Global Forum of Islamic Economics and Finance: Pembentukan Ekonomi Islam Global Berdaya Tahan Menerusi Pembaharuan Berasaskan Nilai-Nilai
Embargo :29 Apr 2024
Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menganjurkan Global Forum of Islamic Economics and Finance (GFIEF) dari 28 hingga 29 Mei 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia. GFIEF dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, International Islamic Liquidity Management Corporation, Islamic Development Bank, Islamic Financial Services Board dan World Bank Group. Acara ini merupakan kesinambungan kepada 15th International Conference on Islamic Economics and Finance (ICIEF) yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur, iaitu platform yang diwujudkan sejak tahun 1976 sebagai wacana intelektual bagi memajukan ekonomi dan kewangan Islam di negara-negara Organisation of Islamic Cooperation (OIC).
Bertemakan ¡®Shaping a Resilient Global Islamic Economy Through Values-based Reforms¡¯, GFIEF akan menghimpunkan para penggubal dasar, peneraju perniagaan dan penyedia perkhidmatan kewangan dari seluruh dunia untuk berbincang dan bersama-sama membangunkan masa depan yang membolehkan ekonomi dan kewangan Islam memainkan peranan penting dalam usaha memupuk kesejahteraan dan kesaksamaan yang dikongsi bersama.
GFIEF akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato¡¯ Seri Anwar Ibrahim. Acara ini akan mengetengahkan pelbagai pembentangan, perbincangan panel dan sembang santai (fireside chat) tentang bermacam-macam topik yang meliputi antaranya kerjasama global, pengendalian urusan selepas tempoh pandemik, Maqasid Syariah dan peralihan ke arah sifar bersih.
GFIEF akan menghimpunkan penceramah antarabangsa termasuk Tuan Yang Terutama Sanusi Lamido Sanusi, mantan Gabenor Central Bank of Nigeria; Tuan Yang Terutama Dr. Fahad Ibrahim Alshathri, Timbalan Gabenor Saudi Central Bank; Dame Susan Rice, Pengerusi Global Steering Group, The Global Ethical Finance Initiative; Ha-Joon Chang, Profesor Penyelidikan SOAS University of London; dan Dr. Jasser Auda, Presiden Maqasid Institute Global. GFIEF akan turut menampilkan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II; Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, mantan Gabenor BNM serta Penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2018; Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi MIFC Leadership Council (MLC); Tan Sri Daud Bakar, Penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022; dan Tan Sri Andrew Sheng, Ahli MLC.
Sepanjang acara dua hari ini, GFIEF juga akan menyediakan peluang perniagaan bagi menghubungkan pelbagai pempamer antarabangsa dan tempatan termasuk para pengawal selia, kementerian, agensi kerajaan, industri perkhidmatan kewangan, pelbagai persatuan industri dan syarikat fintech, syarikat korporat, organisasi tidak berasaskan keuntungan dan pertubuhan bukan kerajaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Acara ini akan turut melibatkan pelbagai acara sampingan seperti perbincangan meja bulat dan kelas pakar pada 27 Mei dan 30 Mei 2024.
Tegas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ¡°Kewangan Islam menawarkan pendekatan menyeluruh yang menghayati keupayaan rangka kerja beretika untuk menghasilkan perubahan. Hal ini sememangnya selaras dengan hasrat GFIEF untuk memajukan ekonomi dan kewangan Islam melalui pembaharuan berasaskan nilai-nilai bagi memupuk kesejahteraan dan kesaksamaan yang dikongsi bersama.¡±
Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ¡°GFIEF akan memberikan kita pemahaman penuh bernilai yang akan membantu merealisasikan potensi kewangan Islam bagi menangani cabaran ekonomi global. Saya yakin wacana mengenai isu-isu penting sepanjang GFIEF ini bukan hanya akan menginspirasikan idea-idea yang berinovatif tetapi juga tindakan dan iltizam secara kolektif yang akan membuka jalan dan memacu kita ke arah pertumbuhan ekonomi global yang seimbang, progresif, mampan dan inklusif.¡±
Kami mengundang para penggubal dasar, pengawal selia, pengamal industri, pelabur dan ahli akademik dari seluruh pelosok dunia untuk menyertai GFIEF dengan mendaftar menerusi pautan ini: /gfief2024
Bank Negara Malaysia
29 April 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.