Pelaksanaan Keperluan Pembayaran Bersama bagi Produk Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan
Embargo :6 Jul 2024
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin memberikan penjelasan berkenaan dengan pelaksanaan keperluan pembayaran bersama (co-payment) bagi produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance and takaful, MHIT).
Dokumen Dasar Perniagaan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan bertujuan untuk menggalakkan penawaran MHIT yang berterusan dan lebih mampu milik berikutan inflasi kos perubatan yang terus meningkat. Pada tahun 2023, Malaysia mencatatkan inflasi kos perubatan sebanyak 12.6%, yang jauh lebih tinggi daripada purata global sebanyak 5.6%.
Berkuat kuasa 1 September 2024, penanggung insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITO) dikehendaki menawarkan pilihan kepada pengguna untuk membeli produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama. Pengguna yang telah membeli produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama boleh mengekalkan produk MHIT sedia ada mereka. ITO juga boleh terus menawarkan produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama kepada pengguna baharu.
Dengan adanya produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama, pengguna dapat memilih produk MHIT pada kos yang lebih rendah berdasarkan kemampuan kewangan dan keperluan mereka. Produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama bukanlah sesuatu yang baharu dalam pasaran Malaysia. Berdasarkan pemerhatian semasa, tahap premium/sumbangan untuk produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama didapati lebih rendah sebanyak 19% hingga 68% berbanding dengan produk yang serupa tetapi tidak mempunyai ciri-ciri tersebut. Tahap premium/sumbangan ini bergantung pada tahap pembayaran bersama yang dipilih. ITO juga dikehendaki menawarkan pelbagai tahap pembayaran bersama yang memenuhi keperluan kewangan dan situasi pengguna yang berbeza-beza. Pembayaran bersama juga tertakluk pada had maksimum yang ditetapkan oleh ITO bagi mengehadkan jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh pemilik polisi/peserta takaful.
Bagi meningkatkan lagi tahap mampu milik MHIT serta melindungi kepentingan pengguna, Dokumen Dasar Perniagaan Perniagaan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan juga menetapkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh ITO seperti yang berikut:
Pengambilan produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama yang lebih meluas secara beransur-ansur bertujuan untuk membantu membendung inflasi kos perubatan di Malaysia melalui kawalan terhadap penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berlebihan. Langkah ini dilaksanakan bersama-sama pembaharuan perkhidmatan penjagaan kesihatan lain yang terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan yang telah diterbitkan oleh Kerajaan. Ini termasuk meningkatkan ketelusan kos perubatan supaya pengguna dapat membuat pilihan yang sesuai apabila mendapatkan perkhidmatan kesihatan serta mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan. Oleh itu, pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) diperlukan untuk membendung inflasi kos perubatan sepanjang rantaian nilai penjagaan kesihatan (healthcare value chain).
Bank Negara Malaysia
6 Julai 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.