Memperkasakan Komuniti Tempatan dengan Literasi Kewangan di Karnival Celik Kewangan Pahang
Embargo :6 Jul 2024
Memperkasakan Komuniti Tempatan dengan Literasi Kewangan di Karnival Celik Kewangan Pahang
Karnival Celik Kewangan (KCK) Pahang sedang berlangsung dari 6 hingga 7 Julai 2024 di East Coast Mall, Kuantan. Sebelum itu, Skuad Celik Kewangan telah menjelajah ke 11 daerah di Pahang bagi berkongsi nasihat dan pendidikan kewangan secara percuma kepada komuniti di Pahang.
KCK dianjurkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) dengan kerjasama industri kewangan. Ia adalah usaha untuk melengkapkan rakyat di seluruh negara dengan kemahiran pengurusan kewangan dan meningkatkan rangkuman kewangan.
Semasa pelancaran KCK Pahang, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Adnan Zaylani Mohamad Zahid menekankan bahawa individu yang mempunyai ilmu kewangan akan dapat menguruskan kewangan harian mereka dengan lebih baik. Mereka tidak terlalu terbeban dengan hutang, mampu menyimpan untuk kecemasan dan merancang untuk masa hadapan. Ini dapat membantu mereka mempunyai kehidupan yang selesa dan membuat keputusan kewangan peribadi atau perniagaan dengan lebih baik.
KCK Pahang menampilkan reruai interaktif oleh ahli FEN, agensi kerajaan dan institusi kewangan. Selain itu, terdapat persembahan, cabutan bertuah, aktiviti untuk kanak-kanak dengan penampilan maskot Si Kijang dan konsert mini. Reruai #JanganKenaScam turut disediakan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang penipuan kewangan.
Bersempena dengan KCK Pahang, FEN mengadakan jelajah Skuad Celik Kewangan untuk memberi akses nasihat kewangan dan sumber pendidikan yang relevan secara percuma kepada komuniti tempatan di seluruh Pahang. Ini termasuk topik mengenai pengurusan kewangan peribadi, literasi kewangan digital, kesedaran tentang penipuan kewangan, dan perlindungan terhadap risiko kewangan.
Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengadakan Dialog PKS (perusahaan kecil dan sederhana) di Kuantan bersama 26 persatuan dan perniagaan di Pahang. Dialog tersebut membincangkan perkembangan dan prospek ekonomi terkini, serta ekosistem pembiayaan PKS, serta menyediakan platform bagi perbincangan dua hala antara BNM dan PKS di Pahang mengenai isu-isu khusus. Melalui dialog ini juga, BNM mendapatkan pandangan yang boleh dimanfaatkan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dan lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh PKS.
Jaringan Pendidikan Kewangan
6 Julai 2024
Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN)
Ditubuhkan pada bulan November 2016, FEN bertindak sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif pendidikan kewangan serta mengenal pasti peluang baharu untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dilaksanakan melalui penjajaran yang lebih baik, kerjasama yang lebih erat dan tumpuan yang jitu terhadap penilaian impak. Ahli-ahli FEN termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.