Kenyataan Bersama Bank Negara Malaysia and Suruhanjaya Sekuriti Malaysia: Perkembangan di Mesyuarat ke-9 Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim
Embargo :7 Dis 2022
Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) telah mengadakan mesyuarat kali kesembilannya pada 2 Disember 2022.
JC3 terus menyokong usaha untuk mengukuhkan pengurusan risiko berkaitan iklim serta meningkatkan aliran kewangan ke arah aktiviti yang lebih hijau dan mampan bagi sektor kewangan.
Pada mesyuarat ini, ahli JC3 meluluskan penerbitan Katalog Data (Data Catalogue, DC) dan laporan iringan mengenai ketersediaan dan jurang data serta cadangan untuk menangani jurang data. DC ini merupakan langkah mustahak bagi menangani keperluan data yang sangat penting bagi sektor kewangan. DC akan menjadi sumber rujukan mengenai ketersediaan dan kebolehcapaian data iklim dan persekitaran, berdasarkan senarai keutamaan kes penggunaan sektor kewangan. Katalog Data ini telah menyerlahkan jurang data yang penting, dengan hanya 49% item data yang diperlukan untuk kes penggunaan keutamaan tersedia pada masa ini. Daripada jumlah ini, sebahagian besar data yang tersedia tidak mempunyai butiran yang mencukupi, manakala data semasa yang ada pula tidak mudah diakses atau dibandingkan. Susulan penerbitan DC, JC3 akan menumpukan usaha pada tahun 2023 untuk bekerjasama dengan penyedia data yang berkaitan bagi menyelesaikan isu kebolehcapaian data serta meningkatkan kualiti, kebolehbandingan dan ketekalan sumber data sedia ada. Berikutan jurang data yang ketara, JC3 juga bersetuju untuk bekerjasama dengan penyedia data utama tentang strategi mengurangkan jurang data dengan ketara dengan mengambil kira perkembangan tempatan dan global mengenai kemampanan dan penzahiran[1] berkaitan iklim. Katalog Data dan laporan ini boleh didapati melalui [1, 2] pada 16 Disember 2022.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kewangan hijau dan mampan, JC3 telah membincangkan rancangan untuk membangunkan dan melancarkan beberapa program rintis pada tahun 2023 yang akan diberikan keutamaan di bawah Jawatankuasa Kecil Produk dan Inovasi. Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Jessica Chew berkata, ˇ°Bagi PKS, pelancaran program Penghijauan Rantaian Nilai oleh Bank Negara Malaysia dengan kerjasama JC3 baru-baru ini merupakan contoh projek rintis bagi membantu PKS melaksanakan perubahan jangka panjang dalam usaha menghijaukan operasi mereka. JC3 akan secara aktif mengusahakan lebih banyak projek rintis yang memberikan impak yang tinggi terhadap peluasan kewangan mampan dan kewangan peralihan, termasuk projek yang boleh mewujudkan kesan contoh (demonstration effects) positif dan seterusnya membangunkan ekosistem untuk kewangan mampan dan kewangan peralihan. Inisiatif ini merupakan langkah penting untuk Malaysia mencapai Sifar Bersih menjelang tahun 2050.ˇ±
JC3 juga akan terus memberikan tumpuan pada keutamaan berikut menerusi jawatankuasa kecil mengenai pengurusan risiko, tadbir urus dan penzahiran, serta penglibatan dan pembinaan keupayaan pada tahun 2023:
Ahli JC3 turut membincangkan peranan sektor kewangan dalam memudahkan peralihan tenaga. Unit Perancang Ekonomi (Economic Planning Unit, EPU) membentangkan gambaran keseluruhan Dasar Tenaga Negara yang dikeluarkan baru-baru ini serta empat teras strategiknya. Salah satu terasnya adalah untuk meningkatkan sumbangan sektor tenaga ke arah kelestarian alam sekitar. Ahli JC3 mengambil maklum akan kepentingan menyelaraskan sasaran di bawah Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050. Ahli JC3 juga bertukar-tukar pandangan dengan PETRONAS mengenai laluan pelepasan karbon sifar bersihnya serta diberi taklimat oleh Bursa Malaysia mengenai Pasaran Karbon Sukarela yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Menurut Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, ˇ°Dasar dan pelan tindakan oleh peserta utama sektor tenaga akan meningkatkan gesaan untuk tindakan segera serta keperluan pembiayaan dan pelaburan sebagai salah satu penggerak utama yang menyokong pelaksanaan inisiatif strategik. Sektor kewangan mempunyai peranan penting dalam menyediakan pembiayaan hijau dan pelaburan mampan, iaitu bidang yang sedang diterokai JC3 untuk memudahkan peralihan yang adil dan teratur bagi Malaysia.ˇ±
JC3 juga mengalu-alukan penyertaan enam[5] persatuan industri serta Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan sebagai pemerhati.
Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
7 Disember 2022
Mengenai JC3
JC3 merupakan platform yang ditubuhkan pada bulan September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. JC3 dipengerusikan bersama oleh Datuk Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan ahli-ahli yang terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 21 peserta industri kewangan. Inisiatif dan keutamaan JC3 di bawah tanggungjawab lima jawatankuasa kecilnya, iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Penzahiran; Produk dan Inovasi; Penglibatan dan Pembinaan Keupayaan serta Menangani Jurang Data.
Ahli-ahli: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), BIMB Investment Management Berhad, BNP Paribas Asset Management Sdn. Bhd., Bursa Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, Kenanga Investors Berhad, Maybank Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, MSIG Insurance (Malaysia) Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, RHB Islamic International Asset Management Bhd., Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Swiss Re Asia Pte. Ltd. (Swiss Retakaful), Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, UOB Asset Management (Malaysia) Berhad dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad
[1] Termasuk standard yang dikeluarkan oleh International Sustainability Standards Board (ISSB) dan penzahiran yang sejajar dengan TCFD mandatori oleh institusi kewangan berlesen mulai tahun 2024
[2] Rangka Kerja Penilaian Impak Pembiayaan dan Pelaburan Pengantaraan Berasaskan Nilai
[3] Pasukan Petugas Mengenai Penzahiran Kewangan Berkaitan Iklim
[4] Dikeluarkan pada 29 Jun 2022
[5] Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), Malaysian Takaful Association (MTA), Persekutuan Pengurus-pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) dan Persatuan Pengurus Aset Malaysia (MMA)
Bank Negara Malaysia
7 Disember 2022
? Bank Negara Malaysia, 2022. All rights reserved.