunaan yang praktikal serta menangani cabaran dunia sebenar semasa menjalankan ujian tekanan. Saya menggalakkan semua peserta untuk melibatkan diri secara aktif serta berkongsi pandangan sepanjang bengkel ini.
Izinkan saya mengakhiri ucapan dengan kata-kata Sir David Attenborough, "If working apart we are a force powerful enough to destabilise our planet, surely working together, we are powerful enough to save it.ˇ± Saya menggesa hadirin untuk kekal komited dalam usaha ini, terus bekerjasama dan kongsikan pengalaman anda. Meskipun tindakan yang diambil mahupun tidak diambil pada masa lalu telah mewujudkan isu iklim yang kita hadapi pada masa kini, generasi kita perlu memimpin hala tuju untuk menyelesaikan isu ini demi generasi akan datang. Saya yakin dengan keupayaan sektor kita untuk menyahut cabaran ini, dan seterusnya menerajui hala tuju untuk membina sistem kewangan yang berdaya tahan terhadap risiko iklim.
Semoga bengkel ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan perbincangan yang produktif. Terima kasih.