Inflasi keseluruhan dan inflasi teras tidak berubah
- Inflasi keseluruhan dan inflasi teras[1] kekal tidak berubah untuk bulan Jun, masing-masing pada 2% dan 1.9%.
- Inflasi pengangkutan meningkat kepada 1.2% (Mei 2024: 0.9%), didorong terutamanya oleh pelarasan harga diesel. Pada masa yang sama, inflasi makanan di rumah juga mencatatkan peningkatan
(Jun 2024: 0.9%; Mei 2024: 0.5%), didorong terutamanya oleh makanan laut segar dan sayur-sayuran. Bagaimanapun, hal ini diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori pakaian dan kasut serta makanan di luar rumah.
Pertumbuhan perdagangan borong dan runcit lebih tinggi pada bulan Mei
- Indeks Perdagangan Borong dan Peruncitan (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) meningkat lebih pantas sebanyak 5.7% pada bulan Mei 2024 (April 2024: 4.5%).
- Peningkatan ini didorong terutamanya oleh perdagangan runcit yang lebih tinggi di kedai bukan khusus (contohnya pasar raya dan gedung serbaneka). Perdagangan borong juga meningkat, didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam komponen borong khusus lain.[2]
- Pertumbuhan dalam segmen kenderaan motor menurun namun kekal pada tahap tinggi iaitu 9.6% (April 2024: 17.1%).
Pertumbuhan kredit yang berterusan kepada sektor swasta bukan kewangan
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[3] kekal pada 5.4% pada akhir bulan Jun (Mei 2024: 5.4%) berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul (6%; Mei 2024: 5.7%), manakala kadar pertumbuhan bon korporat terkumpul adalah lebih sederhana (3.4%; Mei 2024: 4%).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul lebih kukuh (5.6%;
Mei 2024: 4.8%), disokong oleh pinjaman modal kerja dan pinjaman berkaitan pelaburan. Mengikut sektor, pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan.
- Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul stabil pada 6.2%
(Mei 2024: 6.3%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan bagi kebanyakan tujuan pinjaman.
Pasaran kewangan domestik masih dipengaruhi oleh pendorong luaran, termasuk perubahan jangkaan terhadap dasar monetari AS
- Pada bulan Jun, Federal Reserve AS menekankan keperluan untuk terus membenarkan dasar monetari yang ketat sementara menunggu perkembangan selanjutnya berkaitan inflasi AS dan pasaran pekerja. Dalam keadaan ini, peserta pasaran kewangan terus menjangkakan hanya satu atau dua pemotongan kadar oleh Fed menjelang akhir tahun 2024.
- Nilai ringgit menurun sebanyak 0.3% berbanding dolar AS, sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau (purata serantau[4]: -0.4%). Kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 3 mata asas seiring dengan penurunan kadar hasil bon AS, sementara FBM KLCI didagangkan 0.4% lebih rendah.
Kedudukan mudah tunai dan pendanaan bank-bank terus menyokong aktiviti pengantaraan
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai pada 155.2% (Mei 2024: 149.7%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 83% (Mei 2024: 82.2%).
Kualiti aset sistem perbankan kekal utuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara keseluruhannya kekal stabil masing-masing pada 1.6% dan 1%.
- Pada akhir bulan Jun 2024, jumlah peruntukan keseluruhan kekal pada
RM32 bilion.
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Mulai bulan Januari 2024, barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan IHP diklasifikasikan semula berdasarkan set wajaran baharu.
[2] Komponen borong khusus lain termasuk petrol, pelincir, logam, cat, bahan binaan, serta kelengkapan dan pelekatan.
[3] Terdiri daripada pinjaman isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek). Angka-angka tidak semestinya terjumlah disebabkan oleh penggenapan.
[4] Data kadar pertukaran ialah kadar pada pukul 12.00 tengah hari di Pasaran Tukaran Asing Antara Bank Kuala Lumpur. Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
Monthly Highlights [PDF]
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.