Petikan Gabenor BNM mengenai perkembangan ringgit
Embargo :20 Feb 2024
Prestasi ringgit baru-baru ini adalah sama seperti mata wang serantau lain yang dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Antara faktor tersebut termasuk pelarasan pasaran kepada jangkaan kadar faedah AS yang berubah-ubah, kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian berkaitan dengan prospek ekonomi China.
Bank Negara Malaysia (BNM) berpandangan bahawa paras ringgit baru-baru ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang.
Pertumbuhan pada tahun 2024 akan didorong oleh permintaan luaran yang bertambah baik dan perbelanjaan dalam negeri yang kukuh. Unjuran terkini IMF menunjukkan bahawa perdagangan global akan meningkat daripada 0.4% pada tahun 2023 kepada 3.3% pada tahun 2024. Bagi Malaysia, eksport telah mencatatkan penambahbaikan yang stabil sejak suku keempat tahun 2023. Malah, eksport bulan Januari 2024 yang disiarkan baru-baru ini juga positif (+8.7%). Sektor pelancongan telah pulih dengan kukuh dan ketibaan pelancong pada tahun 2024 dijangka mengatasi paras sebelum pandemik iaitu 26 juta. Momentum pelaburan juga meningkat berikutan pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan dalam sektor swasta dan awam.
Susulan perkembangan-perkembangan positif ini bersama-sama dengan komitmen Kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan jangkaan bahawa kadar faedah akan diturunkan di negara-negara maju, kebanyakan penganalisis membuat jangkaan bahawa ringgit akan menambah nilai pada tahun ini.
Abdul Rasheed Ghaffour
Gabenor Bank Negara Malaysia
20 Feb 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.