Pernyataan Dasar Monetari
Embargo : Untuk siaran segera Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 24 Januari 202424 Jan 2024
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 3.00 peratus.
Ekonomi global terus berkembang, didorong oleh permintaan dalam negeri berikutan keadaan pasaran pekerja yang teguh. Terdapat beberapa tanda bahawa sektor elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E) semakin pulih, namun perdagangan global terus lemah, sebahagiannya disebabkan oleh perbelanjaan yang terus beralih daripada barangan kepada perkhidmatan serta sekatan perdagangan yang berterusan. Walaupun ekonomi China terus menunjukkan tanda-tanda keadaan bertambah baik, pemulihan ini kekal sederhana berikutan kelemahan dalam pasaran harta tanah. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global menurun sedikit pada bulan-bulan kebelakangan ini, namun terus melebihi purata. Pada peringkat global, meskipun pendirian dasar monetari dijangka kekal ketat pada tempoh terdekat, kitaran pengetatan bagi kebanyakan bank pusat telah mencapai tahap tertinggi. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, terutamanya disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti pasaran kewangan global yang ketara.
Bagi ekonomi Malaysia, anggaran awal KDNK bagi suku keempat telah mengesahkan bahawa pertumbuhan keseluruhan pada tahun 2023 berkembang mengikut jangkaan. Pada masa hadapan, pertumbuhan dijangka meningkat pada tahun 2024, disokong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar. Sementara itu, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.
Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus menurun pada suku keempat, disebabkan terutamanya oleh tekanan kos yang lebih rendah berikutan keadaan permintaan yang semakin stabil. Secara keseluruhan, inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada tahun 2023 berada pada kadar yang dijangkakan, masing-masing berpurata pada 2.5% dan 3.0% pada tahun itu. Pada tahun 2024, inflasi dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan kos dan permintaan yang stabil. Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global. Yang penting, hasrat Kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada tahun 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan.
Pergerakan ringgit baru-baru ini didorong terutamanya oleh faktor-faktor luaran serta tidak mencerminkan prestasi semasa dan prospek ekonomi dalam negeri. Memandangkan risiko volatiliti yang ketara terus wujud dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing, Bank Negara Malaysia akan terus memastikan mudah tunai yang mencukupi untuk menyokong pasaran pertukaran asing domestik supaya dapat berfungsi dengan teratur. Institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, dengan keadaan kewangan domestik terus kondusif untuk pertumbuhan kredit yang berterusan.
Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi. MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.
Lihat Juga:
Bank Negara Malaysia
24 Januari 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.