Google Sekali Lagi Menyiarkan Data Kadar Pertukaran Asing Ringgit yang Tidak Tepat
Embargo :16 Mac 2024
Bank Negara Malaysia (BNM) tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang sedang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran USD/MYR yang salah diterbitkan oleh Google pada 15 Mac 2024. Maklumat ini tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar.
Rajah 1: Siaran kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat oleh Google pada 15 Mac 2024
Semalam (15 Mac 2024), kadar pertukaran USD/MYR berada pada 4.7015 pada pukul 9 pagi dan 4.7045 pada pukul 5 petang dengan kadar intrahari tinggi pada 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM.
Sepanjang dua minggu yang lalu (1 - 15 Mac 2024), nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76% berbanding dengan dolar AS.
Jadual 1: Kadar pertukaran USD/MYR yang disiarkan dalam laman sesawang BNM
Insiden ini merupakan kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada tahun 2024. BNM telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari 2024. Susulan insiden salah lapor yang kedua ini, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca pelaporan yang tidak tepat ini berlaku dan langkah-langkah pembetulan yang dibuat memandangkan isu yang berulang ini telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan yang lalu .
Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk data rasmi, termasuk data daripada BNM. Orang ramai juga perlu mengelak daripada menggunakan, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan sebagai rujukan bagi ringgit. Kadar pertukaran ialah data yang peka pasaran dan sebarang laporan yang tidak tepat dan penyebaran data yang tidak disahkan boleh mengakibatkan implikasi yang serius terhadap pasaran kewangan.
Bank Negara Malaysia
16 Mac 2024
Lihat juga:
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.