Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia Pada Suku Keempat Tahun 2023
Embargo : Untuk siaran segera Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1200 pada Jumaat, 16 Februari 202416 Feb 2024
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3% pada suku keempat
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3% pada suku keempat tahun 2023 (S3 2023: 3.3%; S2 2023: 2.9%). Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan tekanan kos yang mereda. Kadar pengangguran menurun ke paras sebelum pandemik iaitu 3.3% manakala kadar penyertaan tenaga kerja mencapai paras tertinggi pada tahun 2023. Sementara itu, pertumbuhan dalam aktiviti pelaburan disokong oleh pelaksanaan projek jangka masa panjang yang progresif dan pengembangan kapasiti oleh syarikat. Walau bagaimanapun, eksport kekal lembap disebabkan oleh kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan dalam keadaan import yang lebih kukuh. Dari segi penawaran, terdapat pengembangan yang meluas. Sektor komoditi bertambah baik. Keadaan ini disokong oleh pengeluaran minyak dan gas yang lebih tinggi serta pengembangan sektor pertanian berikutan bekalan tenaga kerja yang lebih baik. Sektor perkhidmatan dan pembinaan terus berkembang. Sektor perkilangan kekal lembap susulan kelemahan berterusan dalam industri elektrik dan elektronik. Dari segi kadar pertumbuhan bulanan KDNK, bulan Disember mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 1.4%, iaitu lebih rendah berbanding dengan bulan November (3.8%) dan Oktober (3.9%), disebabkan terutamanya oleh tempoh cuti sekolah yang lebih pendek pada bulan tersebut dan sektor perkilangan berorientasikan eksport yang lebih lemah. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi menguncup sebanyak 2.1% (S3 2023: +2.6%).
Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.7% pada tahun 2023 selepas pertumbuhan yang kukuh pada tahun sebelumnya (2022: 8.7%). Pertumbuhan menjadi sederhana berikutan persekitaran luaran yang mencabar. Hal ini disebabkan terutamanya oleh perdagangan global yang lebih perlahan, kitaran menurun teknologi global (global technology downcycle), ketegangan geopolitik dan dasar-dasar monetari yang lebih ketat. Di dalam negeri, meskipun dengan ketiadaan sokongan dasar yang besar apabila ekonomi mula berkembang pada tahun 2022, kegiatan ekonomi dan keadaan pasaran pekerja yang terus pulih telah menyokong pertumbuhan pada tahun 2023. Selain itu, prestasi pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dimantapkan lagi oleh kedudukan luaran Malaysia yang berdaya tahan. Meskipun dengan persekitaran luaran yang mencabar, lebihan akaun semasa bagi tahun 2023 mampan pada 1.2% daripada KDNK, disokong oleh kepelbagaian struktur eksport merentas pasaran dan produk. Kekukuhan kedudukan luaran juga dicerminkan oleh hutang luar negeri yang menurun kepada 68.2% daripada KDNK pada tahun 2023 (S3 2023: 69%) serta kedudukan pelaburan antarabangsa bersih yang lebih tinggi iaitu 6.6% daripada KDNK pada tahun 2023 (S3 2023: 5.2%). Yang penting, hutang luar negeri kekal terurus berikutan profil tempoh matang dan mata wang yang menggalakkan. Satu pertiga daripada hutang luar negeri adalah dalam denominasi ringgit lantas mengehadkan risiko mata wang, sementara kira-kira 70% hutang mempunyai tempoh jangka sederhana dan panjang. Peminjaman dalam mata wang asing juga adalah tertakluk pada keperluan kehematan Bank Negara Malaysia (BNM) dan terus terdiri terutamanya daripada pinjaman antara kumpulan secara konsesi.
Inflasi keseluruhan terus menurun kepada 1.6% pada suku keempat tahun 2023 (S3 2023: 2%). Trend penurunan ini disumbangkan oleh pengurangan inflasi makanan segar (S4 2023: 0.5%; S3 2023: 1.9%) dan inflasi teras (2%; S3 2023: 2.5%). Inflasi teras yang lebih rendah didorong terutamanya oleh inflasi yang semakin reda dalam subsegmen perkhidmatan termasuk makanan di luar rumah serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian. Trend rebakan inflasi terus menurun berikutan bahagian item Indeks Harga Pengguna yang mencatatkan kenaikan harga bulanan berkurang kepada 36.3% pada suku itu (S3 2023: 40.8%). Keadaan ini menyebabkan rebakan inflasi berada di bawah purata jangka panjang suku keempatnya (2011-2019) sebanyak 41.7%. Bagi keseluruhan tahun 2023, inflasi keseluruhan menurun kepada 2.5% (2022: 3.3%) manakala inflasi teras berpurata pada 3% (2022: 3%).
Perkembangan kadar pertukaran
Pasaran kewangan domestik terus didorong oleh jangkaan pasaran yang berubah-ubah berhubung dengan hala tuju dasar monetari global. Khususnya, peserta pasaran kewangan berpandangan bahawa kadar dasar AS telah mencapai paras tertingginya dan Federal Reserve AS akan mula mengurangkan kadar dasar pada tahun 2024 dalam keadaan disinflasi yang berterusan.
Berlatarkan keadaan ini, ringgit menambah nilai sebanyak 2.1% berbanding dolar AS pada suku keempat, selaras dengan mata wang serantau susulan penurunan nilai dolar AS yang meluas. Kedudukan luaran Malaysia juga kekal menyokong aliran masuk. BNM akan terus memastikan mudah tunai mencukupi untuk menyokong fungsi pasaran pertukaran asing domestik yang teratur.
Keadaan pembiayaan
Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 4.7% (S3 2023: 4.3%), didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman perniagaan (3.6%; S3 2023: 1.9%) manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul menurun kepada 4.2% (S3 2023: 5%). Pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi didorong terutamanya oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman modal kerja. Yang penting, pertumbuhan pinjaman PKS kekal menggalakkan (8.2%; S3 2023: 7%). Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul terus stabil pada 5.6% (S3 2023: 5.4%), mencerminkan pertumbuhan yang berterusan bagi tujuan-tujuan pinjaman yang utama.
Pada masa hadapan, pertumbuhan Malaysia dijangka bertambah baik disebabkan oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan permintaan luaran
Pertumbuhan pada tahun 2024 akan didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan permintaan luaran yang bertambah baik. Dari segi faktor luaran, IMF mengunjurkan pertumbuhan perdagangan global kembali meningkat daripada 0.4% pada tahun 2023 kepada 3.3% pada tahun 2024. Bersama-sama dengan peningkatan kitaran teknologi, permintaan luaran yang lebih kukuh dan sektor pelancongan yang terus bertambah baik akan memberikan sokongan kepada eksport Malaysia. Di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan lanjut projek jangka masa panjang oleh sektor swasta dan awam serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelbagai pelan induk nasional. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar. Walau bagaimanapun, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal sederhana pada tahun 2024
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras telah menurun disebabkan terutamanya oleh tekanan kos yang lebih rendah berikutan keadaan permintaan yang semakin stabil. Pada tahun 2024, inflasi dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan kos dan permintaan yang stabil. Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
BNM akan menerbitkan Laporan Tahunan 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Kedua 2023 pada 20 Mac 2024.
Lihat juga:
Bank Negara Malaysia
16 Februari 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.