Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucaptama Perasmian oleh Timbalan Gabenor Marzunisham Omar
di International Conference on Financial Crime and Terrorism Financing (IFCTF) Masterclass 2024
Shangri-La Kuala Lumpur | 19 Ogos 2024
AssalamuĄŻalaikum warahamatullahi wabarakatuh dan selamat pagi.
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana mengundang saya untuk berucap pada hari ini. Saya berbesar hati dan ingin menzahirkan penghargaan saya kepada pihak AICB dan Kumpulan Rangkaian Pegawai Pematuhan (Compliance OfficersĄŻ Networking Group, CONG) atas usaha dan kepimpinan mereka yang tidak berbelah bahagi dalam menganjurkan acara ini.
Seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Azman Hashim, tahun ini merupakan kali ke-14 persidangan IFCTF dianjurkan dan juga kali pertama persidangan ini dikendalikan dalam format kelas pakar atau masterclass. Ruang perbincangan dan perkongsian pandangan seperti ini semakin penting saban tahun berikutan persekitaran landskap kewangan yang semakin cepat berubah-ubah. IFCTF, khususnya, sentiasa menjadi platform untuk memetik perbincangan mengenai sempadan menangani jenayah kewangan. Persidangan ini amat tepat pada masanya, memandangkan Jawatankuasa Penyelaras Pencegahan Pengubahan Wang Haram Peringkat Kebangsaan (National Coordination Committee to Counter Money Laundering, NCC) baru-baru ini telah meluluskan Penilaian Risiko Negara (National Risk Assessment, NRA) 2023. Perkara ini juga penting berikutan persiapan yang sedang berjalan untuk Penilaian Bersama Pusingan Ke-5 oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan.
Masterclass pada hari ini merupakan sebuah latihan perkembangan dan penerokaan teknikal. Saya berharap semua peserta akan mendapat kemahiran yang praktikal dan berguna. Pada pagi ini, saya ingin berkongsi mengenai tiga prinsip yang perlu kita pupuk untuk memperkukuh keupayaan kita dalam menangani jenayah kewangan: Kecekapan, Komitmen dan Kerjasama.
Bahagian 1: Kecekapan ¨C Mengasah Kemahiran
Tuan-tuan dan puan-puan,
Lanskap jenayah kewangan sentiasa berubah-ubah. Pendorong transformatif utama ialah teknologi serta kemajuannya yang pesat berubah. Sebagai contoh, laporan PWC UK 2023 mengenal pasti bahawa kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) berkemungkinan akan mendorong peningkatan dalam jumlah dan kecanggihan taktik penipuan. Di Malaysia, kita juga melihat risiko ini menjadi kenyataan berikutan gelombang taktik penipuan baharu yang memanfaatkan teknologi seperti perisian hasad (malware) dan deepfake yang dihasilkan melalui AI, digunakan di media sosial untuk memperdaya mangsa. NRA 2023 turut membuat kesimpulan bahawa trend peningkatan aktiviti haram berkaitan aset maya di Malaysia (walaupun nilainya masih kecil) dan hubung kaitnya yang semakin meningkat dengan jenayah pengubahan wang haram berisiko tinggi, terutamanya penipuan.
Kemajuan dalam penyelesaian teknologi seperti AI, aset maya dan media sosial bersama-sama dengan peningkatan dalam elemen rentas sempadan telah mengakibatkan usaha memerangi jenayah kewangan menjadi lebih rumit.
Ini membawa saya kepada kecekapan. Pertama, pada masa yang sama penjenayah memanfaatkan teknologi dalam penipuan mereka, kita juga perlu sama-sama memanfaatkan inovasi ini untuk kekal peka dan mahir dalam usaha kita membanteras jenayah. Oleh itu, institusi kewangan perlu terus membuat pelaburan dalam mempertingkatkan usaha penyelesaian teknologi terkini bagi mengesan dan melindungi pelanggan daripada penipuan kewangan. Kami mengalu-alukan pelaksanaan teknologi perlindungan perisian hasad baru-baru ini oleh industri kewangan bagi aplikasi perbankan untuk mencegah penipuan berkaitan perisian hasad.
Kedua, institusi kewangan perlu terus memperkukuh keupayaan kakitangan. Walau bagaimanapun, kemahiran individu merupakan teras penting dalam usaha penyelesaian untuk membanteras jenayah. Manusia yang menggunakan teknologi canggih untuk melakukan jenayah. Manusia juga yang akan menghalang jenayah-jenayah tersebut. Usaha mempertingkatkan kemahiran, pengetahuan serta bakat tidak boleh dianggap sebagai kos menjalankan perniagaan (cost to doing business). Usaha ini penting untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem perbankan dan kewangan.
Dalam hal ini, saya menggesa institusi kewangan untuk mempertingkatkan kemahiran kakitangan. Institusi seperti AICB dan CONG semestinya sedang memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan ini dan Rangka Kerja Kemahiran Masa Hadapan (Future Skills Framework) bagi sektor kewangan Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini memang tepat pada masanya.
Dalam mempertimbangkan kecekapan, kita juga tidak seharusnya meningkatkan usaha dari aspek teknologi semata-mata. Sistem pertahanan yang serius memerlukan strategi menyeluruh institusi terhadap pengurusan risiko. Kecekapan dalam bidang risiko lain juga penting. Pematuhan, undang-undang dan reputasi, semua ini merupakan sebahagian daripada benteng kecekapan institusi dalam membanteras jenayah.
Terdapat satu lagi bidang yang menyokong dan mengekalkan kecekapan, iaitu tadbir urus. Ini membawa saya kepada prinsip kedua iaitu Komitmen.
Bahagian 2: Komitmen ¨C Akauntabiliti pada Setiap Peringkat
Tuan-tuan dan puan-puan,
Industri kewangan ialah rangkaian yang cekap dan meluas yang menghubungkan sumber dengan keperluan. Namun, kecekapan ini seperti pedang bermata dua, bisanya pantas merebak dan boleh meruntuhkan keseluruhan rangkaian. Itulah sebabnya institusi kewangan perlu menggalas tanggungjawab sebagai barisan pertahanan pertama dalam membanteras jenayah kewangan. Contohnya, anda semua memainkan peranan yang kritikal untuk membanteras penjenayah dari menyalah guna institusi kewangan untuk mengubah hasil dari aktiviti haram.
NRA 2023 mengenal pasti lima jenayah berisiko tinggi teratas yang menimbulkan ancaman pengubahan wang haram yang signifikan iaitu penipuan, rasuah, penyeludupan, pengedaran dadah haram dan jenayah terancang. Rasuah, misalnya, adalah isu sistemik yang berada dalam setiap sektor serta peringkat masyarakat kita. Rasuah mendanai dan membolehkan jenayah lain yang berisiko tinggi. Sesiapa yang berada dalam industri kewangan yang memainkan peranan dalam memudahkan atau mengambil bahagian dalam aktiviti rasuah ini, tanpa ragu, meninggalkan kesan kepada mangsa dan masyarakat.
Oleh sebab ini, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bertolak ansur terhadap kegagalan integriti yang serius oleh kakitangan institusi kewangan, seperti yang kita dengar sebagai topik utama baru-baru ini. Para pekerja ini telah diambil oleh sindiket jenayah untuk memudahkan rasuah dan skim penipuan. Walaupun ini merupakan kes-kes terpencil, ini boleh menjejaskan reputasi keseluruhan industri dan mengurangkan kepercayaan orang ramai dengan ketara. BNM telah melaksanakan proses penyeliaan dan penguatkuasaan yang teguh terhadap perkara ini ini, termasuk mewajibkan bank-bank untuk terus menjalankan proses saringan dan pemeriksaan pekerja baharu serta kakitangan barisan hadapan. BNM tidak akan teragak-agak untuk mengenakan penalti yang berat ke atas institusi kewangan yang gagal melaksanakan perkara ini.
Tuntasnya, usaha membanteras jenayah kewangan memerlukan komitmen penuh daripada setiap pekerja dalam institusi kewangan. Tadbir urus yang utuh dan kawalan risiko perlu dimantapkan melalui budaya risiko yang kukuh. Perkara ini bermula dengan proses pengambilan pekerja yang ketat yang bukan sahaja mengambil kira kecekapan teknikal, tetapi juga integriti. Individu adalah cerminan sesebuah institusi. Oleh itu, BNM menghendaki setiap institusi kewangan untuk melaksanakan pemeriksaan pekerja. Setiap pekerja perlu memainkan peranan sebagai penjaga amanah orang awam dan memandang serius kepentingan peranan mereka dalam sistem kewangan.
Bahagian 3: Kerjasama ¨C Berterusan dan Mampan
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dalam menjalankan amanah kita dengan penuh integriti dan kecekapan, kita juga perlu menjadi rakan usaha sama yang baik untuk satu sama lain. Jenayah kewangan bukan sahaja terhad kepada sektor kewangan, malah merangkumi pelbagai aspek kehidupan seharian kita yang memberikan impak terhadap komuniti, perniagaan dan struktur masyarakat kita. Hal ini menekankan keperluan untuk pendekatan menyeluruh negara, iaitu setiap individu memainkan peranan.
Terdapat satu contoh jelas yang mencerminkan kepentingan sinergi dalam menangani penipuan. Dalam tempoh 21 bulan sejak penubuhan NSRC pada Oktober 2022, Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) telah menerima kira-kira 105,000 panggilan daripada mangsa penipuan dengan jumlah kerugian dilaporkan sebanyak RM328.3 juta. Angka-angka ini hanyalah menurut kes-kes yang dilaporkan kerana wujud lebih banyak kes yang mungkin tidak dilaporkan.
Semua aktiviti ini semakin menjadi-jadi dengan mengeksploitasi jurang lemah dalam usaha komunikasi. Tindakan pantas antara institusi mampu mencetus perubahan dalam usaha membanteras jenayah kewangan. Oleh sebab ini, kita telah menubuhkan platform seperti NSRC dan Platform Perisikan Ancaman Siber Sektor Kewangan (Financial Sector Threat Intelligence Platform, FinTIP). Kedua-dua platform ini bukan sahaja terdiri daripada peserta kewangan atau agensi penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga pihak berkepentingan utama seperti syarikat telekomunikasi. Matlamatnya adalah untuk memupuk hubungan dan libat urus yang membolehkan kita bergerak seiring perubahan dan bertindak pantas dalam persekitaran jenayah yang perlu dibanteras dengan cepat.
Bagi pengetahuan hadirin sekalian, Yang Berhormat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan melancarkan National Fraud Portal dan proses pengendalian akaun keldai esok. Inisiatif-insiatif ini merupakan hasil daripada kerjasama berterusan antara BNM dan ahli industri kewangan seperti CONG dan PayNet.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Pada hakikatnya, prinsip nampak mudah dimiliki, namun cabaran utama terletak pada usaha berpegang kepadanya. Usaha menangani jenayah kewangan bukanlah setakat menyelesaikan satu demi satu kes sahaja tetapi memerlukan kefahaman yang mendalam serta perancangan yang teliti.
Saya yakin bahawa industri kita, malah kebanyakan antara kita kini, telah menyedari cabaran ini. Kita telah melihat komitmen ini dicerminkan dalam kualiti perbincangan dan sumbangan pandangan daripada pelbagai individu dan institusi dalam NRA baru-baru ini. Kini, kita perlu mencerminkan hasil NRA dalam tindakan seterusnya.
Bagi membolehkan kita mencapai objektif ini, kita perlu terus mengasah bidang kecekapan yang bersesuaian. Kita perlu komited dalam memupuk integriti dan akauntabiliti pada setiap peringkat. Kita juga perlu mempertingkatkan kerjasama.
Dengan semua usaha ini, kita boleh memegang erat harapan untuk memulihara sistem kewangan yang mendapat kepercayaan rakyat. Lantas, ekonomi negara akan terus berkembang pada masa hadapan.
Akhir kata, saya harap anda semua akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada masterclass pada hari ini. Terima kasih.
Bank Negara Malaysia
19 Ogos 2024