Kemudahan Bantuan Bencana 2022 BNM untuk PMKS yang Terjejas Akibat Banjir Baru-baru Ini
Embargo :20 Dis 2021
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir di seluruh negara baru-baru ini melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (Disaster Relief Facility, DRF 2022).
DRF 2022 ini akan membantu PKS menampung kos membaiki dan/atau mengganti aset untuk kegunaan perniagaan (cth. loji dan mesin) yang telah rosak akibat banjir; dan/atau untuk modal kerja. DRF 2022 ini tersedia untuk PKS, termasuk perusahaan mikro, dengan jumlah pembiayaan maksimum hingga RM500,000 bagi setiap PKS dan hingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro. Tempoh pembiayaan adalah hingga 5 tahun, termasuk tempoh moratorium selama enam bulan ke atas bayaran pokok dan faedah/keuntungan. Kadar pembiayaan adalah hingga 3.50% setahun, termasuk apa-apa fi jaminan. Kemudahan ini akan disediakan mulai 27 Disember 2021 sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya (atau sehingga diberitahu kelak, bergantung pada situasi banjir).
Perniagaan yang terjejas boleh memohon daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.
Para peniaga boleh menghubungi Bank Negara Malaysia melalui bnm.gov.my/LINK sekiranya mereka menghadapi sebarang kesulitan berhubung dengan kemudahan di atas.
Industri perbankan dan insurans beriltizam untuk membantu pihak yang terjejas. Industri kewangan telah mengumumkan pelbagai inisiatif bantuan banjir. Untuk butiran lanjut, orang ramai boleh menghubungi institusi kewangan mereka dengan merujuk laman sesawang institusi-institusi berkenaan. Maklumat juga boleh diperoleh daripada laman sesawang persatuan-persatuan industri di bawah ini.
Lihat juga:
Pautan yang berkaitan:
Bank Negara Malaysia
20 Disember 2021
? Bank Negara Malaysia, 2021. All rights reserved.