Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucaptama oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid
di Pelancaran Starter Pack Insurance Fund LIAM
Bangunan AICB | 28 Ogos 2024
Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh dan selamat pagi.
Pertama sekali, izinkan saya mengucapkan tahniah kepada Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Life Insurance Association of Malaysia, LIAM) sempena ulang tahunnya yang ke-50 dan terima kasih kerana mengundang saya untuk menyertai majlis ini. Saya amat berbesar hati kerana berpeluang berada di sini pada hari ini untuk majlis pelancaran Starter Pack Insurance Fund LIAM, sebagai sebahagian daripada sambutan jubli emasnya.
Pencapaian dan sumbangan LIAM
Sepanjang 50 tahun penubuhannya, LIAM telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pertumbuhan industri insurans hayat di Malaysia. Sebagai sebuah persatuan perdagangan, LIAM telah menghubungkan kepentingan bersama ahli-ahlinya dan turut memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan perlindungan rakyat Malaysia. LIAM memainkan peranan utama dalam memacu inisiatif kesedaran dan pendidikan kewangan berkenaan dengan insurans hayat untuk menggalakkan daya tahan kewangan yang lebih baik bagi individu dan isi rumah menerusi pelbagai inisiatif, seperti penubuhan laman sesawang myCoverage, kempen-kempen kesedaran #BukanExtra dan #NoFOMO serta kerjasama dengan AKPK dalam Jelajah Bijak Wang. Semasa berlakunya pandemik, tidak dilupakan, LIAM bersama-sama dengan persatuan industri lain memenuhi keperluan pemegang polisi menerusi penubuhan Dana Ujian MyCovid-19 pada peringkat awal krisis kesihatan. Usaha seperti ini oleh LIAM dan pihak berkepentingan lain dalam industri jelas menyumbang kepada kesedaran dan pembelian produk perlindungan insurans.
Pencapaian dan cabaran industri insurans hayat
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya suka cita menyatakan bahawa industri insurans hayat terus menunjukkan prestasi pertumbuhan yang membanggakan. Pada tahun 2023, industri ini mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 11.6% dalam premium perniagaan baharunya, berjumlah RM13.4 bilion berbanding RM12 bilion pada tahun 2022. Pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong oleh prestasi kukuh dalam pembelian produk kumpulan dan produk berkaitan pelaburan. Pertumbuhan ini juga menunjukkan penerimaan produk insurans hayat bukan sahaja sebagai perlindungan tetapi juga untuk tujuan perubatan dan pelaburan. Kadar penembusan insurans hayat Malaysia[1] yang diukur berbanding keluaran dalam negeri kasar (KDNK) juga agak tinggi pada 3.7%, berbanding 2.1% untuk negara-negara Asia yang sedang membangun dan purata global sebanyak 2.8%[2]. Dalam keadaan global semasa yang tidak menentu, ekonomi Malaysia terus berdaya tahan, dengan KDNK diunjurkan berkembang pada paras tinggi julat 4%-5% pada tahun 2024. Kenaikan ketara nilai ringgit berbanding dolar AS yang menjadikannya salah satu mata wang dengan prestasi terbaik di rantau ini, terus menunjukkan kekuatan ekonomi negara kita. Trajektori positif ini dijangka akan berterusan dan momentum ini perlu diperkukuh dengan meneruskan pembaharuan struktur yang akan meningkatkan daya tahan, daya saing dan prospek pertumbuhan jangka panjang negara. Perkembangan ini meletakkan industri insurans dalam kedudukan untuk mengekalkan momentum pertumbuhannya memandangkan prospek pertumbuhan ekonomi yang baik, persekitaran inflasi yang secara relatif stabil dan usaha berterusan untuk meningkatkan tahap pendapatan rakyat Malaysia.
Namun begitu, jurang perlindungan yang ketara masih wujud di Malaysia seperti yang kita dengar sebentar tadi, terutamanya dalam kalangan segmen mudah terjejas. Meskipun Malaysia memiliki kadar penembusan insurans berbanding KDNK yang agak tinggi, kadar ini hanya berlegar di antara 40%-50% apabila diukur berbanding jumlah penduduk. Ini bermakna hanya kira-kira 2 daripada 5 rakyat Malaysia memiliki perlindungan hayat. Di samping itu, ramai rakyat Malaysia masih dianggap tidak memiliki tahap perlindungan yang mencukupi untuk menghadapi kejutan dalam kehidupan, penyakit serius dan kematian[3], Kesan daripada gangguan tidak dijangka yang berpunca daripada pandemik dan bencana berkaitan iklim juga telah meningkatkan lagi keperluan untuk memiliki perlindungan kewangan, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah yang lebih terdedah kepada kejutan luaran. Perkembangan ini, ditambah dengan peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia yang kini berada pada 74.8 tahun dan trajektori bahawa Malaysia akan menuju ke arah status negara tua menjelang tahun 2044, meningkatkan lagi potensi yang belum diterokai dalam industri insurans Malaysia untuk merapatkan jurang perlindungan.
Kami sedar bahawa menggalakkan pengambilan insurans bukanlah satu tugas yang mudah. Pelbagai faktor memainkan peranan dari segi permintaan dan penawaran yang saling berkait. Dari segi permintaan, cabaran-cabaran ini termasuk kesedaran dan pemahaman pengguna yang rendah tentang produk insurans, persepsi bahawa insurans menelan belanja yang tinggi dan tidak perlu, kekurangan capaian bagi mereka yang tinggal di kawasan terpencil atau kurang penduduk, rasa tidak percaya terhadap pengantara insurans dan proses tuntutan, dan juga minda kognitif lumrah yang cenderung ke arah keadaan optimis. Dari segi penawaran, memandangkan syarikat insurans bergantung pada hukum bilangan yang besar (law of large numbers), membangunkan produk yang sesuai dan mampan untuk segmen sasaran menjadi satu cabaran memandangkan kadar pembelian yang rendah. Faktor-faktor struktur seperti tahap pendapatan serta risiko pasaran turut mempengaruhi keupayaan industri insurans untuk menawarkan penyelesaian perlindungan yang sesuai secara berkesan kepada segmen yang berbeza.
Bagi menangani cabaran yang saling berkait ini, pendekatan pelbagai aspek adalah sangat penting. Tumpuan harus diberikan ke arah mempertingkatkan pendidikan kewangan, memudahkan penawaran produk dan memupuk tindakan membina kepercayaan yang berterusan. Penanggung insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITOs) juga perlu menerapkan amalan pengurusan kos yang lebih baik dan memanfaatkan teknologi untuk reka bentuk penyelesaian yang lebih inovatif. Usaha bersepadu oleh setiap pihak berkepentingan dalam sistem merupakan faktor utama untuk meningkatkan kebolehcapaian dan pemahaman pengguna tentang insurans, serta menggalakkan kemampanan jangka panjang industri.
Industri memainkan peranan penting dalam meningkatkan pembelian insurans
Dalam konteks ini, kami menyeru industri insurans untuk mengambil tanggungjawab yang lebih besar untuk mengatasi cabaran-cabaran ini. Sebagai permulaan, kami melihat wujudnya peluang dalam penyediaan produk peringkat permulaan yang mampu dimiliki untuk membina pemahaman dan kesetiaan produk dalam jangka panjang. Kami juga menggalakkan ITOs untuk meneruskan usaha yang telah dilaksanakan setakat ini. Sebagai contoh, program Baucar Perlindungan Tenang (Perlindungan Tenang Voucher, PTV) yang berakhir pada tahun 2022 telah berjaya meningkatkan kesedaran mengenai produk Perlindungan Tenang dengan lebih 780,000 produk Perlindungan Tenang dibeli secara sukarela pada akhir tahun 2023. Jumlah pembelian ini merupakan peningkatan lapan kali berbanding dengan pembelian keseluruhan antara tahun 2017 hingga 2020.
Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyaksikan inovasi dalam penawaran produk dan saluran pengedaran Perlindungan Tenang serta usaha untuk meneroka perkongsian awam-swasta sejak beberapa tahun kebelakangan, masih ada perkara yang boleh diperbaiki. Kami ingin menggalakkan ITOs untuk meneroka inovasi dalam bidang baharu, contohnya penyelesaian kesihatan berbentuk pencegahan dan produk penggantian pendapatan. Selain itu, ITOs juga boleh menerokai segmen sasaran yang pesat berkembang, contohnya pekerja gig, yang merangkumi 17% daripada tenaga kerja semasa, berikutan wujudnya peluang untuk menawarkan perlindungan mampu milik kepada kumpulan ini.
Dengan cara ini, ITOs boleh memanfaatkan fleksibiliti yang diberikan di bawah rangka kerja mikroinsurans dan mikrotakaful Perlindungan Tenang yang membolehkan ITOs memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada segmen sasaran. Inovasi seperti keupayaan untuk menggabungkan atau mempakejkan produk Perlindungan Tenang dengan produk kewangan lain, bekerjasama dengan ejen bukan tradisional seperti penyedia e-dompet untuk mengedarkan produk serta penyediaan perkhidmatan nilai tambah adalah antara fleksibiliti kawal selia di bawah rangka kerja tersebut. Pemahaman daripada kajian dari segi permintaan yang diadakan secara kerjasama diantara BNM dengan industri pada tahun 2022 juga perlu digunakan sepenuhnya untuk mengenal pasti keperluan perlindungan dengan lebih baik dan memahami tingkah laku segmen sasaran untuk menambah baik strategi pembangunan dan pengedaran produk. Kajian dari segi permintaan ini memberikan pemahaman mengenai kebimbangan utama merentas segmen baru muncul di Malaysia, iaitu kemalangan, kebimbangan kesihatan dan kehilangan pendapatan serta saluran pengedaran pilihan mereka. Sebagai contoh, generasi keluarga muda milenium lebih menggemari saluran digital manakala pekerja gig lebih terbuka kepada saluran bukan bank. Pandangan sedemikian berguna kepada ITOs untuk mereka bentuk produk insurans dan takaful mikro dengan lebih baik yang memenuhi keperluan dan sesuai dengan realiti segmen sasaran, terutamanya pasaran berpendapatan rendah di Malaysia.
Dalam bidang dasar ekonomi, terdapat kata-kata hikmah a rising tide lifts all boats (ekonomi yang bertambah baik akan memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat). Pemerhatian yang sama juga boleh digunakan dalam meningkatkan literasi kewangan. Memandangkan proses pendidikan kewangan akan mengambil masa dan boleh memerlukan sumber yang intensif, ITOs perlu meneroka kaedah yang lebih berkesan dari segi kos menerusi perkongsian strategik dan usaha kerjasama. BNM menghargai penyertaan industri dalam Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan serta Karnival Celik Kewangan tahunan BNM, dan kami mengalu-alukan sokongan berterusan daripada industri untuk mempertingkatkan tahap celik kewangan rakyat Malaysia. Industri juga harus memanfaatkan daya tarikan media sosial untuk menjangkau kumpulan pengguna yang lebih luas. Pada masa kini, maklumat boleh didapati semudah dengan satu klik sahaja. Maka, pembangunan portal pendidikan sehenti yang boleh dipercayai dan menarik untuk pengguna mendapatkan maklumat mengenai produk perlindungan merupakan satu keperluan. BNM berharap agar ketiga-tiga persatuan industri dapat meningkatkan daya tarikan dan fungsi portal myCoverage yang sedia ada untuk membantu pengguna mencari dan mengenal pasti produk perlindungan yang paling sesuai untuk keperluan mereka.
Menggalakkan inovasi dan melindungi kepentingan pengguna
Bagi pihak BNM, kami kekal komited untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi inovasi dalam menyokong model perniagaan dan penyelesaian baharu ke arah mencapai sektor kewangan yang inklusif. Pada tahun 2023, BNM telah menjalankan semakan menyeluruh terhadap pendekatan pengawalseliaan untuk meneroka bidang yang boleh diberikan panduan dan penjelasan lanjut untuk memudahkan inovasi yang bertanggungjawab. Lebih 60 dasar yang mungkin menimbulkan pergeseran telah dikenal pasti dan semakan sebahagian besar peraturan ini sedang dijalankan, dengan sesetengahnya sudah dilaksanakan.
Untuk mengimbangi manfaat dan risiko dengan lebih baik, pendekatan BNM adalah berpandukan tiga prinsip menyeluruh untuk mengawal selia inovasi. Pertama, kesetaraan (parity) - melaksanakan jenis pengawalseliaan yang sama terhadap jenis risiko yang sama tanpa mengira peserta sedia ada atau baharu; kedua, perkadaran (proportionality) - melaksanakan pengawalseliaan yang berkadar dengan manfaat dan risiko; dan ketiga, berkecuali (neutrality) - mengutamakan hasil yang diingini dan pada masa yang sama, kekal neutral terhadap teknologi, sistem dan pendekatan yang berbeza. Pada awal tahun ini, BNM telah mempertingkatkan Rangka Kerja Sandbox Pengawalseliaan Teknologi Kewangan berpandukan prinsip-prinsip ini, yang memperkenalkan antara lain, penilaian kelayakan yang dipermudah untuk permohonan Sandbox serta Lorong Hijau (Green Lane) untuk membolehkan institusi kewangan yang mempunyai keupayaan pengurusan risiko yang kukuh untuk menguji penyelesaian kewangan inovatif dengan cara yang lebih mudah dan lebih cepat. Perkembangan ini bertujuan untuk mempercepat ujian tempoh sedia (time-to-live) untuk digunakan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pasaran dan pada masa yang sama, mewujudkan persekitaran yang kondusif dengan memupuk inovasi yang bertanggungjawab serta model perniagaan baharu diberikan peluang untuk berkembang dan risiko berkaitan diuruskan dengan berkesan.
Selain itu, penerbitan Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan bagi Penanggung Insurans Digital dan Pengendali Takaful (Digital Insurers and Takaful Operators, DITOs) dijangka menyokong lagi usaha ini dengan mengorak langkah untuk DITOs baharu memasuki pasaran. Perkara ini dijangka menawarkan cadangan nilai yang kukuh dan bermakna, selaras dengan hasil dasar untuk meningkatkan rangkuman, persaingan dan kecekapan. Khususnya, BNM membayangkan DITOs dapat mencabar status quo dalam pasaran dengan mencerminkan kecekapan yang lebih dipertingkatkan di samping membantu menangani jurang perlindungan dengan ketara.
Berikutan perkembangan ini, memelihara kepercayaan kekal sebagai asas industri insurans. Dalam hal ini, BNM juga telah meningkatkan standard berhubung dengan Profesionalisme Ejen Insurans dan memperkenalkan penambahbaikan kepada keperluan Ketelusan dan Penzahiran Produk bagi memudahkan pengguna mengakses maklumat penting sesuatu produk untuk membuat keputusan yang baik. Syarikat insurans perlu melaksanakan amalan perniagaan yang baik, memastikan profesionalisme dalam kalangan pengantaranya dan yang paling mustahak, mengutamakan kepentingan pengguna. Amalan jualan yang tidak sihat dan pengenaan kos yang tidak perlu mudah menghakis keyakinan pengguna. Oleh itu, memupuk budaya etika yang kukuh perlu menjadi asas kepada operasi setiap syarikat insurans.
LIAM untuk terus membuat pembaharuan untuk kekal relevan dan berkesan
Pada masa hadapan, syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga menggalas tanggungjawab yang besar dalam menggalakkan daya tahan kewangan jangka panjang isi rumah di Malaysia. Pelancaran Starter Pack Insurance Fund oleh LIAM sangat dipuji dan mencerminkan langkah yang tepat ke arah matlamat ini. Bantuan kewangan yang diberikan kepada pengguna bukan sahaja cara yang sesuai untuk menyambut lima dekad kewujudannya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, tetapi juga selaras dengan agenda mengarusperdanakan pengantaraan berasaskan nilai. Bagi pengguna, saya berharap agar bantuan kewangan tidak akan dilihat sebagai hanya satu lagi bantuan, sebaliknya sebagai langkah bagi pengguna untuk memulakan usaha ke arah meningkatkan daya tahan kewangan.
Saya ingin menggalakkan kemajuan berterusan bagi penyelesaian insurans tempatan yang disesuaikan secara khusus untuk keperluan pengguna Malaysia. Syarikat insurans perlu menaja jamin (underwrite) polisi yang menyokong permintaan tempatan serta menangani risiko yang unik kepada persekitaran domestik yang boleh mengurangkan keperluan untuk mendapatkan produk insurans di luar negara. Perkara ini memberikan sokongan terhadap ringgit dengan mengurangkan permintaan untuk mata wang asing. Selain itu, industri perlu mengutamakan pelaburan dalam aset tempatan dalam portfolio mereka untuk menyokong pelaburan domestik. Melalui usaha berfokus ini, kita boleh mengukuhkan lagi daya tahan mata wang negara dan memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Memandangkan jangkaan terhadap LIAM akan terus berkembang seiring dengan evolusi industri, saya yakin bahawa LIAM akan terus membuat penyesuaian dan berinovasi untuk kekal relevan. Oleh itu, saya menggesa industri supaya meneruskan usaha untuk merapatkan jurang perlindungan negara. Bagi pihak BNM, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada LIAM atas peranan kepimpinan yang dimainkan serta sokongannya dalam usaha bersama untuk membentuk sektor insurans yang lebih inklusif, berdaya saing dan cekap.
Kesimpulan
Memandangkan kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-67 dalam beberapa hari lagi, saya ingin mengakhiri ucapan ini dengan peringatan yang dipetik daripada kata-kata Bapa Kemerdekaan kita, iaitu Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj:
"If we pull together and work together with the maximum of goodwill and harmony, there is no limit to what our people can achieve in the years to come."
Dengan semangat ini dan ucapan Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Starter Pack Insurance Fund LIAM.
Terima kasih.
[1] Premium insurans dibahagi dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar
[2] Sumber: Malaysian Insurance Highlights 2024 oleh Malaysian Reinsurance Berhad
[3] Menurut data dari Ernst & Young, berikutan sumber yang diperlukan untuk meneruskan gaya hidup semasa (sebelum bencana) melebihi sumber yang tersedia sekiranya berlaku bencana. Sumber: Malaysian Insurance Highlights 2024 oleh Malaysian Reinsurance Berhad