Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Pembukaan oleh Timbalan Gabenor Marzunisham Omar
di Malaysia Assessed Country Training
15 Mei 2024
Saya sangat berbesar hati kerana berpeluang memberikan sepatah dua kata pada pagi ini. Saya gembira melihat banyak wakil daripada agensi kerajaan dan penguat kuasa undang-undang berada di sini. Kita semua berkongsi komitmen dan tanggungjawab dalam melaksanakan langkah-langkah untuk mengukuhkan lagi pencegahan pengubahan wang haram, serta membanteras pembiayaan keganasan dan penyebaran senjata pemusnah besar-besaran. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan sekerja dari Sekretariat Pasukan Petugas Tindakan Kewangan dan Asia/Pacific Group on Money Laundering (FATF-APG), yang berkongsi pandangan dan perspektif mereka mengenai proses penilaian bersama secara keseluruhan. Perkongsian ini pastinya akan memberikan manfaat kepada kita semua pada hari ini.
Izinkan saya memulakan ucapan dengan memberikan ringkasan gambaran keseluruhan tentang kedudukan Malaysia berkaitan dengan proses Penilaian Bersama, yakni Mutual Evaluation atau ME. Seperti yang anda sedia maklum, Malaysia berada dalam kalangan negara pertama yang akan menjalani pusingan kelima ME oleh FATF. Pusingan ini akan bermula dengan penyerahan Pematuhan Teknikal terhadap cadangan FATF terpilih pada bulan Jun 2024, diikuti dengan penyerahan keberkesanan Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Pencegahan Pembiayaan Keganasan/Pencegahan Pembiayaan Percambahan Senjata Pemusnah atau AML/CFT/CPF pada bulan September 2024. Pusingan ini akan diakhiri dengan lawatan premis pada bulan Februari 2025. Laporan ME ini dijadualkan akan dibentangkan semasa Pleno FATF pada bulan Oktober 2025.
Bagi membuat persediaan untuk pencapaian ME yang akan datang, kami telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan utama pada semua peringkat yang terlibat. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kami telah mengadakan beberapa sesi libat urus pada peringkat tinggi dan juga perbincangan yang tertumpu pada operasi dengan pelbagai agensi kawal selia, penyeliaan dan penguatkuasaan undang-undang. Perbincangan dengan pelbagai agensi ini telah menghasilkan pelaksanaan lebih 100 saranan tindakan yang utama (key recommended actions, KRA) untuk mengukuhkan rejim AML/CFT/CPF. Dalam hal ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada anda semua atas input yang dikongsikan serta sokongan dan komitmen yang tidak berbelah daripada pasukan anda untuk melaksanakan KRA ini.
Selain itu, dalam sesi percubaan (mock run) ME yang diadakan dari
4 hingga 6 Mac 2024 baru-baru ini, pasukan kami berpeluang membiasakan diri dengan proses temu duga di premis, dan saya yakin kami telah memperoleh pemahaman tentang kehendak penilai dan mengenal pasti bahagian yang memerlukan penambahbaikan selanjutnya dalam langkah AML/CFT/CPF kami.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sebagai ahli FATF, Malaysia meletakkan jangkaan tahap integriti tertinggi bagi mematuhi piawaian AML/CFT/CPF antarabangsa. Seperti yang kita sedia maklum, jenayah hari ini merentas sempadan, dan sebagai tindak balas terhadap keadaan ini, Malaysia juga telah menjalin dan mengekalkan hubungan yang erat dengan rakan sejawat luar, terutamanya dalam hal-hal perkongsian risikan dan penyiasatan. Selain itu, rejim AML/CFT/CPF Malaysia berteraskan sistem pengawasan yang teguh, yang seterusnya membantu memastikan keberkesanan dan ketepatan masa tindakan penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan.
Sehubungan dengan itu, pada tahun 2023, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil sebanyak 291 tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan ke atas institusi kewangan, dan telah melucut hak aset akibat aktiviti haram berjumlah kira-kira RM11 juta. Unit Perisikan Kewangan (Financial Intelligence Unit, FIU) BNM juga telah berkongsi risikan kewangan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan dan lebih 50 FIU asing, dan 71% daripada pendedahan perisikan ini berkaitan dengan jenayah berisiko tinggi.
Kami tidak, dan tidak boleh, memerangi jenayah kewangan secara bersendirian. Sesungguhnya, rakan kawal selia dan penguatkuasaan kami telah memainkan peranan yang sama penting dalam hal ini. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, atau SPRM, misalnya, telah mencapai kemajuan penting dan ketara dalam usaha membanteras rasuah, termasuk pembukaan sejumlah 776 kertas siasatan yang menyebabkan 869 tangkapan dan sejumlah 326 pertuduhan dibawa ke mahkamah antara bulan Januari hingga Ogos 2023. Rakan sejawat kami, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia juga telah membuka sejumlah 4,880 kes pendakwaan di mahkamah antara bulan Januari hingga April 2024. Kesemua usaha ini mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk memerangi jenayah kewangan dan memelihara integriti sistem kewangan negara.
Meskipun kita telah mencapai kemajuan yang membanggakan, kita tidak seharusnya leka. Risiko ML/TF/PF terus berkembang, dan jika kita tidak berwaspada, risiko ini akan menimbulkan ancaman serius kepada sistem kewangan, ekonomi, masyarakat dan negara. Sehubungan dengan itu, saya ingin menghuraikan lima keutamaan strategik dalam usaha kita untuk mengukuhkan lagi rejim AML/CFT/CPF negara.
Keutamaan strategik pertama ialah Pelan Hala Tuju Baharu yang sedang dibangunkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Peringkat Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram sambil kami mengemas kini Penilaian Risiko Negara. Pelan hala tuju baharu ini, sama seperti pelan yang sedia ada, akan menggariskan inisiatif utama dalam bidang penyiasatan, penguatkuasaan, penyelarasan dan pembinaan keupayaan. Penambahbaikan dan pengemaskinian akan dibuat bagi memastikan AML/CFT/CPF kita terus sesuai mengikut tujuan berikutan perkembangan global dan dalam negeri yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, serta mengambil kira apa yang telah dipelajari daripada pengalaman kita dalam bidang-bidang ini.
Kedua, memperteguh rangka kerja undang-undang untuk masa hadapan. Kami sedang menyemak undang-undang utama AML/CFT/CPF, iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act, AMLA), untuk menangani isu jurang dan pelaksanaan, terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan pengawalan, penyeliaan dan penguatkuasaan. Undang-undang penting lain, seperti Akta Syarikat 2016, juga sedang dipinda bagi memantapkan pelaporan pemilikan benefisial (beneficial ownership), yang penting untuk meningkatkan ketelusan.
Ketiga, pengenalpastian risiko yang muncul. Penilaian risiko bersasar sedang dikemas kini untuk meningkatkan pemahaman dalam bidang pembiayaan percambahan, aset maya, entiti korporat (legal persons) dan pengaturan undang-undang. Tumpuan khusus pada masa ini adalah pada kelemahan yang berkaitan dengan pemilikan benefisial dan entiti yang ditubuhkan oleh pihak asing (foreign-created entities).
Keempat, kerjasama sektor awam-swasta. Usaha membanteras ML/TF/PF memerlukan pendekatan seluruh negara, dan kekukuhan penjajaran dan penyelarasan antara sektor awam dengan swasta merupakan elemen utama jalinan kerjasama ini. Satu inisiatif yang sedang dilaksanakan dalam hal ini ialah pembangunan Portal Fraud Kebangsaan, iaitu kerjasama yang melibatkan BNM dan sektor swasta sebagai pelengkap kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan atau NSRC, dalam bertindak balas terhadap penipuan. Portal ini akan mempercepat pengesanan dana yang dicuri, sekali gus membolehkan tindakan segera diambil terhadap penipu.
Kelima, memperkukuh penyelarasan tindakan bersama. Menangani jenayah kewangan yang kompleks memerlukan komitmen yang kolektif berhubung dengan perkongsian maklumat yang tepat pada masanya, bantuan teknikal, latihan yang berterusan dan penggunaan alat teknologi secara optimum. Inisiatif kami dalam usaha memperhalus bidang penyelarasan ini sejak beberapa tahun lalu telah membuahkan hasil, dengan tindakan penguatkuasaan semakin kerap dijalankan secara bersama. Serbuan dan tangkapan bersama yang diselaraskan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC) dan Multi-Agency Task Force (MATF) telah menyebabkan penyiasatan dan pendakwaan terhadap kesalahan ML dan predikat. Sebagai contoh, dalam kes Ops Tropicana, perkongsian risikan kewangan dan penyiasatan berasaskan risikan yang tepat pada masanya telah membolehkan tindakan bersama yang terselaras oleh agensi penguatkuasaan undang-undang negara. Dalam kes ini, penyiasat menemui penggerak profesional, seperti akauntan dan setiausaha syarikat yang memudahkan operasi sindiket haram.
Meskipun keadaan mendesak, saya yakin bahawa pengalaman kami secara keseluruhan, penyelarasan yang diperkukuh dan peningkatan penyesuaian terhadap rejim AML/CFT/CPF negara akan membolehkan keutamaan strategik ini dilaksanakan dengan berkesan pada tahun-tahun akan datang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
FATF terus meningkatkan piawaiannya untuk memastikan maklum balas dasar kekal terkini, dan Malaysia tetap berusaha untuk mengikuti perkembangan ini. Izinkan saya menyampaikan secara ringkas mengenai beberapa inisiatif utama yang telah diambil bagi membuat penyesuaian terhadap landskap yang sedang berkembang.
Pertama, kami telah menyertakan aset maya dalam pemerhatian berhubung risiko baharu atau yang baru muncul. Memandangkan penjenayah semakin bergantung pada mata wang kripto dan aset digital lain untuk mengelakkan pengesanan oleh pihak berkuasa, terdapat keperluan mendesak untuk mempercepat dan memperdalam pemahaman kita tentang risiko yang berkaitan dengan aset maya ini. Sebagai contoh, langkah penting ke arah ini ialah penubuhan Makmal Analisis Jenayah Mata Wang Kripto oleh Polis Diraja Malaysia pada bulan Mei 2022 di bawah Jabatan Jenayah Komersil, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Makmal ini telah memainkan peranan penting dalam memudahkan analisis dan penyiasatan jenayah berkaitan mata wang kripto. BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dan Polis Diraja Malaysia juga telah bersama-sama menjalankan kajian Penilaian Risiko Aset Maya, yang akan diterbitkan pada tahun ini.
Kedua, kami telah mengetatkan keperluan pemilikan benefisial peringkat global. Tindakan ini penting untuk menghalang penjenayah daripada menyembunyikan wang mereka di sebalik struktur korporat. Saya ingin memuji Suruhanjaya Syarikat Malaysia kerana melancarkan Electronic Beneficial Ownership System, yang dengannya syarikat kini boleh mengenal pasti, mendapatkan, merekod, mengemas kini dan menyerahkan maklumat pemilikan benefisial kepada Pendaftar.
Ketiga, kami telah menerima pakai piawaian FATF yang dipertingkatkan mengenai pemulihan aset. Pindaan penting kepada Akta NFCC akan membuka jalan ke arah sistem pengurusan harta berpusat. Pada masa ini, terdapat beberapa inisiatif yang diterajui oleh agensi untuk mengurus aset dengan lebih berkesan, termasuk mengemas kini proses dalaman.
Keempat, kami sentiasa mengkaji semula dedahan Malaysia kepada risiko TF/PF berdasarkan perkembangan global. Sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kami komited kepada Resolusi Majlis Keselamatan PBB, serta Piawaian FATF mengenai sekatan kewangan yang disasarkan. Kami juga mengambil maklum tentang sekatan sehala (unilateral sanctions) serta mengalu-alukan dialog membina dan perkongsian maklumat dengan negara lain dan perkongsian maklumat mengenai perkara-perkara kepentingan bersama, termasuk perisikan TF/PF. Kami bersedia untuk bekerjasama dan mengambil tindakan yang perlu dalam kes pelanggaran yang jelas terhadap undang-undang antarabangsa atau Malaysia. Hal ini merupakan tambahan kepada garis dasar kukuh yang ditetapkan untuk semua institusi kewangan di negara ini dari segi pematuhan keperluan AML/CFT/CPF seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang negara yang selaras dengan piawaian antarabangsa.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Memerangi risiko ML/TF/PF merupakan usaha berterusan yang cabarannya sentiasa berkembang. Meskipun kita terus mengorak langkah dalam menambah baik pendekatan dan sistem dalam menangani risiko-risiko ini, sentiasa ada keperluan untuk kita berpandangan jauh, terutamanya dari segi memastikan semua agensi terus mempunyai sumber, kemahiran dan alat yang diperlukan. Hal ini supaya kita dapat membuat penyesuaian yang berkesan terhadap risiko yang akan muncul serta memantapkan keupayaan kita untuk menghadapinya.
Sebagai kesimpulan, saya ingin menegaskan bahawa matlamat akhir kita yang utama adalah untuk memastikan adanya rejim AML/CFT/CPF yang kukuh, mantap dan berkesan bagi menangani jenayah kewangan dan memelihara integriti sistem kewangan negara. Dari aspek ini, ME bukanlah satu matlamat akhir. Sebaliknya, ME merupakan peluang untuk kita menilai semula dan menunjukkan kemajuan penting yang telah dicapai dalam menangani
risiko-risiko ini. Saya percaya bahawa persiapan rapi dan teliti oleh semua pihak, termasuk dalam melaksanakan Tindakan Cadangan Utama kami dengan berkesan, akan dapat direalisasikan menerusi hasil ME.
Sehubungan itu, saya berharap para hadirin akan mendapat manfaat yang besar dan produktif sepanjang sesi pada hari ini.
Terima kasih.