Kenyataan Bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia daripada Mesyuarat ke-12 Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3)
Embargo :29 Feb 2024
Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) mengadakan mesyuaratnya yang ke-12 pada 23 Februari 2024 untuk menilai semula kemajuan usaha yang sedang dilaksanakan, serta membincangkan keutamaan dan pelan tindakan JC3 untuk tahun ini.
Pada tahun 2024, JC3 akan terus bekerjasama dengan Kerajaan, industri kewangan dan para rakan kerjasama berkenaan pelan tindakan khusus untuk menyokong peralihan ekonomi yang adil dan teratur. Ahli JC3 mempersetujui tindakan untuk terus memberikan tumpuan pada meningkatkan aliran kewangan bagi peralihan dan penyesuaian iklim, serta membina daya tahan terhadap risiko berkaitan iklim.
Selain itu, terdapat usaha untuk menyepadukan pertimbangan yang lebih luas tentang risiko alam semula jadi dan risiko alam sekitar dengan pembangunan strategi iklim institusi kewangan yang sedang dilaksanakan. Berasaskan dasar yang diumumkan oleh Kerajaan, JC3 akan berfungsi sebagai platform utama untuk menggalakkan penjajaran sektor kewangan pada haluan peralihan sektoral.
Sebagai sebahagian daripada rancangan ini, bidang tumpuan utama pada tahun ini adalah untuk menyokong pembangunan pelan peralihan yang berkredibiliti oleh industri kewangan. Hal ini termasuk usaha menerbitkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan JC3 untuk membimbing pembangunan penyelesaian kewangan peralihan yang diyakini.
Datuk Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, berkata, ˇ°Memandangkan lebih banyak institusi kewangan telah menetapkan sasaran iklim, sangat penting bagi institusi kewangan untuk membangunkan dan melaksanakan pelan peralihan yang mantap dan diyakini yang sejajar dengan sasaran ini. Pada peringkat makro, rancangan peralihan pula perlu mencerminkan dan konsisten dengan haluan nasional dan sektoral. Hal ini penting untuk memastikan sokongan kewangan untuk aktiviti peralihan dan penyesuaian serta mengurangkan kesan gangguan jangka pendek terhadap ekonomi.ˇ±
Meskipun diakui bahawa terdapat perhatian yang lebih besar pada projek pemangkin dan keperluan pembiayaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (National Energy Transition Roadmap, NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Masterplan, NIMP), ahli JC3 menyedari akan keperluan untuk meluaskan lagi perkongsian awam-swasta dan struktur kewangan campuran untuk menggembleng modal. Ahli JC3 berbincang dan bersetuju untuk mengusahakan strategi yang berpotensi untuk mencapai matlamat ini, termasuk strategi khusus sektor dan keutamaan data.
Dalam menyokong transformasi sektor benar, ahli JC3 mengambil maklum hasil positif daripada program rintis Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC) yang dilancarkan setahun lalu. Program ini telah membolehkan lebih 330 PKS mula mengukur dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gasses, GHG) mereka. Berikutan perkembangan yang menggalakkan ini, JC3 akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan rakan kerjasama yang berkaitan untuk meningkatkan GVC dalam kalangan syarikat tersenarai awam dan syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies, GLC). Sebagai sebahagian daripada usaha ini, JC3 berhasrat untuk merakamkan pendekatan dan maklumat yang diperoleh semasa fasa rintis untuk dijadikan rujukan.
Mesyuarat JC3 juga menilai kemajuan rancangan pelaksanaan rintis baharu yang memberikan tumpuan pada Menghijaukan Taman Perindustrian (Greening Industrial Parks, GIP). Inisiatif ini bertujuan untuk menyokong pembiayaan infrastruktur hijau dan peralihan oleh pengurus taman rintis dan syarikat penyewa. Hasil yang boleh diukur termasuk pemahaman khusus tentang struktur pembiayaan dan penyelarasan dasar untuk meningkatkan daya maju usaha menghijaukan taman perindustrian yang boleh dicontohi oleh segmen ekonomi yang lebih luas.
JC3 akan terus memastikan sokongan rapat kepada PKS dalam fasa peralihan. Hal ini termasuk memberi akses kepada kewangan, pembinaan keupayaan dan alat yang praktikal untuk membantu peralihan. Portal ESG Jumpstart berperanan sebagai portal maklumat sehenti mengenai peralihan iklim untuk PKS.
JC3 akan bekerjasama dengan agensi Kerajaan dan penyedia perkhidmatan yang berkaitan untuk membantu PKS mendapatkan pensijilan hijau khusus sektor pada kos yang lebih rendah. Templat usaha wajar yang seragam khusus untuk PKS dan penunjuk berkaitan iklim sedang dibangunkan untuk memudahkan permintaan maklumat oleh institusi kewangan kepada PKS berkaitan dengan permohonan pinjaman dan insurans.
Piawaian penzahiran kelestarian kekal sebagai satu lagi tonggak penting untuk JC3. Datuk Kamarudin Hashim, Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, berkata, ˇ°Dengan penerbitan perundingan awam oleh Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) mengenai cadangan penggunaan Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) di Malaysia, orang ramai digalakkan untuk berkongsi pandangan tentang pendekatan, masa dan pertimbangan kritikal lain serta membantu membentuk rangka kerja untuk Malaysia, sambil kita menilai kebolehpercayaan maklumat yang didedahkan.ˇ± Orang ramai boleh mengakses dan memberikan maklum balas tentang isu-isu seperti yang digariskan dalam Kertas Perundingan di sini.
Ahli-ahli JC3 telah membincangkan status usaha berterusan untuk menangani jurang data dan mengalu-alukan kemajuan penting yang dibuat dengan sokongan kritikal agensi Kerajaan, untuk meningkatkan lagi ketersediaan data sektor utama yang berkaitan dengan kes penggunaan keutamaan bagi sektor kewangan. Sumber data akan terus diisi dalam Katalog Data Iklim yang diterbitkan oleh JC3.
Antara bidang strategik lain yang dibincangkan ialah memasukkan pertimbangan alam semula jadi dan alam sekitar dalam operasi perniagaan, penawaran produk dan proses membuat keputusan institusi kewangan. Program akan dianjurkan untuk membina kecekapan teknikal dalam bidang ini, serta menyokong keperluan latihan industri dengan memanfaatkan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan yang akan dilancarkan pada S2 2024.
Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
29 Februari 2024
Mengenai JC3
JC3 merupakan platform yang ditubuhkan pada bulan September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. JC3 dipengerusikan bersama oleh Datuk Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Datuk Kamarudin Hashim, Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan ahli-ahli yang terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 21 peserta industri kewangan. Inisiatif dan keutamaan JC3 di bawah tanggungjawab lima jawatankuasa kecilnya, iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Penzahiran; Produk dan Inovasi; Penglibatan dan Pembinaan Keupayaan serta Menangani Jurang Data. Kumpulan Fokus PKS telah ditubuhkan untuk membangunkan strategi dan penyelesaian yang menyokong peralihan oleh PKS.
Ahli-ahli: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), BIMB Investment Management Berhad, BNP Paribas Asset Management Sdn. Bhd., Bursa Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, Kenanga Investors Berhad, Maybank Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, MSIG Insurance (Malaysia) Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, RHB Islamic International Asset Management Bhd., Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Swiss Re Asia Pte. Ltd. (Swiss Retakaful), Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, UOB Asset Management (Malaysia) Berhad dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad.
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.