Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Alu-aluan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Global Forum on Islamic Economics and Finance
28 Mei 2024 | Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
Saya rasa berbesar hati dan ingin mengucapkan selamat datang kepada semua hadirin ke Global Forum on Islamic Economics and Finance atau GFIEF. Forum ini merupakan kesinambungan daripada 15th International Conference on Islamic Economics and Finance (ICIEF), yang diadakan pada bulan Februari tahun ini. Perbincangan dan kertas penyelidikan yang dibentangkan pada persidangan tersebut telah menetapkan asas bagi menerapkan rangka kerja ekonomi yang mampan dan bersifat insaniah. Diharapkan agar rangka kerja ini dapat dimajukan lagi pada hari ini.
Terdapat pelbagai peluang dan cabaran yang dihadapi oleh ekonomi global. Perdagangan global dijangka semakin kukuh, inflasi semakin berkurang dan keadaan pasaran pekerja yang positif terus menyokong pertumbuhan global. Walau bagaimanapun, risiko pertumbuhan menjadi perlahan terus kekal apabila ancaman ketegangan geopolitik yang kian meruncing masih berlarutan dan inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan mungkin menyumbang kepada pasaran kewangan global yang kian tidak menentu.
Krisis iklim dan kemerosotan alam sekitar juga semakin ketara. Keadaan ini bukan hanya mengganggu-gugat dunia kita secara fizikal, malah turut mengancam nyawa dan mata pencarian orang ramai. Terdapat anggaran bahawa jika tiada tindakan mitigasi yang diambil, perubahan iklim mampu mengurangkan KDNK global hingga 18% menjelang tahun 2050[1]. Rintangan ini pasti akan memburukkan lagi ketaksamaan ekonomi (economic inequality); melebarkan lagi jurang ekonomi bukan sahaja dalam sesebuah negara malah antara pelbagai negara.
Prinsip ekonomi dan kewangan Islam berpotensi memacu pertumbuhan berasaskan nilai, melebihi matlamat keuntungan semata-mata; iaitu pertumbuhan yang seimbang, progresif, mampan dan inklusif. Selaras dengan objektif Syariah, kita diseru untuk memupuk kemakmuran bersama.
Sepanjang sejarah tamadun Islam, kita telah memerhatikan bahawa penerapan prinsip Syariah sebagai panduan pembangunan adalah selari dengan tahap pembangunan masyarakat yang paling maju pada masa tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui tahap kemiskinan yang berkurang dan kemakmuran ekonomi yang mantap.
Seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Al-Qayyim, "secara keseluruhannya, Syariah ialah keadilan, belas ihsan, manfaat, dan kebijaksanaan". Nilai-nilai asas ekonomi dan kewangan Islam menawarkan langkah selanjutnya untuk mengkaji dan mempertimbangkan semula pendekatan kita dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh ekonomi global.
Sambil kita bermuhasabah tentang amanah yang digalas sebagai khalifah di muka bumi ini demi "Pembentukan Ekonomi Islam Global Berdaya Tahan Menerusi Pembaharuan Berasaskan Nilai-Nilai", iaitu tema forum kita pada hari ini, apa kata kita teliti tiga persoalan:
Pertama, bagaimanakah caranya untuk kita menerapkan prinsip-prinsip ekonomi dan kewangan Islam secara lebih berkesan untuk menangani cabaran global yang mendesak dalam dunia hari ini?
Kedua, bagaimanakah kita boleh memastikan kewangan Islam kekal teguh pada prinsip dan nilai-nilainya dalam keadaan landskap kewangan yang semakin berkembang serta bercirikan inovasi dan kemajuan teknologi?
Ketiga, apakah langkah-langkah yang diperlukan untuk mempertingkatkan sistem ekonomi, kewangan dan monetari negara yang akan menerapkan lagi prinsip-prinsip asas ekonomi dan kewangan Islam secara tersurat mahupun tersirat?
Harapan kita adalah supaya soalan-soalan ini dapat memberikan panduan kepada kita dalam perjalanan secara bersama ini. Soalan-soalan ini boleh mendorong kita untuk mengkaji semula, berinteraksi dan berbincang serta bekerjasama untuk mencari penyelesaian yang praktikal ¡°menerusi perubahan berasaskan nilai-nilai¡± ke arah wawasan yang dikongsi bersama iaitu ekonomi Islam global yang lebih berdaya tahan.
Saya percaya bahawa terdapat banyak perbincangan yang akan mencetuskan pandangan baharu dalam tempoh dua hari yang akan datang. Walau bagaimanapun, izinkan saya berkongsi dengan ringkas beberapa cadangan untuk dipertimbangkan:
(a) Pertama, menerapkan Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan ekonomi dan pembaharuan struktur yang mampan;
(b) Kedua, memajukan inovasi dalam tijari (perdagangan) dan wakaf sebagai pemangkin untuk memperkasakan model sosioekonomi yang inklusif dan berdaya tahan, dengan peranan kewangan Islam yang diperkukuh dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan nilai; dan
(c) Ketiga, meneguhkan lagi integrasi global untuk mendorong pembangunan ekonomi bersama dan kemakmuran yang dikongsi bersama dalam kalangan negara Islam, termasuk melalui peningkatan perdagangan antara negara OIC.
Kami mengalu-alukan usaha-usaha yang akan menyokong cadangan-cadangan ini. Hal ini termasuk mengadakan libat urus yang lebih mendalam dan dialog bersasar dengan organisasi pelbagai hala dan pelabur serta inisiatif untuk mempertingkatkan persekitaran kawal selia bagi memudahkan penerapan kontrak Syariah yang lebih pelbagai.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Izinkan saya mengakhiri ucapan saya. GFIEF melambangkan kerjasama penting yang menghimpunkan lebih 2,300 perwakilan daripada 75 negara. Penganjuran forum ini dapat dijayakan melalui naungan Kementerian Kewangan Malaysia serta sokongan padu daripada rakan-rakan kerjasama kami. Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjadikan forum ini sebuah realiti serta menjayakannya.
Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana menghadiri acara pada hari ini, serta kepada semua pembentang dan peserta forum yang dihormati. Sambil berbincang dan berinteraksi dalam dialog yang bermakna ini, marilah kita memanfaatkan kreativiti, mencabar diri untuk mempersoalkan status quo serta menyumbangkan idea dan penyelesaian berasaskan ekonomi dan kewangan Islam bagi menangani cabaran ekonomi dan sosial.
Akhir kata, terima kasih.
Bank Negara Malaysia
28 Mei 2024
[1] Sumber: This is How Climate Change Could Impact The Global Economy | World Economic Forum (weforum.org)