Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucaptama Khas Oleh Timbalan Gabenor Jessica Chew
di Malaysian SME National Conference
Royale Chulan Kuala Lumpur | 14 Mei 2024
Terima kasih atas penghormatan yang diberikan untuk saya berucap di Malaysian SME National Conference. Izinkan saya turut sama mengucapkan tahniah kepada para penganjur bersama atas penganjuran acara penting ini.
Agenda pembangunan PKS merupakan salah satu keutamaan bagi Bank Negara Malaysia (BNM) semenjak sekian lama, sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk menggalakkan sistem kewangan yang inklusif. Pembangunan PKS juga penting untuk prospek pertumbuhan jangka panjang Malaysia memandangkan betapa pentingnya peranan PKS dalam menggalakkan inovasi dan memperluas penyertaan ekonomi melalui peluang pekerjaan yang diwujudkan.
Sekurang-kurangnya satu perempat daripada strategi yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan memberikan tumpuan khusus kepada PKS. PKS juga kekal sebagai segmen tumpuan utama di bawah pelbagai pelan induk negara yang telah diumumkan oleh Kerajaan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan, NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR).
PKS juga merupakan segmen perniagaan yang penting bagi institusi perbankan. Pada tahun 2023, pembiayaan kepada PKS merangkumi hampir separuh daripada jumlah pembiayaan perniagaan terkumpul (49.6%)[1], dengan RM528 bilion jumlah pembiayaan disalurkan oleh bank-bank kepada 2.28 juta akaun PKS.[2] BNM telah memperuntukkan dana sebanyak RM32.4 bilion untuk mempertingkatkan akses kepada pembiayaan bagi PKS dalam bidang pertumbuhan strategik dan baharu.
Jika masih ada keraguan sama ada isu pertumbuhan PKS merupakan agenda yang penting bagi BNM ataupun tidak, terdapat sekurang-kurangnya tujuh jabatan di BNM yang bertanggungjawab terhadap pelbagai aspek yang berkaitan dengan pembiayaan PKS!
Sepanjang beberapa dekad yang lalu, kita telah mencapai banyak kemajuan untuk membina ekosistem yang komprehensif untuk pembiayaan PKS. Kemajuan ini termasuk penubuhan institusi untuk memacu dan menyelaras pembangunan PKS pada peringkat nasional, pengembangan skim jaminan kredit, pengurangan kekangan kepada maklumat penilaian kredit melalui CCRIS dan biro kredit swasta, pelbagai program pemudah cara serta pengaturan penyelesaian hutang untuk membantu pemulihan perniagaan kecil.
Usaha-usaha ini sangat penting untuk mempertingkatkan dan memperluas pembiayaan kepada PKS oleh bank-bank di Malaysia. Seperti yang telah saya nyatakan, pembiayaan kepada PKS kini merangkumi hampir separuh daripada jumlah pembiayaan perniagaan oleh bank-bank. Namun, hala tuju masa hadapan untuk melaksanakan strategi pembiayaan PKS yang berkesan dalam menyokong aspirasi ekonomi Malaysia perlu "melangkaui bank dan melangkaui pemberian pinjaman" untuk mengurangkan jurang pembiayaan PKS.
Berikutan kepelbagaian jenis dan keperluan pembiayaan PKS, kami percaya bahawa penyelesaian yang lebih lengkap terhadap cabaran pembiayaan PKS perlu meliputi tiga bahagian yang berikut:
Langkah-langkah telah diambil untuk memajukan usaha-usaha dalam perkara ini. Akses kepada pembiayaan bank tradisional untuk PKS terus dipertingkatkan melalui modaliti inovatif seperti:
Bank-bank akan terus memainkan peranan penting dalam ekosistem pembiayaan PKS. Masih terdapat ruang yang besar untuk mengembangkan lagi peranan mereka, terutamanya dalam bidang pemberian pinjaman berlandaskan data alternatif dan menyokong penyelesaian pembiayaan yang bernilai lebih tinggi (larger ticket), untuk tempoh yang lebih panjang dan bersifat fleksibel melalui pengaturan perkongsian risiko yang tidak akan mendedahkan dana pendeposit terhadap risiko yang berlebihan.
Setakat ini, kita telah mencapai beberapa kemajuan besar. Kemasukan bank digital dan platform pengumpulan dana alternatif seperti platform pendanaan ramai (crowdfunding) dan platform P2P yang menawarkan model perniagaan yang berbeza serta pendekatan inovatif terhadap penilaian kredit akan menyumbang kepada pengembangan dan kepelbagaian sumber pembiayaan untuk PKS.
Di samping itu, institusi kewangan pembangunan (IKP) sedang diperkukuh untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pembiayaan kepada PKS. Penstrukturan semula IKP seperti yang diumumkan oleh Kerajaan akan meningkatkan sinergi dan kapasiti pembiayaan mereka untuk menyokong aliran kewangan kepada segmen berisiko tinggi. Hal ini termasuk membantu bank-bank memperluas pendekatan mereka bagi pembiayaan PKS melalui pengaturan perkongsian risiko serta membangunkan sumber pembiayaan bukan bank. Pada masa yang sama, kami terus memanfaatkan dana BNM untuk PKS bagi menangani jurang pembiayaan dengan lebih baik dan menggalakkan aliran kewangan kepada bidang pembangunan yang lebih berimpak. Salah satu contoh usaha ini adalah kerjasama berterusan kami dengan Kerajaan untuk menyusun program penggunaan teknologi dari awal hingga akhir bagi PKS yang merangkumi elemen khidmat nasihat teknologi, pembangunan keupayaan, pembiayaan dan insentif berkadar untuk menggalakkan penyertaan. Usaha berterusan untuk membangunkan segmen pasaran modal PKS dan pembiayaan ekuiti swasta juga adalah penting.
Meskipun dengan adanya usaha-usaha ini, kami menyedari bahawa terdapat segelintir PKS yang masih menghadapi cabaran untuk mengakses pembiayaan. Kami telah mengkaji isu ini dengan teliti dan data yang diperoleh menunjukkan bahawa cabaran-cabaran ini biasanya berkaitan dengan sejarah kemungkiran kredit, keupayaan bayaran balik pinjaman yang tidak menentu dan isu berhubung dengan pengurusan perniagaan.[3] Hal ini menekankan kepentingan bidang tumpuan ketiga yang berkaitan dengan keperluan untuk mengukuhkan PKS sebagai prasyarat untuk meningkatkan akses kepada kewangan.
Melalui program seperti iTekad dan Dana BNM untuk PKS, kami terus bekerjasama dengan agensi dan persatuan PKS yang berkaitan untuk mengintegrasikan latihan teknikal, keupayaan kewangan dan perkhidmatan sokongan perniagaan dengan sokongan pembiayaan. Berikutan impak ketara krisis pandemik ke atas PKS, kami telah mempertingkatkan keupayaan AKPK secara ketara untuk membantu PKS meningkatkan daya tahan kewangan mereka dan menyelesaikan isu hutang. Kami juga terus menggiatkan lagi usaha celik kewangan yang telah menjangkau lebih 6.3 juta rakyat Malaysia termasuk usahawan PKS pada tahun 2023.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pada masa hadapan, PKS perlu berdepan dengan kemunculan pelbagai trend mega yang secara asasnya akan membentuk prospek perniagaan PKS pada masa akan datang. Salah satu perkembangan tersebut ialah momentum global yang semakin beralih kepada amalan perniagaan yang lestari atau hijau.
Peralihan kepada amalan yang lebih lestari kini telah diterima dengan baik bukan hanya sebagai tindak balas yang bertanggungjawab dari segi sosial, justeru penting untuk kelangsungan perniagaan jangka panjang. Bagi sesetengah perniagaan, hal ini telah memberikan kesan pada prestasi perniagaan dan akses kepada pembiayaan apabila permintaan untuk pelaporan berkaitan iklim meningkat dan menjadi lebih lazim.
Bagi Malaysia, kepentingannya adalah tinggi.
Hal ini menekankan keperluan mendesak bagi PKS untuk membuat peralihan. Pelaksanaan amalan mampan akan mengukuhkan daya tahan PKS terhadap risiko iklim, serta memudahkan akses kepada perlindungan kewangan yang mampu milik dan pembiayaan berkaitan kelestarian. Sebaliknya, risiko fizikal dan peralihan yang tidak diurus dengan baik boleh mengakibatkan gangguan yang ketara dalam aktiviti perniagaan, kerosakan harta benda dan kemerosotan nilai ekonomi yang mungkin tidak dapat dipulihkan.
Melalui Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) yang dipengerusikan bersama oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission, SC), usaha yang signifikan sedang dilakukan untuk menyokong usaha peralihan oleh PKS.
BNM juga telah menyediakan fasiliti Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (Low Carbon Transition Facility, LCTF) bernilai RM1 bilion yang ditubuhkan atas dasar padanan dengan institusi kewangan peserta untuk membantu PKS mengamalkan amalan yang lestari dan rendah karbon dalam operasi perniagaan mereka. Kami berhasrat untuk meningkatkan lagi sokongan pembiayaan kepada perniagaan yang boleh membangunkan dan memperluas teknologi dan proses hijau atau perniagaan yang sedang menjalankan usaha yang bermakna untuk beralih kepada model karbon rendah.
Institusi kewangan juga meningkatkan keupayaan mereka sendiri untuk memberikan khidmat nasihat dan sokongan teknikal kepada PKS berhubung dengan perjalanan peralihan mereka, termasuk dalam amalan pengurusan risiko dan penzahiran. Usaha-usaha ini sangat penting untuk memastikan penyelarasan antara strategi perniagaan dan risiko bank-bank dengan laluan peralihan PKS.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Izinkan saya membuat beberapa kesimpulan untuk ucapan saya.
Pembiayaan PKS merupakan usaha yang berterusan dan amat penting untuk pembangunan dan kemajuan ekonomi. Walaupun pembiayaan bank untuk PKS adalah tinggi berbanding dengan sumbangan mereka kepada KDNK buat masa ini, matlamat kami bukanlah untuk menguar-uarkan kejayaan dalam tempoh masa tertentu. Sebaliknya, matlamat kami adalah untuk memastikan bahawa sistem kewangan yang lebih luas "melangkaui bank dan melangkaui pinjaman tradisional" berfungsi untuk menyesuaikan dan memenuhi keperluan pembiayaan PKS, menerusi intervensi dasar yang berkesan. Bagi merealisasikan matlamat tersebut, kami akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti PKS untuk memahami isu dan cabaran yang dihadapi, serta apabila bersesuaian, untuk menyokong kemajuan dan pembangunan PKS melangkaui pembiayaan. Nadi usaha ini merupakan inovasi, memandangkan keperluan ini akan terus berubah dari semasa ke semasa.
Kami tidak mampu melakukan usaha ini bersendirian. Di mana-mana negara, agenda untuk memajukan PKS memerlukan pendekatan seluruh negara. Dasar Kerajaan dan kewangan memainkan peranan yang amat penting, dan begitu juga dengan ketersediaan bank untuk mengubah pendekatan semasa. PKS sendiri juga perlu terlibat lebih aktif dalam memperkukuh keupayaan kewangan dan perniagaan mereka. BNM kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dalam industri dan Kerajaan. Kami akan meneruskan usaha untuk meningkatkan pembiayaan sektor swasta, serta pada masa yang sama menekankan pertimbangan dasar dan pembaharuan yang diperlukan dalam proses tersebut. Kami turut bergantung pada persatuan dan pakar industri untuk terus memainkan peranan aktif sebagai pusat pengumpulan agregat bagi PKS, membantu meningkatkan kesedaran, mencipta penyelesaian bersama dan menyebarkan maklumat penting.
Akhir kata, saya amat menghargai perhatian anda. Terima kasih.
[1] Sumber: Bank Negara Malaysia
[2] Sumber: Bank Negara Malaysia
[3] Sumber: Bank Negara Malaysia