Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Alu-aluan oleh Gabenor
di Pelancaran National Fraud Portal
Sasana Kijang | 20 Ogos 2024
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat datang ke Bank Negara Malaysia.
Bagi pihak Bank Negara Malaysia, izinkan saya mengucapkan terima kasih pertamanya, kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan II atas kesudian YB untuk menghadiri majlis pelancaran Portal Fraud Kebangsaan atau National Fraud Portal (NFP). Terima kasih juga kepada semua hadirin yang meluangkan masa untuk hadir pada majlis petang ini.
Pelancaran NFP merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha negara untuk membanteras gejala penipuan kewangan, serta satu daripada pelbagai langkah yang telahpun diambil bagi mengekalkan keyakinan Rakyat terhadap sistem kewangan digital di Malaysia. Namun, majlis kita pada hari ini bukan sekadar ingin menguar-uarkan inisiatif terkini, malah kita ingin menzahirkan penghargaan kepada pelbagai agensi Kerajaan, agensi penguatkuasaan dan peserta industri kewangan atas sokongan dan komitmen yang teguh dalam usaha kita untuk memelihara ekosistem kewangan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Penipuan kewangan bukanlah suatu isu yang hanya melanda negara kita, akan tetapi merupakan sebuah ancaman global. Menurut Global Anti-Scam Alliance, kerugian kewangan akibat penipuan di seluruh dunia telahpun melebihi USD1 trilion pada tahun 2023. Di Malaysia, data menunjukkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa penipuan kewangan secara keseluruhan boleh dikatakan agak kecil berbanding jumlah transaksi kewangan domestik. Namun kita tidak boleh leka tetapi perlu lebih peka dalam mengenal pasti dan mengatasi ancaman ini, bagi memastikan keyakinan ke atas sistem kewangan negara sentiasa terpelihara.
Kerjasama bersepadu pelbagai pihak di seluruh negara dalam usaha membanteras penipuan adalah jelas. Pelbagai agensi Kerajaan, pengawal selia serta peserta industri telah berganding bahu dalam mencegah penipuan melalui pendekatan serampang tiga mata. Pertama, dengan mengukuhkan lagi pertahanan kita melalui langkah-langkah pencegahan penipuan yang dipertingkatkan. Kedua, menambah baik keupayaan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah serta mendapatkan semula dana yang dicuri dan mengembalikannya kepada mangsa. Akhir sekali, memastikan kepentingan pengguna terpelihara dengan baik serta meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung dengan amalan keselamatan siber yang baik.
Dari sudut penguatkuasaan secara khususnya, negara telah beroleh manfaat ketara hasil daripada penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan atau National Scam Response Centre (NSRC) pada bulan Oktober 2022. Setakat bulan Jun 2024, NSRC telah membuka lebih daripada 12,000 kertas siasatan dan membekukan sejumlah RM72 juta daripada akaun yang dikenal pasti melalui perintah penguatkuasaan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia.
Walau bagaimanapun, penjenayah siber akan terus-menerus mengeksploitasi teknologi untuk mengembangkan taktik mereka. Lantas, NSRC juga perlu mengorak langkah menggunakan pendekatan dipacu teknologi bagi mengatasi kesemua ancaman ini. Dalam hal ini, pihak Bank Negara Malaysia, PayNet (pengendali perkhidmatan pembayaran domestik) dan peserta industri
kewangan telah berganding bahu untuk membangunkan National Fraud Portal (NFP) untuk memanfaatkan kuasa teknologi dan analisis data dalam usaha membanteras penipuan kewangan.
Menerusi NFP, operasi NSRC kini dilengkapi dengan keupayaan automasi menyeluruh atau end-to-end bagi menguruskan laporan penipuan, mengesahkan dan menjejak dana yang dicuri, serta membolehkan perkongsian amaran awal dalam kalangan institusi kewangan agar tindak balas pantas dapat diambil. NFP yang memanfaatkan infrastruktur guna sama PayNet ini menyediakan data pembayaran yang berwibawa (credible) untuk operasi NSRC bagi memudahkan pengesanan dan analisis dana.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Perjalanan kita untuk memerangi penipuan masih panjang dan berliku-liku. Dalam kita mengorak langkah ke hadapan, saya ingin menegaskan tentang tiga tema utama ke arah usaha kita untuk memerangi penipuan kewangan:
Ketiga-tiga tema ini, iaitu optimising technology, nurturing collaboration dan empowering consumers, gabungan huruf awalnya dieja menjadi ONE. Inilah lambang pendekatan bersepadu seluruh negara kita untuk membanteras penipuan kewangan.
Hadirin sekalian,
Sebagai penutup, ingin saya tegaskan bahawa Bank Negara Malaysia dan industri kewangan kekal komited untuk memelihara kestabilan sektor kewangan negara serta melindungi kepentingan semua pengguna. Demi kemaslahatan negara, BNM akan terus membuat penyesuaian dan memajukan strategi untuk mengatasi ancaman berhubung dengan penipuan kewangan. Meskipun langkah-langkah yang sudah diambil telah ketara menunjukkan kesan, kami akui bahawa masih banyak usaha yang perlu terus dilakukan. Oleh itu, saya juga menyeru kepada semua yang hadir pada hari ini untuk terus berganding bahu memikul tanggungjawab bersama untuk menghadapi cabaran ini, demi memelihara dan mengekalkan keyakinan terhadap sistem pembayaran negara untuk kepentingan semua.
Terima kasih.
Bank Negara Malaysia
20 Ogos 2024