BIS dan rakan-rakan bank pusat membuktikan bahawa pematuhan dasar boleh diterapkan dalam transaksi rentas sempadan melalui Projek Mandala
Embargo :28 Okt 2024
Bank for International Settlements (BIS) dan rakan-rakan bank pusat telah berjaya membuktikan melalui Projek Mandala bahawa pematuhan dasar boleh diterapkan dalam protokol transaksi rentas sempadan.
Projek eksperimen ini merupakan kerjasama antara BIS Innovation Hub di Singapura, Reserve Bank of Australia, Bank of Korea, Bank Negara Malaysia dan Monetary Authority of Singapore.
Projek yang kini berada pada tahap pembuktian konsep ini adalah selaras dengan tindakan keutamaan G20 untuk mempertingkatkan pembayaran rentas sempadan. Hal ini berikutan potensinya untuk mengurangkan kos dan meningkatkan kepantasan transaksi, dan pada masa yang sama memastikan pematuhan pengawalseliaan.
ˇ°Mandala merupakan perintis dalam pendekatan pematuhan terancang (compliance-by-design) bagi menambah baik pembayaran rentas sempadan tanpa menjejaskan privasi atau integriti semakan pengawalseliaan,ˇ± kata Maha El Dimachki, Ketua BIS Innovation Hub di Singapura.
ˇ°Kami yakin bahawa hasil awal ini berpotensi untuk mempertingkatkan pembayaran rentas sempadan,ˇ± tambah beliau.
Penyelarasan pematuhan transaksi rentas sempadan
Rangka kerja pengawalseliaan berkaitan transaksi rentas sempadan adalah penting bagi operasi sistem kewangan global yang selamat dan terjamin. Namun begitu, kewujudan rejim bidang kuasa yang berbeza-beza di setiap negara yang perlu dipatuhi turut menyumbang pada peningkatan kos dan menjejaskan kepantasan urus niaga.
Projek Mandala bertujuan untuk meningkatkan kepantasan dan kecekapan transaksi rentas sempadan. Langkah ini dibuat dengan mengautomasikan prosedur pematuhan, mempertingkatkan ketelusan dasar khusus sesebuah negara serta menawarkan laporan dan pemantauan secara masa nyata bagi pengawal selia dan penyelia bank pusat.
Inovasi utama dan pencapaian teknikal
Projek Mandala telah membangunkan sistem tidak berpusat (decentralised) dengan pematuhan terancang yang mampu menyelaraskan pembayaran rentas sempadan dengan menyepadukan pematuhan pengawalseliaan dalam rangkaian institusi kewangan dan bank pusat. Reka bentuk tidak berpusat ini menggabungkan tiga komponen utama: sistem pesanan rakan ke rakan (peer-to-peer), enjin peraturan (rules engine) dan enjin pembuktian (proof engine).
Sistem ini memastikan semua semakan pematuhan yang diperlukan telah dilaksanakan sebelum arahan pembayaran dimulakan. Sebaik sahaja semua semakan selesai, sistem Mandala secara automatik menjana bukti pematuhan, yang boleh disertakan bersama mana-mana aset penyelesaian digital atau arahan pembayaran merentasi sempadan. Bagi melindungi privasi, bukti pematuhan boleh disahkan tanpa mendedahkan data asas pelanggan.
Projek ini membuktikan kebolehlaksanaan teknikal melalui dua kes penggunaan utama:
Integrasi dengan aset digital dan sistem yang sedia ada
Mandala berjaya berintegrasi dengan sistem penyelesaian aset digital yang baharu seperti mata wang digital bank pusat secara borong serta sistem pemesejan pembayaran tradisional seperti Swift.
Dwiintegrasi ini memastikan sistem Mandala serba boleh (versatility) dan bermodul (modularity) dalam menyokong ekosistem aset digital masa hadapan dan infrastruktur kewangan yang sedia ada. Bagi aset digital, Mandala menggunakan pematuhan boleh diprogram (programmable compliance) yang dapat disepadukan dalam kontrak pintar.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Dr. Norhana Endut berkata, ˇ°Projek Mandala telah memberikan gambaran awal mengenai masa hadapan pembayaran rentas sempadan. Kita telah berjaya membuktikan satu penyelesaian yang berpotensi untuk menangani cabaran utama dengan proses pematuhan sedia ada, serta akan membuka laluan untuk transaksi antarabangsa yang lebih pantas, selamat dan cekap. Projek ini merupakan batu asas yang penting untuk kemajuan selanjutnya dalam pembayaran rentas sempadan. Projek ini juga mengukuhkan komitmen bersama kami untuk memupuk integrasi ekonomi dan kewangan yang lebih besar di samping meningkatkan keupayaan pengawasan pengawalseliaan.ˇ±
Bank Negara Malaysia
Bank for International Settlements
Reserve Bank of Australia
Bank of Korea
Monetary Authority of Singapore
28 Oktober 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.