Inflasi keseluruhan kekal tidak berubah manakala inflasi teras[1] terus menurun
- Inflasi keseluruhan kekal tidak berubah pada 1.5% pada bulan Januari (Disember 2023: 1.5%), manakala inflasi teras menurun sedikit kepada 1.8% (Disember 2023: 1.9%).
- Inflasi makanan dan minuman bukan alkohol terus menunjukkan trend menurun pada bulan tersebut, meskipun trend ini diimbangi oleh inflasi yang lebih tinggi bagi pembetungan dan bahan api RON97.
Pertumbuhan eksport menjadi positif
- Eksport kembali pulih untuk mencatatkan pertumbuhan positif (8.7%; Disember 2023: -10.1%) buat kali pertama sejak bulan Mac 2023. Prestasi ini didorong oleh eksport perkilangan dan komoditi yang bertambah baik secara menyeluruh.
- Eksport perkilangan kembali pulih, disokong oleh pertumbuhan dua angka dalam eksport bukan E&E dan penguncupan eksport E&E yang lebih kecil. Sementara itu, eksport komoditi juga bertambah baik didorong oleh eksport minyak sawit yang lebih tinggi.
- Pada masa hadapan, eksport dijangka terus berada pada landasan pemulihan ini sepanjang tahun 2024. Risiko pertumbuhan eksport menjadi lebih perlahan kekal wujud, berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan lebih tinggi[2],[3]
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5% pada akhir bulan Januari 2024 (Disember 2023: 4.7%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi (5.4%; Disember 2023: 4.9%).
- Pertumbuhan pinjaman terkumpul bagi perniagaan meningkat kepada 4.2% (Disember 2023: 3.6%) disokong oleh pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan yang lebih tinggi. Yang ketara, pertumbuhan pinjaman terkumpul bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal menggalakkan (8%; Disember 2023: 8.2%). Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul menurun kepada 3.6% (Disember 2023: 4.2%).
- Pertumbuhan pinjaman terkumpul bagi isi rumah meningkat kepada 6% (Disember 2023: 5.6%) dengan pertumbuhan berterusan bagi kebanyakan tujuan pinjaman. Hal ini mencerminkan keadaan permintaan pinjaman yang berterusan terutamanya bagi pembelian rumah dan kereta.
Pasaran kewangan domestik dipengaruhi terutamanya oleh jangkaan pelabur global bahawa kadar dasar AS akan lebih tinggi untuk tempoh lebih lama
- Keadaan kewangan global didorong terutamanya oleh jangkaan pasaran kewangan yang berubah-ubah bahawa Federal Reserve AS akan mengekalkan kadar faedah dasar semasa yang tinggi untuk tempoh yang lebih lama. Hal ini disebabkan terutamanya oleh pasaran pekerja AS yang berdaya tahan.
- Berlatarkan perkembangan ini, ringgit menurun nilai sebanyak 2.9% berbanding dengan dolar AS (purata serantau[4]: -2.5%), manakala kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 5 mata asas (purata serantau4: +12 mata asas).
- Walau bagaimanapun, FBM KLCI didagangkan lebih tinggi sebanyak 4% berikutan aliran masuk ekuiti asing (purata serantau4: -2%).
Bank-bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai pada 160.2%
(Disember 2023: 160.9%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara umum kekal stabil pada 81.6% (Disember 2023: 81.8%).
Kualiti aset dalam sistem perbankan kekal utuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan kekal stabil masing-masing pada 1.64% dan 1.0% (Disember 2023: 1.65% dan 1.1%).
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada paras berhemat sebanyak 120.8%
(Disember 2023: 119%) daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.5% (Disember 2023: 1.5%) daripada jumlah pinjaman.
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
[3] Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics, MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam Jadual 2.18 MHS.
[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
Sorotan Bulanan [PDF]
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.