Brunei Darussalam Central Bank dan Bank of the Lao P.D.R. Secara Rasmi Menyertai Inisiatif Kerjasama Rangkaian Pembayaran Serantau
Embargo :3 Apr 2024
Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Bank of the Lao P.D.R. (BOL) telah secara rasmi menyertai Rangkaian Pembayaran Serantau (Regional Payment Connectivity, RPC) susulan penyampaian hasrat mereka untuk menyertai inisiatif tersebut sebelum ini. BDCB telah menandatangani halaman tambahan kedua Memorandum Persefahaman Rangkaian Pembayaran Serantau (Memorandum of Understanding on Cooperation in Regional Payment Connectivity, MOU RPC) pada 29 Februari 2024. BOL pula telah menandatangani halaman tambahan ketiga MOU RPC pada 3 April 2024 dalam satu acara berasingan semasa Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-11 di Luang Prabang, Lao P.D.R.
Penyertaan BDCB dan BOL ini menjadikan keanggotaan kumpulan RPC bertambah kepada lapan bank pusat ASEAN. Inisiatif RPC ini dirintis oleh bank pusat Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand pada akhir tahun 2022 dan kemudiannya disertai oleh Vietnam pada bulan Ogos 2023 dan kini Brunei Darussalam dan Lao P.D.R. Inisiatif RPC dijangka akan diluaskan lagi ke negara ASEAN yang lain dan seterusnya negara-negara di rantau lain.
RPC merupakan inisiatif yang bertujuan menggalakkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus dan inklusif. Sejak pelancarannya pada tahun 2022, RPC telah mengukuhkan keupayaan bank-bank pusat untuk memupuk dan mempercepat pembangunan rangkaian pembayaran di rantau ini, termasuk melalui modaliti berasaskan kod QR dan pemindahan pembayaran pantas. Usaha serantau ini juga membolehkan para peserta meraih manfaat daripada kegiatan ekonomi rentas sempadan. Hal ini termasuk memberikan akses kepada perusahaan kecil dan sederhana ke pasaran antarabangsa, memudahkan aktiviti perdagangan dan menyenangkan proses kiriman wang.
Hajah Rokiah binti Haji Badar, Pengarah Urusan BDCB, menyatakan perasaan sukacita beliau kerana BDCB merupakan salah sebuah negara yang menandatangani MOU RPC bersama-sama Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Beliau turut menyatakan bahawa skop dan bidang kerjasama dalam MOU RPC akan menyumbang terutamanya bagi memajukan rangkaian pembayaran rentas sempadan. RPC akan berfungsi sebagai satu cara untuk memudahkan lagi aktiviti perdagangan, pelaburan dan kegiatan ekonomi di rantau ini dan seterusnya memupuk kerjasama erat antara bank-bank pusat.
Bounleua Xinxayvoravong, Gabenor BOL, menegaskan bahawa MOU RPC yang dimeterai ini merupakan langkah penting ke arah meningkatkan kerjasama serantau ASEAN pada masa hadapan. "Transaksi kewangan yang lebih pantas dan lebih murah serta infrastruktur sistem pembayaran yang selamat dan lancar akan menyokong pengembangan dan kemampanan ekonomi Laos," kata beliau.
Bank Negara Malaysia
Brunei Darussalam Central Bank
Bank Indonesia
Bank of the Lao P.D.R.
Bangko Sentral ng Pilipinas
Monetary Authority of Singapore
Bank of Thailand
State Bank of Vietnam
3 April 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.