Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Alu-aluan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Pelancaran Portal InvestMalaysia
Sasana Kijang | 7 November 2024
Keperluan mekanisme pusat untuk menangani ketidakcekapan pasaran
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kecekapan maklumat merupakan elemen penting yang menyokong kelancaran fungsi pasaran. Paul Samuelson menyatakan bahawa tanpa maklumat peringkat makro yang lengkap, pasaran tidak dapat mengagihkan sumber dengan cekap meskipun terdapat maklumat peringkat mikro yang meluas.[1] Sebaliknya, kewujudan maklumat peringkat mikro yang meluas juga boleh mengganggu isyarat keadaan ekonomi sebenar.[2]
Kesukaran utama yang dihadapi oleh peserta pasaran ialah: ˇ°bagaimana saya mengumpulkan, menggabungkan dan bertindak balas terhadap sesuatu kumpulan maklumat?ˇ± Kepelbagaian titik mula, tahap pemahaman dan sumber maklumat dalam kalangan peserta pasaran menambahkan lagi kompleksiti pada dinamik pasaran. Walaupun tanpa pertimbangan cabaran lain yang unik bagi setiap pasaran, hal ini jelas menunjukkan bahawa pelabur menghadapi banyak gangguan yang merumitkan proses membuat keputusan mereka.
Hal ini menggariskan keperluan sebuah mekanisme pusat bagi menangani ketidakcekapan maklumat dan melengkapkan pelabur dengan keupayaan untuk mengumpulkan, menggabungkan dan bertindak balas terhadap maklumat dengan cekap.
Portal InvestMalaysia akan membolehkan proses membuat keputusan yang lebih lancar, bermaklumat dan cekap
Tuan-tuan dan puan-puan,
Ini membawa saya kepada sebab utama kita berkumpul pada hari ini. Portal InvestMalaysia dibangunkan untuk membolehkan pelabur membuat keputusan dengan lebih lancar, bermaklumat dan cekap. Portal ini bertindak sebagai platform sehenti yang menggabungkan maklumat penting yang diperlukan untuk membuat keputusan pelaburan yang mantap dan tepat pada masanya.
Melalui portal ini, anda boleh mendapatkan dokumen dasar utama serta statistik ekonomi dan demografi. Anda juga akan mempunyai akses kepada butiran mengenai produk pelaburan, penarafan kredit, penerbitan dan sumber maklumat, termasuk pembentangan semasa jelajah pelaburan (non-deal roadshow) yang diadakan baru-baru ini, ucapan serta panduan untuk melabur di Malaysia.
Pada asasnya, platform ini umpama pengantara (arbiter) kekukuhan makroekonomi dan potensi pelaburan Malaysia. Platform ini memberikan isyarat yang berwibawa tentang asas ekonomi negara serta menyampaikan maklumat ini secara lancar kepada pelabur. Pada masa kini, kekurangan sering kali timbul bukan daripada kuantiti maklumat, namun daripada mekanisme untuk membantu membuat keputusan dan menilai pilihan yang ada. Usaha ini adalah penting bagi Malaysia tatkala kita mempercepat pembaharuan struktur bagi mengukuhkan prospek ekonomi jangka panjang negara.
Pembaharuan yang sedang dijalankan dibina atas asas ekonomi malaysia yang kukuh
Tuan-tuan dan puan-puan,
Hal inilah yang menjadikan Malaysia berbeza. Kecekapan kita menguruskan penamatan langkah-langkah bantuan COVID-19 membolehkan tumpuan dasar diubah dan pembaharuan struktur dimulakan. Tindakan ini bukan sahaja membina daya tahan ekonomi negara tetapi juga membolehkan kita meraih peluang baharu.
Malah, kita sedang melihat hasil awal usaha ini dalam bentuk pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi serta keyakinan yang meningkat dalam kalangan pelabur domestik dan antarabangsa. Sambil kita terus membentuk dan melaksanakan pelan-pelan induk negara seperti Aspirasi Pelaburan Nasional (National Investment Aspiration) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Masterplan), kita mula memerhatikan impak menerusi pelaburan berkualiti. Kekuatan sedia ada seperti dalam industri elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E) serta minyak dan gas (oil and gas, O&G) memberikan kita asas kukuh untuk terus berinovasi dan pada masa yang sama menceburi bidang pertumbuhan baharu. Sebagai contoh, Pelan Strategik Semikonduktor (National Semiconductor Strategy) merangka trajektori untuk mengukuhkan kedudukan negara dalam aktiviti yang lebih kompleks dan bernilai tambah yang lebih tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor global.
Selain pembaharuan untuk menarik pelaburan berkualiti dan memajukan sektor pertumbuhan baharu dengan cepat, pembaharuan dalam memperkukuh kemampanan fiskal juga sedang berjalan lancar. Kajian semula cukai dan subsidi yang sedang dijalankan akan memperluas asas pendapatan Kerajaan dan membolehkan perbelanjaan yang lebih produktif. Apa yang meyakinkan juga ialah cara langkah-langkah ini diaturkan secara beransur-ansur dan penuh ketelitian, lantas membolehkan ekonomi secara keseluruhan membuat penyesuaian dengan implikasi yang minimum terhadap trajektori pertumbuhan negara.
Seperti kita sedia maklum, persekitaran global penuh dengan ketidakpastian pada tahun ini. Perkembangan geopolitik, perubahan dasar monetari oleh bank-bank pusat di seluruh dunia dan pilihan raya Amerika Syarikat yang baru sahaja selesai telah menyebabkan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global. Meskipun begitu, perbezaan kadar faedah yang semakin kecil antara Malaysia dengan ekonomi-ekonomi maju adalah positif untuk ringgit.
Sehubungan dengan itu, kami sedang memantau rapi perkembangan global dan bersedia untuk menguruskan sebarang limpahan kepada pasaran domestik, termasuk dengan memastikan kecukupan mudah tunai dalam pasaran pertukaran asing domestik. Walau bagaimanapun, apa yang tidak berubah ialah persekitaran dalam negeri yang masih teguh berikutan prospek dan asas-asas ekonomi negara yang utuh.
Asas ekonomi yang mantap dan struktur ekonomi yang sangat pelbagai telah mewujudkan persekitaran yang sangat menggalakkan untuk pertumbuhan, serta turut memberikan sokongan yang berterusan terhadap ringgit. Malaysia telah dan terus menunjukkan prestasi pertumbuhan yang berdaya tahan. Dengan purata 4.3% sejak tahun 2011, pertumbuhan ekonomi negara secara relatif lebih tinggi berbanding dengan ekonomi serantau dan rakan penarafan setara. Hal ini menunjukkan pengurusan makroekonomi yang mantap.
Gabungan pembaharuan yang menarik serta asas yang kukuh memberi saya keyakinan yang tinggi terhadap potensi besar dalam landskap pelaburan domestik. Tidak dapat dinafikan bahawa status Malaysia sebagai ekonomi kecil dan terbuka mendedahkan negara kepada risiko yang berpunca daripada faktor global, terutamanya dalam tempoh yang tidak menentu seperti masa kini. Kelebihan Malaysia adalah berada pada kedudukan yang kukuh untuk menghadapi cabaran ini. BNM akan memainkan peranan untuk melakukan apa yang diperlukan bagi memastikan kestabilan monetari dan kewangan serta memastikan persekitaran pasaran kewangan yang kondusif untuk pelaburan yang mampan dan kegiatan ekonomi yang berterusan. Selain itu, seperti yang diperincikan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026, banyak inisiatif sedang dilaksanakan bagi sektor kewangan untuk menyokong transformasi ekonomi yang lebih meluas.
Portal InvestMalaysia akan membantu merealisasikan prospek pelaburan negara menjadi manfaat sebenar
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dalam era yang mementingkan maklumat sama seperti modal, kami memahami bahawa pelabur, penganalisis dan rakan kerjasama lain memerlukan lebih daripada sekadar data; mereka memerlukan pemahaman yang mendalam. Portal InvestMalaysia dibangunkan bukan sahaja untuk menyediakan ruang maklumat tetapi juga untuk membolehkan libat urus yang lebih erat serta memudahkan pemahaman yang lebih meluas tentang prestasi ekonomi, inisiatif strategik dan peluang yang lebih banyak di Malaysia.
Terima kasih.
Bank Negara Malaysia
7 November 2024
[1] See Jung, J. dan Shiller, R.J., 2005. Samuelson's dictum and the stock market. Economic Inquiry, 43(2), muka surat 221-228.
[2] See Choi, Y., Rondina, G. dan Walker, T.B., 2023. Information aggregation bias and Samuelson's dictum. Journal of Money, Credit and Banking, 55(5), muka surat 1119-1145.