Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucaptama oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur yang Ke-19
Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur | 5 November 2024
Saya amat berbesar hati berada di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Islamic Finance Forum, KLIFF) yang ke-19 ini. Selama hampir dua dekad, KLIFF telah menjadi acara penting dalam kalendar tahunan, yang mengetengahkan perspektif kewangan Islam global yang selari dengan perkembangan semasa. Forum pada tahun ini, dengan tema ˇ°Merancakkan Semula Ekonomi melalui Kewangan Islamˇ±, buat kesekian kalinya memupuk dialog dan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan untuk mencambah idea dan menangani cabaran zaman ini.
Meningkatkan peranan dan kesan kewangan Islam bagi merancakkan semula ekonomi
Izinkan saya memulakan ucapan dengan berkongsi beberapa refleksi dan iktibar daripada kekayaan sejarah Islam. Sejak dari awal lagi, prinsip perdagangan beretika dan pengagihan kekayaan yang saksama sentiasa menjadi asas dalam masyarakat Islam. Pada ketika perhambaan berleluasa, Islam menyeru untuk beralih daripada buruh paksa dan hamba kepada pekerja yang produktif. Seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Umar, Nabi Muhammad SAW menyarankan umat baginda untuk "memberikan upah kepada pekerja sebelum keringatnya kering.ˇ±[1]
Langkah progresif tersebut bukan sahaja merupakan akhlak mulia, justeru suatu pembaharuan yang besar dalam pasaran pekerja. Malah, kita dapat melihat beberapa perkembangan penting dalam sejarah Islam yang bukan sahaja meningkatkan produktiviti, bahkan membentuk kaedah perniagaan yang inovatif, lantas menjadi asas kepada sistem ekonomi moden pada hari ini. Kaedah ini termasuk perkongsian terhad (mudarabah), bentuk kredit terawal (qard), serta amalan bantuan bersama dan kerjasama melalui zakat dan wakaf yang membolehkan sumber diagihkan semula dan digunakan untuk kebaikan bersama. Semua kemajuan ini telah mengukuhkan lagi kebajikan sosial dan seterusnya menggalakkan perusahaan koperasi dan inisiatif yang dipacu oleh masyarakat.
Pada hari ini, saya yakin bahawa sektor kewangan Islam perlu meneruskan tradisi keberanian dan daya cipta ini dengan terus mencabar status quo dan merungkai tahap yang lebih tinggi dalam amalan serta penawaran kewangan dan pada masa yang sama kekal berteraskan nilai-nilai asas kita. Kita perlu mengikut jejak langkah nenek moyang kita dalam melangkaui sempadan untuk membawa perubahan, seiring dengan usaha membina dan membangunkan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
Menerapkan nilai-nilai Syariah, memajukan inovasi dan menggalakkan integrasi global
Hadirin dan hadirat sekalian,
Kewangan Islam kini berada pada asas yang kukuh setelah mencatatkan perkembangan pada peringkat domestik dan global sejak beberapa dekad. Dalam tempoh hanya sepuluh tahun, aset kewangan Islam global telah meningkat lebih daripada dua kali melepasi USD4.5 trilion pada tahun 2022, peningkatan daripada USD1.7 trilion pada tahun 2012. Di Malaysia, sektor perbankan Islam mencakupi hampir separuh daripada jumlah pembiayaan, manakala takaful mencakupi kira-kira 25% daripada jumlah premium atau caruman bersih.[2] Jumlah pasaran wang antara bank Islam meliputi kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan pasaran, dan saham patuh Syariah mencakupi 81% daripada saham tersenarai. Malaysia juga mempunyai pasaran sukuk terbesar di dunia, mencakupi 42% daripada sukuk terkumpul global.
Meskipun banyak pencapaian yang telah diraih, masih banyak lagi yang perlu dan harus kita laksanakan demi melakar hala tuju masa hadapan kita, terutamanya mempertingkatkan peranan kewangan Islam dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan keadilan sosial. Hal ini termasuk menggembleng modal dan menyalurkan pelaburan kepada sektor berimpak tinggi, sejajar dengan keutamaan negara. Sesungguhnya, saya yakin bahawa kewangan Islam sudah bersedia dan mempunyai potensi besar untuk merancakkan semula ekonomi melalui tiga saranan utama yang saya telah kongsikan sebelum ini di Global Forum on Islamic Economics and Finance pada bulan Mei tahun ini. Tiga saranan tersebut ialah:
Pertama, saya perlu sentiasa menegaskan tentang kepentingan penerapan Maqasid Syariah oleh institusi kewangan Islam. Pelaksanaannya memerlukan komitmen sepenuhnya untuk merealisasikan dan memajukan objektif menyeluruh dalam ˇ°pencegahan kemudaratan dan perolehan manfaatˇ± yang meliputi semua aspek perniagaan. Kita semua perlu memberikan sumbangan ke arah ekosistem kewangan yang lebih mampan dan beretika dengan memupuk amalan dan penyelesaian kewangan Islam yang mematuhi prinsip asas keadilan, ketelusan dan keterangkuman.
Penjanaan, peredaran dan pelaburan kekayaan juga perlu semakin banyak disalurkan kepada kegiatan ekonomi yang mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar berbanding matlamat berbentuk kapitalis semata-mata yang memaksimumkan keuntungan. Dalam jangka masa panjang, niat ikhlas dan usaha yang tidak berbelah bahagi untuk menerapkan nilai-nilai asas Syariah pastinya akan membolehkan kita menuai hasil pembaharuan. Seperti yang diingatkan dalam Al-Quran,[3] "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaran kamu, kekal berpegang teguh dan bertaqwalah kepada Allah, agar kamu mencapai kejayaan."
Dalam hal ini, saya memuji industri kewangan Islam di Malaysia kerana mengambil langkah ke hadapan lebih setengah dekad yang lalu untuk menerapkan Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation, VBI). Penyelarasan strategik dengan Maqasid Syariah telah membolehkan industri ini berada jauh di hadapan manakala industri lain dalam sektor ini masih pada peringkat penerokaan ke arah hala tuju yang beretika dan mampan. Dengan pelancaran kelompok ketiga Garis Panduan Sektoral Rangka Kerja Penilaian Impak Pembiayaan dan Pelaburan Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation Financing and Investment Impact Assessment Framework, VBIAF) dan Kad Skor Maqasid Syariah pada bulan Oktober, industri harus bersama-sama mempergiat pelaksanaan VBI dan menilai impaknya dengan lebih berkesan.
Pada masa hadapan, pelaksanaan VBI yang lebih mantap memerlukan usaha bersepadu dan penyelarasan holistik merentas semua pihak berkepentingan. Khususnya, kepimpinan pemegang saham adalah sangat penting untuk memastikan kesan transformasi kewangan berasaskan nilai dapat dilihat dan dirasai oleh banyak orang. Dengan hala tuju daripada pihak atasan yang lebih jelas, pemegang saham mempunyai kuasa untuk memacu perubahan positif merentas seluruh ekosistem, menyelaraskan amalan perniagaan dengan tingkah laku terbaik yang memperkukuh tadbir urus dan menggalakkan hasil pengguna yang positif. Ekosistem tenaga kerja kewangan Islam juga perlu berkembang daripada melihat keperluan Syariah sebagai pematuhan kepada menghayati nilai-nilai Syariah secara menyeluruh iaitu menunjukkan nilai kebolehpercayaan, keadilan, ketelusan, tanggungjawab sosial dan komitmen terhadap keadilan dan kemakmuran bersama.
Hadirin dan hadirat,
Saranan utama kedua ialah memajukan inovasi untuk penyelesaian berasaskan nilai. Dalam membuat penyesuaian terhadap keperluan pasaran yang berubah-ubah, kewangan Islam perlu kekal tangkas dengan menstrukturkan instrumen canggih, menggunakan infrastruktur pembangunan asas, menggabungkan dan menggunakan semula komponen instrumen kewangan Islam sedia ada. Industri harus mengkaji secara aktif seluruh kontrak dan instrumen Syariah untuk mendorong inovasi kewangan menangani cabaran dunia sebenar.
Saya percaya bahawa masa depan inovasi berasaskan nilai adalah cerah.
Peruntukan belanjawan baru-baru ini sebanyak RM100 juta dana padanan untuk struktur perkongsian risiko juga menandakan komitmen Kerajaan yang kukuh bagi memupuk inovasi kewangan. Saya menggesa industri untuk merebut peluang berinovasi melalui penawaran produk perkongsian risiko, terutamanya untuk membiayai peralihan iklim dan inisiatif sekuriti makanan. Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun hadapan juga akan memberikan tumpuan pada usaha mempererat kerjasama serantau bagi menyokong agenda kelestarian negara-negara ASEAN lantas memberikan peluang pertumbuhan baharu untuk mengintegrasikan kewangan Islam dengan inisiatif perubahan iklim dan kewangan peralihan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saranan utama terakhir yang ingin saya sentuh pada hari ini mempunyai kaitan dengan peneguhan integrasi global bagi pembangunan bersama dan kemakmuran yang dikongsi bersama. Pasaran kewangan Islam global sedang berkembang pesat, menarik semakin banyak pelabur antarabangsa dan memacu pertumbuhan ekonomi merentas pelbagai rantau termasuk di pasaran sedang pesat membangun seperti Filipina, Asia Tengah dan Asia Utara. Peserta kewangan Islam boleh mengembangkan jejak dan jangkauan global mereka, menggalakkan pelaburan dan kerjasama rentas sempadan yang lebih besar dengan memanfaatkan semua peluang ini.
Bagi menyokong saranan ini, saluran strategik utama termasuk:
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sebagai kesimpulan, berdasarkan pengalaman KLIFF selama beberapa dekad, saya menantikan tindakan yang akan dilaksanakan sebaik sahaja tirai KLIFF tahun ini ditutup, lantas merealisasikan tema ˇ°Merancakkan Semula Ekonomi melalui Kewangan Islamˇ±. Wacana dan inisiatif yang dilancarkan di sini merupakan asas utama kepada perubahan sebenar dan berimpak yang seterusnya memacu kemajuan industri kewangan Islam. Saya dengan ini merasmikan KLIFF 2024 dan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua hadirin dalam forum hari ini.
[1] Sunan Ibn Majah 2443
[2] Setakat ST1 2024
[3] Surah Ali-ˇ®Imran (3), Ayat 200