Dasar Pertukaran Asing
Inisiatif Memperdalam Pasaran Swap Kadar Faedah sebagai Instrumen Lindung Nilai yang Cair untuk Peserta Pasaran
Bank Negara Malaysia (BNM) secara rundingan bersama ahli-ahli Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Market Committe, FMC), telah mula melaksanakan pelbagai inisiatif pasaran untuk menggalakkan pasaran kewangan domestik yang mendalam dan aktif pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Pada bulan November 2020, satu program perintis dilancarkan bagi memberikan fleksibiliti kepada bank peserta dalam negeri (participating onshore banks) dan Pejabat Luar Negeri Dilantik (Appointed Overseas Offices, AOO) mereka untuk memperdagangkan swap kadar faedah (interest rate swap, IRS) dalam denominasi ringgit dengan bank bukan pemastautin tanpa mengambil kira sebarang komitmen asas. Berdasarkan maklum balas positif yang diterima dalam tempoh perintis, BNM dengan sukacitanya mengumumkan bahawa berkuat kuasa pada 15 Mac 2021, bank bukan pemastautin boleh memperdagangkan IRS dalam denominasi ringgit tanpa sebarang komitmen asas dengan mana-mana bank tempatan dalam negeri atau AOO mereka.
Fleksibiliti ini akan mendorong penyertaan bank-bank bukan pemastautin dalam pasaran IRS dalam negeri, seterusnya menggalakkan pasaran domestik yang lebih cair untuk mengurangkan kos lindung nilai kepada syarikat dan pengurus aset, dan kos pendanaan bank-bank tempatan dalam negeri. BNM dan FMC akan terus berbincang dan berinteraksi dengan peserta pasaran bagi menggalakkan pasaran kewangan dalam negeri yang progresif dan teratur.
Bank Negara Malaysia
10 Mac 2021