Pernyataan Jawatankuasa Pasaran Kewangan Mengenai Pasaran Pertukaran Asing Ringgit
Embargo :1 Mac 2024
Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) bermesyuarat hari ini untuk membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran pertukaran asing ringgit.
Mesyuarat bersetuju dengan penilaian bahawa tahap semasa ringgit berada di bawah nilai saksama, khususnya kerana asas-asas ekonomi Malaysia terus kukuh dan prospek ekonomi adalah positif.
FMC mengalu-alukan pernyataan Menteri Kewangan II mengenai ringgit terutamanya berhubung dengan penyelarasan yang lebih mantap antara kerajaan dengan BNM untuk menggalakkan lebih banyak aliran masuk ke dalam pasaran. Langkah ini termasuk mempertingkatkan penyelarasan dengan syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies, GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (government-linked investment companies, GLIC). Penyelarasan ini bagi menggalakkan mereka membawa balik pendapatan pelaburan asing dan menukarkan pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten, lantas memainkan peranan mereka bagi menyokong ringgit dalam persekitaran global yang mencabar.
Mesyuarat mengambil maklum bahawa terdapat kesan yang serta-merta terhadap aliran pasaran dan peningkatan minat pasaran terhadapringgit. Kemungkinan untuk lebih banyak penukaran kepada ringgit adalah tinggi, berikutan tahap baki semasa mata wang asing di dalam negara. FMC mengambil maklum bahawa BNM akan mengadakan lebih banyak libat urus dengan syarikat korporat dan pelabur bagi menggalakkan lagi penukaran ringgit serta memperkukuh sentimen pasaran terhadap ringgit.
FMC juga mengambil maklum akan keyakinan pelabur global yang berterusan terhadap pasaran kewangan Malaysia. Sejak awal tahun sehingga kini, KLCI meningkat sebanyak 6.7% dengan disokong oleh aliran masuk sebanyak USD422 juta daripada pelabur bukan pemastautin. Pemegangan bon kerajaan jangka panjang oleh pelabur bukan pemastautin terus stabil pada kira-kira 22% manakala pasaran FX kekal memberangsangkan dengan jumlah hasil jualan pertukaran asing harian yang kukuh sebanyak USD15.3 bilion. Hal ini akan terus menyokong pengantaraan yang cekap dalam ekonomi.
Ketua Perbendaharaan Standard Chartered Bank Malaysia, Sylvia Wong berkata, ¡°Kami perhatikan bahawa terdapat aliran yang seimbang daripada syarikat korporat dan pelabur institusi apabila ringgit terus didagangkan secara teratur. Faktor luaran, iaitu jangkaan kenaikan kadar AS, terus menetapkan pergerakan FX serantau, termasuk ringgit. Sebaik sahaja pengurangan kadar AS diketahui dengan jelas, penilaian kadar pertukaran berbanding dengan dolar AS dijangka meningkat.¡±
Ketua Pegawai Pelaburan Allianz Malaysia Berhad, Wong Siew Lin turut menambah, ¡°Prestasi ekuiti yang positif sejak awal tahun sehingga kini telah lama tidak berlaku dan keadaan ini terbukti berlaku secara meluas. Tambahan pula, prestasi syarikat di pasaran utama telah mengatasi syarikat bermodal kecil pada tahun ini.¡±
Pengerusi FMC dan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid menyimpulkan , ¡°Mesyuarat telah berlangsung dengan baik dan penuh dengan maklumat. Berdasarkan pandangan yang dikongsikan, terdapat prospek yang baik untuk ringgit bertambah kukuh daripada tahap semasa.¡±
Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC)
FMC ditubuhkan oleh BNM pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang memegang peranan penting atau merupakan peserta utama dalam pasaran kewangan.
Bank Negara Malaysia
1 Mac 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.