Inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal stabil
- Inflasi keseluruhan dan inflasi teras[1] kekal stabil pada bulan Julai 2024, masing-masing pada 2% dan 1.9%.
- Meskipun terdapat sedikit tekanan inflasi bagi bulan tersebut seperti inflasi yang lebih tinggi bagi barang kemas dan jam tangan serta perkhidmatan Indeks Harga Pengguna (IHP) terpilih,[2] hal ini sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori makanan seperti makanan di luar rumah dan makanan segar.
Pertumbuhan eksport kukuh pada bulan Julai 2024
- Eksport berkembang sebanyak 12.3% (Jun 2024: 1.7%), didorong oleh peningkatan menyeluruh dalam eksport perkilangan dan komoditi.
- Eksport perkilangan mencatatkan pertumbuhan dua angka, disokong terutamanya oleh eksport bukan elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E) dan pertumbuhan eksport E&E yang positif. Eksport komoditi juga meningkat, didorong terutamanya oleh eksport minyak sawit dan gas asli cecair (liquefied natural gas, LNG) yang lebih tinggi.
- Pada masa hadapan, eksport dijangka terus berkembang berikutan permintaan luaran yang bertambah baik dan peningkatan kitaran teknologi global.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal mampan
- Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal pada 5.5% pada akhir bulan Julai 2024 (Jun 2024: 5.5%) berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul (6.2%; Jun 2024: 6%) manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul adalah lebih sederhana (3%; Jun 2024: 3.4%).
- Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul adalah pada 6% (Jun 2024: 5.7%), didorong terutamanya oleh pertumbuhan lebih tinggi bagi pinjaman modal kerja, khususnya merentas sektor perkilangan dan perkhidmatan. Pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan terus menggalakkan.
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal pada 6.2% (Jun 2024: 6.2%) berikutan pengembangan stabil dalam pinjaman bagi pembelian rumah dan kereta. Permohonan pinjaman juga lebih tinggi, mencerminkan permintaan pembiayaan dalam kalangan peminjam isi rumah.
Pasaran kewangan domestik didorong terutamanya oleh perkembangan global, khususnya perubahan jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari AS
- Para pegawai Federal Reserve AS menyuarakan keyakinan bahawa bacaan terkini menunjukkan kemajuan menuju inflasi sasaran. Hal ini menandakan kemungkinan pengurangan kadar dasar seawal bulan September 2024. Kesannya, peserta pasaran kewangan telah menilai semula jangkaan mereka terhadap kadar dasar AS kepada dua hingga tiga pemotongan kadar (Jun 2024: satu hingga dua pemotongan).
- Kesannya, ringgit menambah nilai sebanyak 2.5% berbanding dolar AS pada bulan Julai 2024, selaras dengan kebanyakan mata wang serantau (purata serantau:[3] 1%).
- Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) 10 tahun menurun sebanyak 14 mata asas (purata serantau:[3] -25 mata asas) seiring dengan penurunan kadar hasil bon AS, manakala FBM KLCI didagangkan 2.2% lebih tinggi (purata serantau:[3] 2%).
Kedudukan mudah tunai dan pendanaan bank-bank terus menyokong aktiviti pengantaraan
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 8% (Jun 2024: 155.1%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 83% (Jun 2024: 82.8%).
Daya tahan sistem perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang utuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan kekal stabil masing-masing pada 1.6% dan 1%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada paras berhemat sebanyak 124.5% daripada pinjaman terjejas (Jun 2024: 124.1%), dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.4% daripada jumlah pinjaman.
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Termasuk perkhidmatan insurans peribadi serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan.
[3] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.
Sorotan Bulanan [PDF]
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.