Pernyataan Bersama BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia: Maklumat Terkini daripada Mesyuarat ke-13 Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3)
Embargo :30 Jul 2024
Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) mengadakan mesyuaratnya yang ke-13 pada 23 Julai 2024 untuk membincangkan kemajuan inisiatif dan strategi JC3.
Pada mesyuarat ini, ahli-ahli JC3 bersetuju untuk meneruskan dua inisiatif penting berkaitan dengan data. Pertama, menyokong pembangunan faktor pelepasan nasional untuk sektor perindustrian utama melalui kerjasama yang lebih erat antara kerajaan dengan peserta sektor kewangan yang terlibat dengan pengumpulan dan pelaporan data.
Kedua, melaksanakan langkah-langkah bagi mengurangkan beban pelaporan terhadap syarikat untuk memberikan maklumat kepada institusi kewangan. Hal ini termasuk penggunaan templat yang seragam oleh institusi kewangan untuk mendapatkan maklumat berkaitan iklim daripada pelanggan serta pengaturan yang membolehkan syarikat membenarkan institusi kewangan berkongsi maklumat mereka kepada institusi kewangan lain dengan persetujuan.
Mesyuarat juga bersetuju untuk menubuhkan Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Makmal) bagi mempercepat usaha penyahkarbonan melalui penyelesaian kewangan yang inovatif. Makmal yang akan diterajui oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad ini dijangka memberikan tumpuan pada usaha menghimpunkan peserta industri untuk memikirkan penyelesaian kewangan bagi projek peralihan dan penyesuaian iklim serta projek berkaitan alam semula jadi.
Makmal ini juga akan memberikan sokongan kepada projek perintis di bawah JC3. Hal ini, bersama-sama dengan Panduan Kewangan Peralihan (Transition Finance Guidance) yang sedang dibangunkan oleh JC3, dijangka membuka lebih banyak peluang pembiayaan hijau yang mempunyai kredibiliti.
JC3 akan menerbitkan Katalog Data Iklim JC3 versi ketiga pada bulan Disember 2024 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan ketersediaan data iklim. Versi yang dikemas kini ini akan menampilkan kira-kira 28 item data unik yang baharu, terutamanya berkaitan biodiversiti serta data risiko kewangan berkaitan alam semula jadi, sebagai tambahan kepada 128 item data unik yang terdapat dalam katalog tersebut.
Datuk Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, berkata, ˇ°Ketersediaan, pengumpulan dan pelaporan data merupakan pendorong utama bagi peralihan hijau. Dalam hal ini, JC3 komited untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti data iklim yang sedia ada bagi menyokong penilaian risiko dan peralihan yang teratur.ˇ±
Susulan penerbitan maklum balas orang ramai oleh Advisory Committee on Sustainability Reporting (ACSR) mengenai cadangan untuk menggunakan International Sustainability Standards Board (ISSB) di Malaysia, Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (National Sustainability Reporting Framework, NSRF) sedang dimuktamadkan.
Salmah Bee Mohd Mydin, Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, berkata, ˇ°Penting untuk kami mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan untuk memaklumkan reka bentuk Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan, agar syarikat korporat di Malaysia dapat memberikan penzahiran kelestarian yang konsisten, setara dan boleh dipercayai.ˇ±
JC3 terus memberikan keutamaan kepada PKS melalui rancangan yang berterusan untuk meluaskan kesedaran PKS mengenai risiko berkaitan iklim. Beberapa bengkel kesedaran ESG yang berfokuskan industri akan diadakan untuk PKS bagi membantu usaha peralihan mereka. Hal ini melengkapkan usaha untuk memaklumkan tentang ketersediaan pembiayaan hijau kepada PKS termasuk Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (High Tech and Green Facility, HTG) dan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (Low Carbon Transition Facility, LCTF) di bawah Dana BNM untuk PKS.
JC3 juga meraih galakan daripada peningkatan permintaan untuk pembiayaan yang disokong oleh HTG, apabila lebih banyak PKS menyahut seruan untuk pertumbuhan dan inovasi yang mampan.
BNM akan terus memastikan peruntukan di bawah kemudahan-kemudahan ini terus tersedia untuk menyokong aktiviti PKS dalam bidang ini. Selain itu, usaha juga diteruskan untuk menaik taraf Portal ESG Jumpstart (ESG Jumpstart for SMEs | JC3 (jc3malaysia.com)) sebagai sumber utama untuk membantu PKS dalam peralihan iklim mereka
Menyedari akan keperluan untuk mewujudkan perhatian yang lebih luas berhubung dengan projek pemangkin dan keperluan pembiayaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR), JC3 dengan kerjasama Kementerian Ekonomi menganjurkan Sesi Libat Urus NETR pada 4 Julai 2024. Sesi ini memberikan maklumat terkini mengenai projek khusus di bawah NETR serta peluang untuk kerjasama yang lebih erat antara institusi kewangan dengan pemilik projek.
JC3 juga akan melancarkan siri kedua program JC3 Upskilling Sustainability Training (JUST) pada 6 Ogos 2024, yang memberikan tumpuan pada penilaian risiko iklim dan penerapannya dalam pengurusan risiko strategik. Siri ini berdasarkan JC3-GFANZ CEO Roundtable Luncheon yang dianjurkan pada bulan Mei mengenai perancangan peralihan.
Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
30 Julai 2024
Mengenai JC3
JC3 merupakan platform yang ditubuhkan pada bulan September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. JC3 dipengerusikan bersama oleh Datuk Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia dan Salmah Bee Mohd Mydin, Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan ahli-ahli yang terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 21 peserta industri kewangan. Inisiatif dan keutamaan JC3 di bawah tanggungjawab lima jawatankuasa kecilnya, iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Penzahiran; Produk dan Inovasi; Penglibatan dan Pembinaan Keupayaan serta Menangani Jurang Data. Kumpulan Fokus PKS telah ditubuhkan untuk membangunkan strategi dan penyelesaian yang menyokong peralihan oleh PKS.
Ahli-ahli: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), BIMB Investment Management Berhad, BNP Paribas Asset Management Sdn. Bhd., Bursa Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, Kenanga Investors Berhad, Maybank Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, MSIG Insurance (Malaysia) Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, RHB Islamic International Asset Management Bhd., Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Swiss Re Asia Pte. Ltd. (Swiss Retakaful), Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, UOB Asset Management (Malaysia) Berhad and Zurich General Insurance Malaysia Berhad.
Bank Negara Malaysia
30 Julai 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.