Projek Nexus memuktamadkan rangka tindakan menyeluruh untuk menghubungkan sistem pembayaran segera domestik secara global dan bersedia untuk memulakan kerja ke arah pelaksanaan secara langsung
Embargo :1 Jul 2024
Bank for International Settlements (BIS) dan rakan-rakan pelaksananya hari ini mengumumkan bahawa mereka telah memuktamadkan rangka tindakan menyeluruh bagi fasa tiga Projek Nexus, yang akan membolehkan peserta yang telah bersedia untuk maju ke peringkat seterusnya iaitu menghubungkan IPS mereka dengan lancar.
Bank Negara Malaysia, Bangko Sentral ng Pilipinas, Monetary Authority of Singapore, Bank of Thailand dan pengendali IPS domestik masing-masing yang telah bekerjasama dalam fasa tiga akan disertai oleh Reserve Bank of India dalam fasa empat. Penyertaan Reserve Bank of India akan memperluas potensi liputan pengguna untuk merangkumi pengguna Unified Payments Interface (UPI) di India iaitu IPS terbesar di dunia.
Bank Indonesia (BI) akan meneruskan penglibatannya dalam projek ini sebagai pemerhati khas. BI telah mengambil bahagian dalam fasa tiga dan akan terus mengikuti perkembangan projek pada peringkat selanjutnya dalam kapasiti ini.
Nexus telah direka bentuk untuk menyeragamkan proses IPS domestik berhubung antara satu sama lain. Melalui langkah ini, pengendali IPS tidak lagi perlu membina sambungan khusus bagi setiap negara baharu yang ingin dihubungkan, sebaliknya cukup dengan pengendali membina satu sambungan ke rangkaian Nexus. Sambungan tunggal ini akan membolehkan IPS berhubung dengan semua negara lain yang menyertai rangkaian tersebut.
Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia berkata, "Dengan muktamadnya fasa tiga, kita semakin hampir untuk melaksanakan infrastruktur pembayaran rentas sempadan generasi seterusnya. Rangka tindakan menyeluruh untuk memajukan Projek Nexus ini adalah hasil kerjasama erat bank-bank pusat ASEAN yang turut serta dan BIS untuk menghasilkan infrastruktur pembayaran rentas sempadan yang terkemuka di dunia. Infrastruktur ini bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada negara-negara ini tetapi juga akan membuka jalan untuk ketersambungan pembayaran global yang lebih meluas. Kami juga mengalu-alukan penyertaan India dalam fasa Projek Nexus yang seterusnya.¡±
Agustšªn Carstens, Pengurus Besar BIS berkata, ¡°Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan kongsi kami di Nexus atas usaha mereka untuk memacu projek ini daripada konsep kepada realiti. Projek ini merupakan projek BIS Innovation Hub pertama yang menggerakkan bank-bank pusat ke fasa operasi secara langsung bersama-sama dengan pengendali IPS. Apabila dilaksanakan, Nexus akan meningkatkan kecekapan pembayaran rentas sempadan dengan ketara, sejajar dengan program pembayaran rentas sempadan G20 serta misi kami untuk membangunkan perkhidmatan bagi manfaat orang ramai dalam ruang teknologi untuk menyokong bank-bank pusat dan menambah baik fungsi sistem kewangan.
Meskipun hanya dengan negara-negara yang terhubung dalam gelombang pertama, Nexus sudahpun berpotensi untuk menghubungkan pasaran yang merangkumi 1.7 bilion orang secara global. Keadaan ini membolehkan mereka membuat bayaran pada masa nyata kepada satu sama lain dengan mudah dan pada kos yang lebih murah.¡±
Kesimpulan dan iktibar daripada fasa tiga Nexus telah diperincikan dalam laporan yang diterbitkan hari ini. Laporan ini disertai dengan buku peraturan skim yang terperinci dan panduan pelaksanaan teknikal serta spesifikasi mesej ISO 20022, yang boleh diberikan kepada bank-bank pusat atas permintaan.
Bagi memudahkan Nexus ke fasa operasi, rakan-rakan pelaksana yang terdiri daripada bank-bank pusat dan para pengendali IPS telah bersetuju untuk bekerjasama menubuhkan satu entiti baharu iaitu Nexus Scheme Organisation(NSO).NSO akan bertanggungjawab untuk menguruskan skim Nexus dan meneruskan misi mencapai pembayaran rentas sempadan pada masa nyata mengikut skala.
NSO akan dimiliki sepenuhnya oleh bank-bank pusat dan/atau IPS daripada setiap negara yang mengambil bahagian, bergantung pada struktur domestik khusus masing-masing. Dalam membangunkan rangka tindakan fasa tiga Nexus, BIS telah memenuhi peranannya untuk menyokong bank-bank pusat mencari penyelesaian inovatif bagi menyediakan perkhidmatan untuk manfaat orang ramai. Tindakan ini juga merupakan salah satu komitmen utama BIS di bawah G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments.
Walaupun tidak akan memiliki atau mengendalikan NSO, BIS akan terus memberikan sokongan melalui peranannya sebagai penasihat teknikal sepanjang proses negara-negara peserta berusaha untuk membawa Nexus ke fasa operasi. BIS juga akan membantu memudahkan kerjasama antara ahli Nexus serta proses kemasukan peserta baharu, sekaligus merealisasikan aspirasi global Nexus.
BIS Innovation Hub
Bank Negara Malaysia
Bangko Sentral ng Pilipinas
Monetary Authority of Singapore
Bank of Thailand
Reserve Bank of India
1 Julai 2024
Nota kepada Pengarang
Usaha ini merupakan lanjutan daripada fasa pembangunan sebelum ini apabila prototaip Nexus telah berjaya menghubungkan versi ujian tiga IPS: TARGET Instant Payment System (TIPS) Eurosystem, Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (Real-Time Retail Payments, RPP) Malaysia dan sistem pembayaran Fast and Secure Transfers (FAST) Singapura (Usaha ini diterangkan dalam Lampiran 1 laporan baharu ini).
Pada bulan November 2022, Bank Indonesia, Bank Negara Malaysia, Bangko Sentral ng Pilipinas, Monetary Authority of Singapore dan Bank of Thailand telah menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama Rangkaian Pembayaran Serantau (Regional Payment Connectivity), yang mengetengahkan usaha kolaboratif dalam rantau ASEAN untuk membina rangkaian pembayaran rentas sempadan, termasuk melalui jalinan pembayaran masa nyata. Sejak memorandum tersebut dimeterai, Brunei Darussalam Central Bank, Bank of the Lao People¡¯s Democratic Republic dan State Bank of Vietnam juga telah menyertai inisiatif ini.
BIS Innovation Hub telah memulakan projek ini pada tahun 2022 dan Singapore Centre yang dimilikinya telah bekerjasama dengan rakan-rakan pelaksana sejak setahun lalu untuk menghasilkan rangka kerja skim dan tadbir urus, model perniagaan dan rangka tindakan teknikal yang menyeluruh.
Bank-bank pusat, badan penetapan standard, pengendali IPS dan entiti komersial di seluruh dunia turut terlibat dalam proses pengesahan bagi memastikan Nexus boleh berkembang dan beroperasi secara boleh kendali (interoperable) melangkaui rangkaian peserta semasa. Nexus adalah salah satu projek eksploratori yang dilancarkan oleh BIS Innovation Hub. Selain itu, Nexus turut mengambil kira sumbangan daripada BIS Committee on Payments and Market Infrastructure berhubung dengan G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments. Pelan hala tuju tersebut menekankan kesalinghubungan IPS sebagai matlamat utama dan Nexus merupakan satu keutamaan penting yang boleh memberikan impak yang besar terhadap kepantasan, kos, ketelusan dan akses kepada pembayaran rentas sempadan.
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.