Inflasi keseluruhan bulan Disember kekal tidak berubah pada 1.5%
- Inflasi[1] keseluruhan kekal tidak berubah pada 1.5% pada bulan Disember (November 2023: 1.5%), manakala inflasi teras menurun sedikit kepada 1.9% (November 2023: 2.0%).
- Khususnya, penurunan inflasi teras adalah disebabkan oleh inflasi yang lebih rendah untuk makanan di luar rumah iaitu sebanyak 3.4% (November 2023: 3.9%).
Pertumbuhan perdagangan borong dan runcit bulan November meningkat sedikit
- Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) meningkat sebanyak 4.7% pada bulan November 2023 (Oktober 2023: 4.5%).
- Pengembangan ini didorong oleh perdagangan borong dalam komponen borong khusus lain diikuti oleh perdagangan runcit kelengkapan isi rumah lain di kedai khusus.
- Walau bagaimanapun, jualan kenderaan motor menurun pada bulan tersebut.
Pertumbuhan mampan dalam kredit kepada sektor swasta bukan kewangan
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[2],[3] meningkat sebanyak 4.7% pada akhir bulan Disember (November 2023: 4.6%), disokong terutamanya oleh pertumbuhan kredit yang lebih tinggi kepada perniagaan (3.8%; November 2023: 3.5%).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat kepada 3.6% (November 2023: 2.7%), didorong terutamanya oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman modal kerja. Yang ketara, pertumbuhan pinjaman PKS terus bertambah baik (8.2%; November 2023: 7.9%). Walau bagaimanapun, pertumbuhan bon korporat terkumpul menurun sedikit kepada 4.2% (November 2023: 4.6%).
- Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal mampan pada 5.6% (November 2023: 5.7%), disokong oleh pertumbuhan yang secara amnya stabil merentas kebanyakan tujuan pinjaman. Keadaan ini mencerminkan permintaan pinjaman yang berterusan, dengan pertumbuhan permohonan pinjaman yang lebih tinggi pada 26.0% (November 2023: 13.5%).
Pasaran kewangan domestik dipengaruhi terutamanya oleh jangkaan pelabur global terhadap pengurangan kadar dasar AS pada tahun 2024
- Keadaan pasaran global didorong oleh jangkaan pasaran kewangan bahawa Federal Reserve AS akan mula menurunkan kadar faedah dasar seawal tahun 2024 disebabkan oleh disinflasi yang berterusan. Sentimen pelabur ini dicerminkan oleh kadar hasil bon global yang menurun dan pada masa yang sama pasaran ekuiti global diniagakan lebih tinggi.
- Berlatarkan keadaan ini, ringgit menambah nilai sebanyak 1.3% berbanding dengan dolar AS (purata serantau [4] +0.6%), manakala kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 7 mata asas (purata serantau [4]: -29 mata asas).
- Sementara itu, FBM KLCI didagangkan lebih tinggi sedikit sebanyak 0.1%, sejajar dengan bursa saham lain (purata serantau [4]: 3.2%).
Bank-bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan
- Nisbah Perlindungan Mudah Tunai keseluruhan sistem perbankan meningkat pada bulan Disember apabila bank-bank menguruskan penampan secara proaktif bagi menangani ketidaktentuan bermusim tahap deposit yang dijangka pada akhir tahun.
- Nisbah pinjaman kepada dana agregat sebahagian besarnya kekal stabil pada 81.8% (November 2023: 82.5%).
Kualiti aset sistem perbankan kekal utuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan pada amnya kekal stabil, masing-masing pada 1.6% (November 2023: 1.7%) dan 1.1% (November 2023: 1.0%).
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 119.2% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.5% daripada jumlah pinjaman.
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
[3] Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics, MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam Jadual 2.18.MHS.
[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
Sorotan Bulanan [PDF]
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.