Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Simposium Resolusi Kebangsaan 2024
Renaissance Hotel Kuala Lumpur | 23 September 2024
Assalamualaikum w.b.t dan selamat pagi.
Saya berbesar hati dapat bertemu anda semua hari ini. Pertama sekali, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) kerana telah menganjurkan acara ini.
Izinkan saya membuka kata dengan sebuah kisah pendek.
Di sebuah perkampungan kecil bernama Fudai yang terletak di Jepun, ada seorang lelaki bernama Kotoku Wamura yang berkhidmat sebagai datuk bandar selama lebih 40 tahun.
Sekitar tahun 1970-an, beliau memulakan pembinaan tembok laut setinggi 51 kaki untuk melindungi Fudai daripada tsunami. Tindakan ini telah mendapat tentangan yang hebat. Majlis perbandaran menolak ketinggian tembok yang berukuran 20 kaki lebih tinggi berbanding tembok laut lain yang dibina di bandar-bandar pesisir pantai berdekatan. Segelintir penduduk kampung mengetawakan beliau. Ramai yang mengatakan bahawa pembinaan tembok laut itu sebagai keterlaluan dan perbelanjaan yang tidak munasabah bagi sebuah komuniti yang kecil, malah sesetengah lagi menuduh Wamura membesar-besarkan hal itu. Mereka tidak nampak keperluan tembok laut setinggi itu.
Wamura meninggal dunia beberapa tahun selepas tembok laut itu siap dibina. Sekitar 15 tahun kemudian, pada tahun 2011, gempa bumi besar di timur Jepun (Great East Japan Earthquake) telah mencetuskan tsunami terburuk di wilayah itu. Banyak bandar pesisir pantai musnah. Namun begitu, berkat pandangan jauh dan kecekalan Wamura, Fudai tidak terjejas.
Dalam konteks institusi kewangan pada hari ini, perancangan pemulihan dan resolusi ibarat tembok laut Wamura. Sebagaimana penduduk kampung meragui keperluan tembok laut itu, mungkin ada yang ragu-ragu dan mempersoalkan kos serta kepentingan kesiapsiagaan krisis. Sesetengah orang mungkin percaya bahawa persiapan sebegini merupakan tindak balas berlebihan terhadap senario andaian yang mungkin tidak akan menjadi kenyataan sepanjang hayat mereka. Namun apabila badai melanda, perancangan inilah yang akan menjadi penentu antara kelangsungan ataupun kehancuran hidup. Sama seperti tembok laut Wamura yang melindungi kampung beliau, rancangan pemulihan dan resolusi yang utuh akan membantu melindungi institusi dan sistem kewangan yang lebih meluas.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kesediaan menghadapi krisis sangat penting bagi Malaysia untuk mengharungi landskap kewangan global yang semakin kompleks dan saling berkait. Kita perlu bersedia untuk bertindak dengan pantas dan berkesan terhadap kejutan kewangan yang muncul serta boleh meninggalkan kesan merentas sempadan. Kesediaan ini melibatkan pemupukan minda yang proaktif dan berdaya tahan untuk menilai serta meningkatkan keupayaan kita secara berterusan bagi menjangka, menguruskan dan mengurangkan kesan krisis.
Di Bank Negara Malaysia (BNM), kami terus meningkatkan keupayaan untuk bertindak balas secara berkesan terhadap krisis. Langkah ini melibatkan pemahaman terhadap landskap kewangan dan kelemahan dalam sistem serta mengambil tindakan pembetulan untuk membaikinya. Aspek utama dalam langkah ini termasuk memastikan rangka kerja kehematan, contohnya keperluan modal berasaskan risiko dan perkadaran dalam peraturan, kekal mantap serta boleh disesuaikan dengan persekitaran yang sentiasa berubah.
Dalam ruang lingkup inisiatif kesiapsiagaan menghadapi krisis, perancangan pemulihan nyata merupakan barisan pertahanan utama bagi institusi kewangan dalam usaha menangani tekanan yang melangkaui kesanggupan mereka mengambil risiko. Oleh sebab itu, BNM melihat rancangan pemulihan institusi kewangan sebagai elemen yang sangat penting dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan sistem perbankan untuk menghadapi krisis. Penyerahan rancangan pemulihan pertama daripada bank-bank pada tahun lalu merupakan langkah awal yang penting dalam merealisasikan komitmen industri untuk bersedia menghadapi krisis.
Namun, perjalanan kita baru bermula. Matlamat akhir kita bukanlah sekadar merancang, malah segala usaha perlu dicurahkan untuk memastikan rancangan pemulihan yang berwibawa dan mampu berfungsi apabila diperlukan. Dalam erti kata lain, perancangan yang teliti di samping kewujudan sesebuah rancangan itu sendiri merupakan punca keyakinan terhadap keupayaan untuk bertindak balas dan pulih daripada krisis.
Oleh itu, industri mesti sentiasa mengkaji semula dan memperhalus rancangan pemulihan mereka. Institusi perlu mempertimbangkan sama ada rancangan yang dibuat secara teori ini boleh dilaksanakan tepat pada masanya dan memahami cara interaksi rancangan ini dengan seluruh sistem kewangan bagi memastikan risiko dapat dikenal pasti serta dikurangkan dengan wajar.
Dalam hal ini, pengalaman daripada krisis masa lalu dapat memberikan sudut pandangan yang berguna. Dengan menganalisis krisis masa lalu, institusi kewangan boleh mengenal pasti kelemahan dalam rancangan pemulihan mereka dan memperhalus strategi mereka sewajarnya. Sebagai contoh, tindak balas pasaran terhadap keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa kawal selia semasa masalah perbankan tahun 2023 di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memberikan pemahaman yang tidak ternilai tentang kebolehlaksanaan pelbagai pilihan pemulihan.
Krisis baru-baru ini juga telah menimbulkan kebimbangan mengenai keberkesanan modal menyerap kerugian (loss absorbing capital) termasuk layanan hierarki kredit. Baru-baru ini, Australia mencadangkan penamatan instrumen modal Tambahan Kumpulan 1 (Additional Tier 1) secara berperingkat untuk digantikan dengan modal yang lebih stabil dan boleh dipercayai. Di Malaysia, instrumen ini menyumbang kurang daripada 5% jumlah Modal Kumpulan 1. Kita akan terus menghormati hierarki tuntutan pemiutang dan memantau perkembangan selanjutnya dalam bidang ini. Satu lagi iktibar utama daripada krisis perbankan baru-baru ini ialah peri pentingnya ketelusan dan komunikasi yang pantas. Institusi kewangan mesti mengutamakan komunikasi yang jelas dan konsisten dengan pihak berkepentingan untuk mengekalkan kepercayaan serta kestabilan terutamanya dalam tempoh ketidakpastian.
Kini, seiring dengan kita memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi krisis, kita juga perlu mengambil berat tentang cabaran unik dwisistem kewangan Malaysia, yang berpunca daripada kewujudan bersama kewangan konvensional dan kewangan Islam. Peningkatan perbankan Islam dan takaful yang pantas dan ketara di Malaysia memerlukan proses pemulihan dan resolusi untuk mengambil kira keperluan Syariah.
Mekanisme seperti penjualan aset, peruntukan mudah tunai dan usaha penstrukturan semula yang melibatkan institusi kewangan Islam perlu menyepadukan pertimbangan Syariah. Sebagai contoh, ciri unik produk kewangan Islam perlu dipertimbangkan dengan teliti dalam tempoh resolusi untuk memastikan hak pelanggan dipelihara, terutamanya bagi kontrak Syariah yang melibatkan bank-bank Islam menjalankan peranan fidusiari (fiduciary roles) manakala aset merupakan milik pelanggan. Pematuhan prinsip Syariah dalam melaksanakan tindakan pemulihan dan resolusi memastikan konsistensi dengan prinsip dan nilai syarak serta mengurangkan risiko undang-undang dan reputasi, di samping menggalakkan keyakinan pasaran terhadap sistem kewangan Islam.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Kesiapsiagaan menghadapi krisis adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan usaha kolektif semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam membina sistem kewangan yang berdaya tahan. Tanggungjawab bersama ini meliputi badan kawal selia, agensi kerajaan, institusi kewangan dan industri kewangan yang lebih umum.
Menyedari hal ini, BNM telah menjadikan kerjasama antara agensi sebagai asas pendekatan terhadap kesiapsiagaan menghadapi krisis. Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan (Financial Stability Executive Committee, FSEC) telah ditubuhkan untuk menyokong mandat berkanun BNM bagi memelihara kestabilan kewangan melalui kuasanya untuk membuat keputusan mengenai langkah-langkah dasar yang berpotensi dilaksanakan bagi mengelakkan atau mengurangkan risiko. Ahli FSEC terdiri daripada wakil dari BNM, Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Keahlian yang pelbagai ini membantu memastikan keputusan yang seimbang daripada aspek melindungi kebajikan rakyat, memelihara kestabilan kewangan dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi.
Kami juga kerap mengambil bahagian dalam latihan simulasi krisis untuk menguji lebih lanjut pelbagai aspek keupayaan tindak balas krisis. Sehingga kini, BNM telah mengambil bahagian dan menjalankan tidak kurang daripada lima simulasi dalam tempoh tiga tahun kebelakangan, sama ada secara kendiri atau dengan kerjasama industri mahupun agensi lain. Latihan simulasi ini membolehkan entiti utama untuk melatih tindak balas yang diselaraskan dan mengenal pasti jurang yang mungkin wujud dalam pendekatan tersebut. Kami mendapati bahawa simulasi ini sangat membantu dalam usaha mengenal pasti dan merapatkan jurang yang ada dalam langkah tindak balas krisis.
Pada masa yang sama, sangat penting bagi institusi kewangan menjalankan ujian berkala terhadap rancangan pemulihan mereka melalui latihan simulasi krisis. Simulasi ini akan membantu institusi untuk mengukur sejauh mana rancangan pemulihan mereka berfungsi dalam situasi hampir sebenar. Simulasi ini akan dapat mengukuhkan kebiasaan dengan peranan dan tanggungjawab individu serta pasukan apabila sesebuah krisis berlaku, sekali gus membolehkan masa tindak balas yang lebih cepat.
Institusi kewangan juga perlu memberi perhatian kepada pemulihan daripada insiden operasi. Meskipun insiden sedemikian selalunya tidak melanggar ambang pengaktifan rancangan pemulihan formal, pelaksanaan Pelan Kesinambungan Perniagaan (Business Continuity Plans, BCP) dan strategi komunikasi adalah bidang kritikal yang memerlukan perhatian teliti. BCP dirangka bagi memastikan fungsi perniagaan yang penting masih boleh diteruskan semasa dan selepas berlaku gangguan, termasuk memiliki sistem sandaran dan prosedur yang ditetapkan lebih awal untuk mengekalkan operasi. Pelaksanaan yang lemah dalam bidang ini boleh melambatkan pemulihan dengan ketara dan mengakibatkan isu operasi menjadi krisis yang jauh lebih besar. Contohnya, gangguan IT yang kecil boleh menyebabkan transaksi kewangan yang penting tertangguh, lantas mampu menjejaskan keyakinan pasaran.
Selain usaha dalaman, inisiatif yang diterajui industri juga boleh memainkan peranan penting dalam mempercepat kemajuan perancangan pemulihan dan resolusi. Dengan memudahkan pertukaran ilmu pengetahuan dan amalan terbaik, industri kewangan boleh meraih manfaat daripada persekitaran pembelajaran yang kolaboratif. Dalam hal ini, industri boleh memanfaatkan platform sedia ada seperti Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (The Association of Banks in Malaysia, ABM) dan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) untuk memudah cara penyelarasan inisiatif sebegini. Institusi kewangan digalakkan agar mengambil peluang berharga untuk berkongsi pandangan, iktibar yang dipelajari dan pengalaman praktikal dalam perancangan pemulihan dan resolusi, sekali gus memacu seluruh industri ke hadapan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan luar negara dalam inisiatif rentas sempadan sangat penting untuk mengukuhkan lagi kesiapsiagaan menghadapi krisis di Malaysia. Sistem kewangan global kita yang saling berkait memerlukan usaha terselaras dalam menguruskan pelbagai risiko yang mendatangkan ancaman. Malaysia proaktif dalam memupuk hubungan antarabangsa bagi lebih melengkapkan kita untuk menangani krisis yang mungkin melangkaui sempadan negara.
Sebagai contoh, Malaysia mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif rentas sempadan seperti bengkel dan simulasi krisis serantau untuk mengenal pasti jurang dalam resolusi rentas sempadan serta mempertingkatkan keupayaan negara dalam usaha menguruskan kegagalan. Kami juga mewujudkan kolej penyeliaan dan kumpulan berfokuskan resolusi untuk kumpulan perbankan serantau kita. Kesemua platform ini terus menjadi cara yang penting untuk membina kepercayaan bersama dan pemahaman bersama tentang risiko rentas sempadan. Melalui inisiatif-inisiatif ini, Malaysia bukan sahaja meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi krisis pada peringkat domestik tetapi juga memainkan peranan penting dalam memupuk ekosistem kewangan serantau yang lebih berdaya tahan.
Pertimbangan penting yang sering diabaikan dalam rancangan pemulihan ialah kerumitan interaksi rentas sempadan, khususnya bagi institusi yang beroperasi di banyak negara. Di samping perbezaan undang-undang dan peraturan, negara yang berlainan mungkin mempunyai prosedur dan rangka kerja yang berbeza-beza, sekali gus menyukarkan penyelarasan tindakan serta penjajaran strategi. Oleh itu, institusi kewangan perlu memastikan rancangan pemulihan dan resolusi mereka mengambil kira sepenuhnya operasi luar negara mereka serta saling kebergantungan dalam kumpulan.
Memandangkan kebanyakan institusi beroperasi secara global, risiko bagi satu bahagian kumpulan boleh pantas menjejaskan bahagian lain yang merentas sempadan. Untuk mengurangkan isu ini, sangat penting bagi institusi kewangan untuk menentukan dengan jelas pengaturan antara subsidiari dalam tempoh tekanan. Faktor utama untuk memperkukuh pengurusan krisis adalah dengan mengenal pasti dan menangani kebergantungan ini secara proaktif.
Strategi komunikasi berkesan juga sama penting apabila menguruskan krisis yang melibatkan operasi luar negara. Institusi perlu merancang dengan teliti tentang cara sesuatu maklumat disampaikan dalam kumpulan dan kepada pemegang saham. Amat penting untuk kita mengekalkan keyakinan orang ramai dengan memastikan komunikasi yang jelas, konsisten dan mengelakkan situasi panik. Komunikasi rentas sempadan yang diselaraskan dengan lebih baik mampu mengurangkan dengan ketara kemungkinan kekeliruan atau maklumat yang salah semasa krisis berlaku. Pada peringkat pengawal selia, pihak berkuasa telah memanfaatkan platform Mesyuarat Eksekutif Bank-Bank Pusat Asia Timur dan Pasifik (Executives¡¯ Meeting of East Asia-Pacific Central Banks, EMEAP) menerusi penghasilan Crisis Management and Resolution Framework pada tahun 2013 bagi terus mempertingkatkan komunikasi dan penyelarasan krisis dalam kalangan negara anggota.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pendekatan Malaysia terhadap perancangan pemulihan dan resolusi akan terus berbentuk proaktif dan penyesuaian. Langkah ini juga merupakan keutamaan penting dalam usaha berterusan kami untuk menggalakkan sektor perbankan yang berdaya tahan.
Masih ada banyak perkara yang perlu dilakukan. Sebagai contoh, daripada aspek pengawalseliaan, BNM menyedari kepentingan pembiayaan mudah tunai semasa persekitaran operasi menghadapi tekanan. Kami sedang mengkaji cara-cara untuk mengembangkan rangka kerja bantuan mudah tunai dengan memperluas bentuk cagaran yang boleh diterima dalam tempoh tekanan dan menambah baik masa yang diambil untuk menilai cagaran tersebut. Contoh lain ialah perancangan resolusi bagi institusi bukan ahli PIDM seperti bank-bank pelaburan.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita memikirkan penggunaan rangka kerja resolusi ini bagi institusi-institusi bukan ahli. Hal ini akan memastikan semua institusi dapat bersedia secukupnya untuk menguruskan krisis yang mungkin berlaku, tanpa mengira status keahlian. Kami akan terus bekerjasama dengan industri dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan dalam inisiatif sedemikian.
Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PIDM atas usaha gigih mereka dalam bidang kesiapsiagaan menghadapi krisis. Sumbangan mereka memainkan peranan penting dalam memantapkan keupayaan pemulihan dan resolusi kita, seterusnya membantu kita membina sistem kewangan yang lebih kukuh serta lebih berdaya tahan.
Dengan kerjasama dan dedikasi yang berterusan, kita akan bersama-sama memastikan Malaysia kekal bersedia dengan baik untuk mengharungi apa-apa jua cabaran yang mendatang.
Dengan itu, saya berharap agar sesi pada hari ini dan esok akan memberikan manfaat buat hadirin semua.
Terima kasih.
Bank Negara Malaysia
23 September 2024