Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama Tahun 2024
Embargo :3 Okt 2024
Sorotan penting:
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menerbitkan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Pertama tahun 2024 (TKK ST1 2024).
Pasaran kewangan domestik kekal teratur dan berdaya tahan
Keadaan pasaran kewangan domestik kekal teratur sepanjang tempoh volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global pada suku kedua dan ketiga tahun 2024. Jangkaan pelabur yang berubah berhubung dengan keputusan dasar monetari bank-bank pusat utama menyumbang kepada volatiliti pasaran kewangan. Ringgit terus dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan luaran. Sejak awal tahun 2024, ringgit telah menambah nilai sebanyak 11.4% berbanding dolar AS setakat 30 September 2024. Prospek ekonomi yang positif dan pembaharuan struktur dalam negeri, dilengkapi dengan inisiatif berterusan untuk menggalakkan aliran pertukaran asing, akan terus menyokong ringgit.
Daya tahan perniagaan semakin teguh berikutan keadaan ekonomi yang bertambah baik
Aktiviti perniagaan meningkat pada separuh pertama tahun 2024 disokong oleh pemulihan dalam keadaan eksport dan permintaan dalam negeri yang lebih kukuh. Beberapa sektor perniagaan terus menghadapi cabaran yang berpunca daripada tekanan kos yang berterusan dan pemulihan permintaan pengguna yang lebih perlahan bagi beberapa segmen produk bukan keperluan. Secara keseluruhan, sektor perniagaan kekal berdaya tahan terhadap
cabaran-cabaran ini. Kualiti kredit pinjaman perniagaan kekal kukuh, dengan nisbah pinjaman terjejas yang stabil pada 2.6% daripada pinjaman perniagaan. Bahagian PKS dengan pinjaman yang gagal dibayar juga telah menurun. Selaras dengan hal ini, bahagian PKS yang berada di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman menunjukkan trend yang lebih rendah kepada 4.7% daripada jumlah pinjaman PKS (atau 0.8% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan). Sebahagian besar PKS yang telah menamatkan program bantuan bayaran balik pinjaman juga mampu mengekalkan bayaran balik pinjaman masing-masing.
Daya tahan perniagaan dijangka terus bertambah baik pada separuh kedua tahun 2024 sejajar dengan unjuran kegiatan ekonomi yang terus berkembang. Kos input dijangka berkurang berikutan harga komoditi yang lebih rendah dan ringgit yang menambah nilai.
Daya tahan isi rumah disokong oleh keadaan ekonomi dan pasaran pekerja yang menggalakkan
Daya tahan isi rumah terus disokong oleh keadaan ekonomi dan pasaran pekerja yang menggalakkan. Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK kekal tidak berubah secara keseluruhan pada 83.8% berikutan hutang isi rumah yang berkembang sejajar dengan kadar kegiatan ekonomi. Median nisbah hutang isi rumah kepada pendapatan (debt-to-income, DTI) juga secara relatif stabil. Standard pemberian pinjaman berhemat oleh bank-bank kekal penting dalam memastikan pengumpulan hutang isi rumah selaras dengan keupayaan membayar balik hutang. Sehubungan dengan hal ini, ukuran kemampuan pembayaran balik hutang termasuk median nisbah khidmat hutang (debt service ratio, DSR) juga terus berada pada paras berhemat. Peminjaman isi rumah yang berisiko lebih tinggi untuk mungkir telah menurun kepada 4.4% daripada jumlah pinjaman isi rumah (Disember 2023: 4.8%). Angka ini mencerminkan bayaran balik pinjaman yang berterusan oleh kebanyakan isi rumah.
Daya tahan operasi kekal menjadi keutamaan penting
Usaha berterusan oleh institusi kewangan untuk memastikan amalan pengurusan risiko operasi dan kawalan penipuan yang kukuh terus menjadi keutamaan yang sangat penting untuk menyokong daya tahan operasi sistem kewangan. Institusi kewangan terus melaburkan sumber yang besar untuk mempertingkatkan proses pengesanan dan mitigasi keselamatan siber.
Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew berkata, ¡°BNM terus menaikkan standard yang dikehendaki daripada institusi kewangan sebagai tindak balas kepada ancaman baharu serta ancaman yang baru muncul. Hal ini termasuk memperkenalkan keperluan yang dipertingkatkan bagi menguruskan risiko yang timbul daripada penyedia perkhidmatan pihak ketiga.¡±
Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Elektronik Masa Nyata (Real-time Electronic Transfer of Funds and Securities System, RENTAS) dan sistem pembayaran runcit (retail payment system, RPS) utama terus mengekalkan ketersediaan sistem tanpa insiden yang serius. Rangkaian bayaran segera rentas sempadan serantau Malaysia telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan bayaran Respons Pantas (Quick Response, QR) rentas sempadan. Jumlah transaksi pembayaran QR rentas sempadan dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2024 sahaja sudah melebihi sekali ganda jumlah transaksi yang dicatatkan bagi keseluruhan tahun 2023. Dengan jumlah transaksi yang dijangka semakin meningkat, pihak berkuasa serantau sedang bekerjasama erat untuk memastikan kerjasama rentas sempadan yang berkesan dalam usaha memastikan pengendali sistem pembayaran terus memenuhi keperluan teknikal yang ditetapkan untuk daya tahan operasi.
Institusi kewangan domestik kekal menyokong pertumbuhan ekonomi
Penampan kukuh yang dikekalkan oleh bank-bank, penanggung insurans dan pengendali takaful akan terus memelihara daya tahan institusi kewangan terhadap kerugian luar jangka. Setakat akhir bulan Jun 2024, nisbah jumlah modal agregat sistem perbankan berada pada 18.4%, dengan penampan modal sebanyak RM136.1 bilion melebihi jumlah minimum pengawalseliaan. Sektor insurans dan takaful juga kekal berdaya tahan, dengan nisbah kecukupan modal agregat sebanyak 227% dan lebihan penampan modal sebanyak RM37.4 bilion. Kedudukan ini akan membolehkan bank-bank untuk terus memenuhi keperluan pembiayaan dan perlindungan isi rumah dan perniagaan apabila kegiatan ekonomi terus berkembang.
TKK ST1 2024 mengetengahkan dua rencana:
Lihat juga:
Bank Negara Malaysia
3 Oktober 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.