Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Perasmian oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid
di Majlis Pelancaran Karnival Celik Kewangan
East Coast Mall, Kuantan, Pahang | 6 Julai 2024
Alhamdulillah, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi menerima kehadiran Bank Negara Malaysia bersama rakan-rakan daripada Jaringan Pendidikan Kewangan atau FEN, dan industri kewangan, bersempena Karnival Celik Kewangan Pahang 2024. Hasrat kami ialah untuk berkongsi dengan rakyat Pahang ilmu pengurusan kewangan, dan menggalakkan akses secara bermakna dan menyeluruh kepada sistem kewangan buat semua lapisan masyarakat.
Sebelum tiba di Kuantan, pasukan kami telah berkunjung ke semua 11 daerah di negeri Pahang. Antaranya, pasukan kami menyantuni masyarakat orang asli di Cameron Highlands, Malim Gunung di Raub serta pelatih-pelatih TVET di Temerloh dan Rompin. Tujuan jelajah ini bukan sahaja untuk menyampaikan mesej-mesej pendidikan kewangan yang terkini, tetapi juga bagi meneliti isu dan permasalahan berkaitan rangkuman dan literasi kewangan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar negeri Pahang.
Saudara-saudari sekalian,
Saya fikir, ada tiga perkara yang perlu saya bangkitkan untuk perhatian kita bersama, dalam kita mengemudi kehidupan seharian:
Rakyat yang celik wang biasanya lebih bijak dalam mengurus kewangan harian, tidak terlalu terbeban dengan hutang dan mempunyai penampan kewangan dan simpanan untuk jangka panjang. Ianya bukan sahaja dapat memastikan kita menikmati taraf hidup yang baik atau selesa, malah membolehkan kita membuat keputusan kewangan yang bijak untuk keperluan sehari-hari, sama ada untuk urusan peribadi atau pun perniagaan. Hasilnya, kita mampu menghindar bebanan hutang tidak terkawal, dapat menabung dan melabur dengan bijak dan mampu menyediakan dana kecemasan untuk mengatasi situasi yang tidak dijangka. Peniaga yang celik kewangan pula mampu mengawal kos operasi, membuat pelaburan yang memberi pulangan terbaik serta mampu memngembangkan perniagaan. Ini sudah tentu dapat mengurangkan tekanan dan kebimbangan kewangan serta meningkatkan keupayaan kita untuk mencapai matlamat hidup dan aspirasi peribadi.
Daripada aspek ekonomi negara, apabila individu dan perniagaan membuat keputusan kewangan yang bijak, mereka cenderung untuk berbelanja dengan lebih berhemah, lantas membawa kepada kestabilan ekonomi. Pelaburan yang bijak pula membantu menggerakkan dana ke sektor yang lebih produktif, menyumbang kepada inovasi dan peningkatan produktiviti. Ini membolehkan perniagaan berkembang dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, mengurangkan pengangguran dan meningkatkan pendapatan isi rumah. Dengan pengurusan kewangan yang baik, individu dan perniagaan akan lebih bersedia berdepan ketidakpastian ekonomi.
Namun begitu, Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2021 mendapati hanya 16% rakyat Pahang berpandangan yang wang perlu dirancang secara berhemat.[1] Perspektif sebegini menyumbang kepada kurangnya penampan kewangan, di mana ramai mendapati sukar untuk menyediakan wang RM1,000 dalam situasi kecemasan.[2] Sesungguhnya, keupayaan membuat keputusan kewangan dengan bijak dan mempunyai wang kecemasan dapat meningkatkan pendapatan dan simpanan secara beransur-ansur. Langkah-langkah seperti mengamalkan bajet bulanan, mengelak pembelian tidak perlu, berikhtiar mengurangkan hutang, menabung untuk kecemasan, memulakan pelaburan selamat dan berniaga secara sambilan mampu menyumbang ke arah ini.
Saudara-saudari sekalian,
Inisiatif pendidikan kewangan secara terancang oleh BNM telah bermula seawal tahun 2000. Inisiatif peringkat awal menjurus kepada kesedaran tentang produk dan perkhidmatan kewangan, kemudiannya diikuti oleh usaha memperkasakan pengurusan kewangan, melalui penubuhan BNMLINK dan Agensi Kredit dan Perkhidmatan Kaunseling (atau AKPK). Penubuhan FEN pada tahun 2016, telah melonjakkan inisiatif pendidikan kewangan di seluruh negara, melalui platform bersepadu yang melibatkan lapan agensi. FEN telah menggubal Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang melakar insiatif pendidikan kewangan secara lebih sistematik dan holistik.
Kini penerapan mesej pendidikan kewangan telah dijalankan di semua peringkat sekolah sebagai sebahagian daripada kurikulum persekolahan kebangsaan secara lengkap, daripada peringkat prasekolah hingga sekolah menengah, hasil kerjasama erat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia. Bak kata pepatah ¡°melentur buluh biarlah dari rebungnya¡±. Hasil kaji selidik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia membuktikan keberkesanan usaha ini, di mana tahap literasi kewangan didapati lebih tinggi dalam kumpulan pelajar yang telah menjalani pendidikan kewangan dalam silibus mereka. Insya Allah, hasil usaha keras sebegini bakal melahirkan generasi muda Malaysia yang lebih celik kewangan.
Seterusnya, FEN kini menumpukan usaha untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan belia di seluruh negara. Bagi tujuan ini, Bank Negara Malaysia telah melaksanakan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan setiap tiga tahun bagi menilai tahap keupayaan kewangan rakyat Malaysia, termasuk belia. Kaji selidik tahun 2021 mendapati bahawa kegagalan membuat keputusan kewangan yang baik di usia muda (contohnya, ketika memasuki alam pekerjaan), boleh mengakibatkan masalah kewangan jangka panjang, memandangkan komitmen kewangan yang semakin bertambah ketika meningkat dewasa.
Sehubungan dengan ini, suatu program pendidikan kewangan secara atas talian, FEN PROAKTIF telah dibangunkan. Program ini menyasarkan pelajar tahun akhir institusi pendidikan tinggi, untuk menyediakan belia dengan ilmu pengurusan kewangan pada beberapa tahun pertama berkerja. Besarlah harapan kami jika semua institusi pendidikan tinggi seluruh negara amnya, dan di Pahang khususnya, dapat menggalakkan pelajar-pelajar tahun akhir mereka menjalani program ini.
Saudara-saudari sekalian,
Inisiatif yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia dan FEN, dengan kerjasama agensi kerajaan dan industri kewangan untuk memperluaskan rangkuman kewangan memerlukan sokongan semua pemegang taruh. Saya ingin menjemput pihak kerajaan dan swasta di peringkat negeri Pahang untuk turut bekerjasama dengan kami dalam menggembeling tenaga di peringkat akar umbi untuk memperkasakan literasi kewangan, melengkapkan inisiatif rangkuman kewangan termasuklah meluaskan penawaran produk yang inklusif, termasuk kepada golongan rentan. Rangkuman kewangan yang lebih tinggi disertai pengurusan kewangan berhemat, dapat membuka jalan kepada tahap pendapatan dan taraf kehidupan yang lebih baik. Elemen-elemen ini saling menyokong antara satu sama lain.
Sistem kewangan yang semakin moden dengan teknologi yang semakin canggih menuntut kita untuk turut sama berubah dan menyesuaikan diri untuk mendapat manfaat sepenuhnya daripada perkembangan ini. Saya percaya yang perkhidmatan kewangan digital dapat dijadikan wadah untuk lonjakan produktiviti rakyat. Melalui kempen turun padang eDuit yang dijalankan di seluruh negara, masyarakat luar bandar dan usahawan mikro kini menikmati akses kepada perkhidmatan pembayaran digital yang selamat, senang dan segera, selain membuka peluang meningkatkan pendapatan melalui akses kepada pasaran secara ¡®online¡¯ di bandar¨Cbandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, tanpa perlu berkunjung ke sana. Malah, sudah ada yang berjaya menembusi pasaran luar negara.
Namun, di samping manfaat yang diperoleh, rakyat perlu peka terhadap risiko yang timbul ketika berurusan di platform digital yang memberi kemudahan hutang secara mudah, termasuklah melalui skim ¡°Beli Sekarang Bayar Kemudian¡± atau ¡°Buy-Now-Pay-Later¡± (BNPL). Saya menyeru agar semua pemegang taruh, termasuk penyedia platform BNPL, untuk meningkatkan usaha menyampaikan mesej pendidikan kewangan yang sesuai, terutamanya sebelum sesuatu transaksi digital dijalankan. Manfaatkanlah akses secara terus kepada pengguna untuk kebaikan dengan menyampaikan mesej pendidikan kewangan penting, seperti menggesa pengguna agar tidak mendedahkan maklumat perbankan peribadi kepada pihak ketiga dan menggalakkan pengambilan hutang secara bertanggungjawab. Inisiatif MyDuitStory yang kita akan saksikan sebentar lagi, boleh dijadikan contoh sebagai usaha memberi kesedaran tentang risiko penipuan dan scam dalam kaedah yang menarik dan seiring dengan keperluan serta cabaran sezaman.
Akhir kata, saya berharap rakyat Pahang dapat meraih manfaat daripada karnival ini. Dapatkanlah khidmat nasihat mengurus hutang, merancang persaraan, mengurus risiko kewangan peribadi dan macam-macam lagi yang disediakan secara percuma. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri Pahang atas kerjasama yang dihulurkan sepanjang penganjuran inisiatif ini.
Dengan lafaz Bismillahirramanirrahim, saya dengan ini melancarkan Karnival Celik Kewangan Pahang 2024.
[1] 23% rakyat Malaysia tidak bersetuju yang wang hanya untuk dibelanjakan, dan perlu dirancang secara berhemat
[2] 53% rakyat Malaysia mampu untuk menyediakan wang RM1,000 dalam situasi kecemasan, dan 43% untuk negeri Pahang