Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucaptama Gabenor Timbalan Gabenor Jessica Chew
di Sidang Kemuncak Tadbir Urus Iklim Negara 2024
Sasana Kijang | 10 September 2024
Selamat pagi dan salam sejahtera.
Saya amat menghargai peluang yang diberi untuk berucap di majlis yang penting ini. Terima kasih kepada Climate Governance Malaysia (CGM) di atas jemputan ini, dan usahanya untuk mengekalkan tumpuan perhatian di peringkat tertinggi Kerajaan, korporat, dan pihak berkuasa pada respons kita terhadap perubahan iklim. Kita sedar bahawa setiap usaha, walaupun sedikit, adalah bermakna, dan CGM telah menjadi rakan kongsi penting menerusi Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim, atau JC3, untuk menggembleng tindakan iklim secara kolektif.
Risiko yang berkaitan dengan iklim dan alam sekitar telah secara konsisten menguasai lima tempat teratas carta risiko global oleh World Economic Forum sejak tahun 2020. Dalam masa komuniti dan ekonomi kita terus merasai kesan perubahan iklim sebenar dan sering kali buruk, implikasinya yang mendalam terhadap negara, baik untuk jangka pendek mahupun jangka panjang, tidak lagi diragui. Hanya satu persoalan yang tinggal, iaitu bagaimana kita memilih untuk bertindak balas, sambil menyedari bahawa pilihan kita hari ini bertanggungjawab membentuk masa depan masyarakat dan ekonomi kita.
Memandangkan bukti yang sangat jelas bahawa kita amat jauh dari menyelesaikan krisis iklim, persoalan ini perlu dihadapi dengan segera. Dalam penilaian terbaharu mengenai keadaan tindakan iklim yang diterbitkan pada bulan November 2023[1], World Resources Institute menemui bahawa "usaha global untuk mengehadkan pemanasan pada 1.5 darjah Celsius gagal merentas semua penunjuk, dengan kemajuan baru-baru ini dalam setiap penunjuk - kecuali jualan kereta penumpang elektrik - ketinggalan jauh di belakang kadar dan skala yang diperlukan untuk menangani krisis iklim". Kemajuan untuk semua 42 penunjuk yang dinilai, kecuali satu, tidak berada di landasan yang betul. Bukan sahaja kebanyakan penunjuk lari jauh dari landasan, malah beberapa penunjuk yang dikesan oleh institut tersebut langsung songsang arahnya. Hal ini disokong oleh penemuan Laporan[2] World Economic Forum bahawa pelepasan global mesti berkurang sekitar 7% setahun hanya untuk mengekalkan sebarang peluang untuk mengehadkan pemanasan global di bawah 1.5 darjah menjelang akhir abad ini. Kini ianya masih meningkat sebanyak 1.5%.
Bersama dengan banyak negara lain, Malaysia berada di persimpangan penting, di mana realiti krisis iklim sedang bertembung dengan megatrend global ¨C termasuk urbanisasi dan perubahan teknologi ¨C yang mendorong Malaysia ke hadapan pada kadar dan skala yang belum pernah dialami sebelum ini. Jika tiada apa atau hanya sedikit dilakukan, Malaysia akan menjadi sangat mudah terjejas. Pada masa yang sama, terdapat juga prospek sebenar untuk memanfaatkan peluang baharu yang besar yang tidak mungkin sebelum ini, untuk mencapai standard pertumbuhan inklusif dan mampan yang lebih tinggi.
Dalam keadaan sebegini, landskap dasar iklim di Malaysia telah berubah dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Kerajaan dan pembuat dasar membuat langkah penting untuk memberikan kejelasan dan kepastian yang lebih tinggi mengenai agenda dan keutamaan dasar iklim negara. Kemajuan sedemikian adalah kritikal untuk memaklumkan dan menyelaraskan dasar-dasar, strategi perniagaan, dan keputusan pelaburan merentas sektor. Pada masa ini pun, Kerajaan terus memajukan beberapa keutamaan infrastruktur dan dasar utama lain, termasuk Dasar Perubahan Iklim Nasional yang diperbaharui, pelan hala tuju Strategi Pembangunan Pelepasan Rendah Jangka Panjang (Long Term Low Emission Development Strategy, LT-LEDS) dan Sumbangan yang Ditentukan di Peringkat Nasional (Nationally Determined Contribution, NDC), dasar pasaran karbon, dan undang-undang perubahan iklim.
Pelaksanaan peralihan yang adil dan teratur yang diharapkan di bawah dasar-dasar ini akan bergantung sekurang-kurangnya pada tiga faktor. Pertama, keupayaan untuk memenuhi keperluan pembiayaan untuk peralihan. Kedua, keupayaan untuk menggarap interaksi dan sinergi risiko iklim dengan baik untuk mengoptimumkan tindakan iklim dan mengelakkan akibat yang tidak diingini. Ketiga, keupayaan untuk memperkukuh kapasiti individu dan kolektif kita dari segi pengetahuan, kemahiran, dan sumber untuk menyampaikan perubahan transformasi yang diperlukan untuk mengubah hala tuju dunia kini. Keutamaan ini terus menjadi fokus utama Jawatankuasa Bersama mengenai Perubahan Iklim, atau JC3, yang berperanan sebagai platform utama di Malaysia untuk memimpin dan menyokong respons sektor kewangan terhadap perubahan iklim.
Hari ini, lebih daripada 60% institusi kewangan Malaysia telah menetapkan, atau sedang dalam proses menetapkan sasaran iklim. Pertimbangan iklim juga sedang diarusperdanakan dalam sektor kewangan Islam melalui pelaksanaan Rangka Kerja Penilaian Impak Berasaskan Nilai (Value-based Impact Assessment Framework, VBIAF). Saya gembira untuk menyatakan bahawa industri perbankan Islam akan hari ini menerbitkan panduan sektoral VBIAF ketiga yang memperluaskan lagi liputan sektor ekonomi untuk merangkumi pertanian, perlombongan dan kuari, pengangkutan jalan dan aktiviti pengurusan sisa. Ini membina kemajuan dua terbitan terdahulu yang merangkumi tujuh sektor dan aktiviti termasuk minyak sawit, tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga.
Bersama dengan standard pelaporan dan pendedahan yang lebih tinggi berikutan pelaksanaan Taksonomi Perubahan Iklim dan Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy, CCPT) oleh semua institusi kewangan, perkembangan ini dijangka memacu usaha yang lebih besar oleh institusi kewangan untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan dan perlindungan yang sejajar dengan iklim kepada isi rumah dan perniagaan. Ini termasuk pelbagai tawaran produk seperti pinjaman dan bon yang dikaitkan dengan kelestarian, penyelesaian pembiayaan gabungan yang ditawarkan melalui kerjasama dengan institusi multilateral dan institusi kewangan pembangunan, serta liputan perlindungan terhadap banjir dan gangguan perniagaan yang adaptif.
Buktinya boleh dilihat pada lebih daripada 50% pembiayaan baharu oleh bank-bank pada tahun ini dilaporkan disalurkan kepada aktiviti yang menyokong iklim dan peralihan. Walau bagaimanapun, komitmen semasa sektor awam dan kewangan terhadap pembiayaan ESG masih jauh di bawah RM1.3 trilion yang diperlukan untuk menyokong peralihan tenaga ekonomi sahaja.
Untuk terus menggalakkan pembangunan dan pengembangan penyelesaian kewangan yang inovatif, BNM kini sedang berusaha meningkatkan ciri-ciri pembiayaan peralihan karbon rendah dan teknologi hijau untuk PKS, dengan tujuan untuk mengembangkan keupayaan industri untuk membiayai aktiviti peralihan dan menggerakkan lebih banyak sumber dana untuk peralihan. Ini termasuk pelaburan sektor swasta dalam R&D untuk mewujudkan atau menyesuaikan penyelesaian yang inovatif dan boleh dilaksanakan untuk menangani cabaran yang berkaitan dengan iklim Malaysia. Sebagai contoh, apabila sumber tanah semakin kurang, kebolehbuatan teknologi solar vertikal perlu dikaji, terutamanya untuk memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui di kawasan bandar yang padat penduduknya. Dengan sektor pertanian yang penting, Malaysia juga perlu membangunkan amalan pertanian regeneratif yang memberi tumpuan kepada teknik pemuliharaan dan pemulihan yang digunakan untuk sistem makanan dan pertanian yang berkos efektif dan berskala. Teknologi canggih lain termasuk penyelesaian sisa-kepada-kekayaan dan mobiliti hijau.
BNM akan memanfaatkan Sandbox Pengawalseliaannya serta inisiatif baru-baru ini untuk menubuhkan Makmal Inovasi Kewangan Iklim oleh Bank Pembangunan Malaysia untuk menggalakkan penerokaan model pembiayaan inovatif yang menyokong peralihan bersama aplikasi dasar pengawalseliaan dan pengawasan yang sesuai.
Walaupun kita mengharapkan institusi kewangan untuk membuat kemajuan selanjutnya untuk memenuhi jurang pembiayaan, saya ingin memperingatkan sejelas-jelasnya bahawa BNM terus mengharapkan bank, serta penanggung insurans dan pengendali takaful, untuk menguruskan risiko pengecualian dengan teliti. Perjalanan kita untuk mengukuhkan daya tahan iklim tidak boleh bertentangan dengan memelihara akses berterusan kepada pembiayaan dan perlindungan untuk pertumbuhan dan pembangunan perniagaan. Selaras dengan ini, BNM akan terus mengembangkan rangka kerja dan alat pengawasan dan penyeliaanya untuk menggarap dengan lebih baik interaksi dan sinergi risiko yang timbul daripada tindakan mitigasi dan penyesuaian.
Hal ini telah disokong oleh usaha JC3 untuk menangani cabaran yang berkaitan dengan ketersediaan data, kebolehaksesan dan kebolehpercayaan. Untuk tujuan ini, JC3 telah menerbitkan katalog Data Iklim dan terus bekerja rapat dengan bahagian-bahagian kerajaan yang relevan untuk meningkatkan akses kepada titik data kritikal, seperti banjir, dan data pelepasan GHG kenderaan. Kajian BNM mengenai rancangan peralihan institusi kewangan pada akhir tahun ini serta ujian tekanan iklim pertama oleh institusi kewangan pada tahun depan, akan memberikan pandangan berharga lebih lanjut tentang bagaimana tindakan iklim berinteraksi dengan risiko lain untuk mempengaruhi segmen ekonomi dan masyarakat yang berlainan.
Sesungguhnya, keperluan untuk pendekatan inklusif untuk peralihan karbon rendah negara kita perlu dinyatakan dengan jelas. Tidak cukup dengan hanya membuat kewangan peralihan tersedia kepada PKS, malah, institusi kewangan mesti melabur dalam mengukuhkan keupayaan menasihat oleh pasukan sokongan klien mereka untuk memastikan keperluan pembiayaan dan perlindungan semasa perniagaan dapat terus dipenuhi sejajar dengan masa depan yang berdaya tahan iklim. Syarikat korporat besar juga mesti memainkan peranan mereka dalam menyokong dan mempercepatkan peralihan perniagaan kecil dalam rantaian bekalan mereka ke arah amalan lestari. Ini termasuk menyediakan PKS dengan teknologi atau bantuan dalam mendapatkan pensijilan dengan kos yang berpatutan.
Projek perintis Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC) JC3, telah menunjukkan kebolehbuatan inisiatif tersebut. Setakat ini, lebih daripada 400 PKS telah menerima latihan teknikal mengenai pengukuran dan pengurusan pelepasan GHG. Daripada jumlah itu, lebih daripada separuh telah mula mengukur dan melaporkan jejak karbon mereka. Modaliti operasi perintis GVC ini dapat direplikasi dengan mudah pada skala dengan rakan kongsi sedia ada dan baharu. Oleh itu, saya menggesa institusi korporat dan kewangan yang hadir di sini pada hari ini untuk berhubung dengan JC3 dan memanfaatkan program GVC untuk mempercepatkan pengurangan pelepasan dalam rantaian bekalan dan pembiayaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Usaha mencari asas yang sama untuk membawa kita ke masa depan yang lebih lestari sering kali dicabar oleh perbualan yang sukar mengenai keutamaan yang bersaing yang boleh timbul di peringkat firma, sektor atau kebangsaan. Jawapannya mungkin bukan dari segi memikirkan isu-isu ini dari segi trade-off. Sebaliknya, kita perlu menggunakan lensa alam sekitar supaya pelbagai perkara boleh diberikan tumpuan yang lebih jelas dan lebih tajam supaya kita tidak terlepas pandang matlamat yang lebih besar.
Dengan itu, sekian, terima kasih atas perhatian anda pagi ini, dan saya menantikan sesi seterusnya.
[1] World Resources Institute (2023), "State of Climate Action 2023", 14 November 2023
[2] World Economic Forum (2023), "The State of Climate Action: Major Course Correction Needed from 1.5% to -7% Annual Emissions", 8 November 2023