Inflasi keseluruhan dan inflasi teras menurun sedikit
- Pada bulan September, inflasi keseluruhan dan inflasi teras1 menurun sedikit kepada 1.8% (Ogos 2024: 1.9%).
- Penurunan ini disumbangkan terutamanya oleh inflasi yang lebih rendah untuk bahan api (iaitu diesel dan RON97). Penurunan ini diimbangi sebahagiannya oleh inflasi yang lebih tinggi bagi makanan segar termasuk makanan laut segar dan daging segar.
Pertumbuhan perdagangan borong dan runcit lebih perlahan pada bulan Ogos
- Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) meningkat sebanyak 3.8% pada bulan Ogos 2024 (Julai 2024: 5.5%).
- Semua segmen terus meningkat meskipun pada kadar yang lebih sederhana. Khususnya, pertumbuhan dalam segmen borong dan runcit didorong oleh perdagangan borong bagi makanan, minuman dan tembakau serta perdagangan runcit di kedai barangan bukan khusus (contohnya pasar raya dan gedung serbaneka).
- Bagi segmen kenderaan bermotor, pertumbuhan sebahagian besarnya terjejas oleh jualan kenderaan bermotor yang lebih rendah (-0.1%; Julai 2024: 13.2%) dan diimbangi oleh peningkatan jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor (7.3%; Julai 2024: 8.5%).
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan2 menurun pada bulan September
- Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 4.8% pada akhir bulan September (Ogos 2024: 5.2%) susulan pertumbuhan pinjaman perniagaan (4.5%; Ogos 2024: 5.1%) dan bon korporat (2.1%; Ogos 2024: 2.8%) yang lebih perlahan.
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan menurun susulan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan dalam kalangan bukan PKS, manakala pinjaman kepada PKS secara amnya berterusan. Walaupun pertumbuhan sederhana, pengeluaran pinjaman keseluruhan lebih tinggi pada bulan September. Pertumbuhan pinjaman kepada sektor perkhidmatan kekal menggalakkan, manakala pertumbuhan sektor perkilangan dan pembinaan menurun.
- Pertumbuhan isi rumah kekal pada 6.1% (Ogos 2024: 6.2%), berikutan pertumbuhan pinjaman yang secara amnya stabil merentas semua tujuan.
Pasaran kewangan domestik sebahagian besarnya didorong oleh jangkaan pelonggaran dasar monetari global
- Keadaan kewangan global menjadi reda dalam keadaan jangkaan pasaran yang meningkat berhubung dengan kadar dasar yang akan dikurangkan lagi oleh Federal Reserve AS. Peningkatan jangkaan ini susulan pengurangan kadar sebanyak 50 mata asas pada bulan September.
- Berlatarkan keadaan ini, dolar AS menjadi lemah lantas memberikan tekanan penambahan nilai ke atas mata wang serantau termasuk ringgit (6.1%). Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysia Government Securities, MGS) 10 tahun menurun sebanyak 6 mata asas berikutan aliran masuk bukan pemastautin ke dalam pasaran bon domestik.
- Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) didagangkan lebih rendah sebanyak 1.8%, mencerminkan sentimen pelabur yang berhati-hati berikutan ketegangan geopolitik Timur Tengah dan menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.
Kedudukan mudah tunai dan pendanaan bank-bank terus menyokong aktiviti pengantaraan
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 148.0% (Ogos 2024: 145.4%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 83.8% (Ogos 2024: 83.8%).
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar secara keseluruhannya bertambah baik kepada 1.5% (Ogos 2024: 1.6%) manakala nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 1.0%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 125.1% daripada pinjaman terjejas (Ogos 2024: 123.8%).
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Terdiri daripada pinjaman isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
Sorotan Bulanan [PDF]
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.