Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Alu-aluan Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid
di Persidangan Meja Bulat IsDB ¨C IFMC 2024
27 Mei 2024 | Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
Saya amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada Perbincangan Meja Bulat antara Islamic Development Bank (IsDB) dengan Islamic Financial Markets Subcommittee (IFMC) Malaysia. Perhimpunan ini menyediakan platform yang sangat baik untuk kita meneruskan perbincangan bagi memanfaatkan sinergi kita untuk memberikan impak yang lebih besar kepada ummah.
Lima dekad kerjasama, dengan kewangan Islam sebagai pemacu untuk impak yang lebih besar
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kerjasama kita telah terjalin sekian lama. Malaysia merupakan salah satu anggota pengasas IsDB ketika ditubuhkan pada tahun 1975. Penubuhan Pejabat Serantau IsDB di Kuala Lumpur pada tahun 1994, yang kemudiannya menjadi Pusat Kecemerlangan pada tahun 2021, telah berfungsi sebagai saluran untuk menggalakkan pertukaran kepakaran, teknologi dan pelaburan. Lima dekad kerjasama yang tidak ternilai ini telah menghasilkan manfaat bersama lantas membuka ruang untuk kerjasama yang berterusan.
Kewangan Islam telah menjadi pemangkin untuk kerjasama ini dengan berlatarkan pertumbuhan pesat kewangan Islam global. Industri ini telah berkembang lebih dua kali berbanding sedekad lalu, dengan aset kewangan Islam global dijangka mencecah USD6.7 trilion pada tahun 2027[1]. Di tengah-tengah pembangunan ini ialah pasaran kewangan Islam, yang memainkan peranan penting sebagai pengantara dana, menyalurkan mudah tunai dengan berkesan antara lebihan dengan defisit industri serta menjadi pengantara bagi pelbagai institusi kewangan, pasaran yang berbeza dan sempadan. Salah satu perkembangan kukuh yang paling nyata ialah peningkatan sukuk global terkumpul sebanyak tiga kali dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu. Perkembangan ini merupakan bukti keupayaan pasaran kewangan Islam mengantara pembiayaan jangka panjang untuk sektor kerajaan dan korporat.
Kewangan Islam ¨C Kisah kejayaan bersama
Kewangan Islam merupakan kisah kejayaan bersama kita. Malaysia adalah penyumbang kepada pasaran sukuk terbesar di dunia iaitu mencakupi 40% daripada jumlah sukuk global terkumpul[2]. Instrumen pasaran wang Islam mengekalkan bahagian yang besar serta telah berkembang dengan stabil dan seiring untuk menyokong pertumbuhan sektor perbankan Islam, yang kini merangkumi 46% daripada jumlah pembiayaan[3]. Kami juga bersyukur atas pertumbuhan ketara Pasaran Modal Islam (Islamic Capital Market, ICM) negara, yang juga kekal sebagai komponen penting pasaran modal Malaysia, menyumbang 63% kepada jumlah saiznya[4].
IsDB pula merupakan tanda kemajuan, mewakili komitmen untuk memupuk pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial di 57 negara anggotanya dan umat Islam di seluruh dunia. Sebagai penerbit sukuk berkualiti tinggi yang utama dengan asas pelabur yang luas, IsDB menggunakan hasil sukuknya untuk membiayai program-program yang membantu membentuk masa hadapan perbankan Islam lantas memberikan manfaat kepada pelbagai projek pembangunan dan mempelbagaikan pasaran. Di Malaysia, IsDB telah mencapai kemajuan yang besar serta meninggalkan jejak yang positif dan berkekalan. Malah, Bank Negara Malaysia (BNM) telah lama menjadi pelabur dalam terbitan sukuk awam IsDB dan kekal sebagai pelabur utama pada hari ini.
Satu kisah kejayaan khusus ialah International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM), iaitu BNM dan IsDB memainkan peranan asas yang utama semasa penubuhannya bersama beberapa bank pusat lain. IILM memudahkan pengurusan mudah tunai rentas sempadan dalam kalangan institusi kewangan global melalui terbitan sukuk USD jangka pendek yang berkualiti tinggi. Hari ini, IILM berjaya membina rekod prestasi dan telah menerbitkan secara kumulatif lebih USD100 bilion sukuk USD[5] jangka pendek yang boleh didagangkan. IILM kini mengkaji fasa pembangunan seterusnya, iaitu mengembangkan operasi bagi memenuhi permintaan terhadap kertas jangka pendek dalam pasaran kewangan Islam yang kian meningkat.
Tiga pendorong yang sangat penting untuk merungkai potensi sinergi Malaysia-IsDB dalam kewangan Islam
Berikutan kisah kejayaan yang dikongsi, Malaysia mengalu-alukan usaha untuk terus merangsang potensi kerjasama dalam kewangan Islam. Saya ingin mencadangkan tiga pendorong yang sangat penting untuk hal ini:
Pertama, penjajaran strategik yang didorong oleh matlamat untuk memajukan ummah. Mengenal pasti keutamaan bersama untuk IsDB dan Malaysia akan membolehkan sumber disalurkan dan usaha ditumpukan dengan lebih berkesan. Perjanjian Induk Murabahah yang dimeterai hari ini menandakan satu lagi pencapaian dalam memenuhi matlamat ini, berlandaskan Memorandum Persefahaman pada tahun 2021 antara Kerajaan Malaysia dengan IsDB untuk memupuk kerjasama dalam kewangan Islam dan bidang berkaitan. Langkah ini penting bagi pemahaman yang lebih mendalam tentang pilihan pelaburan dan kesanggupan masing-masing untuk mengambil risiko lantas membuka ruang untuk jalinan pelaburan yang saling memberikan manfaat.
Satu lagi keutamaan bersama ialah tumpuan masing-masing pada agenda kewangan hijau dan kelestarian. Strategic Realignment 2023-2025 IsDB, khususnya mengenai ¡±Driving Green Economic Growth¡±, adalah sejajar dengan Rangka Kerja Pengantaraan Berasaskan Nilai negara dan dikukuhkan lagi oleh pelan induk ekonomi nasional, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR). Kami juga mengalu-alukan penglibatan yang lebih besar daripada bank-bank pembangunan multilateral seperti penyertaan IsDB dalam usaha menyediakan pembiayaan dan kepakaran yang sangat penting dalam bidang pembangunan mampan di Malaysia, khususnya dalam kewangan hijau dan kelestarian.
Kedua, inovasi dan akses pasaran yang kondusif sebagai teras kerjasama. Melalui projek rintis berinovatif seperti program pembiayaan campuran yang disesuaikan untuk peserta pasaran halal, kerjasama kita dapat lebih memanfaatkan peluang global yang muncul dan keperluan pasaran yang berubah-ubah. Potensi jalinan kerjasama mampu membuka peluang kepada perniagaan halal rentas sempadan yang berdaya saing dalam pasaran OIC. Pada masa yang sama, langkah ini menyediakan peluang untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan kepada bank-bank Islam di pelbagai negara, disokong oleh pelbagai kontrak Syariah sedia ada bagi memenuhi keperluan pembiayaan yang khusus. Peluang sememangnya terbuka luas.
Sama penting, akses kepada pasaran yang kondusif juga harus diusahakan untuk membolehkan aliran pelaburan dan integrasi ekonomi yang lebih baik. Hal ini boleh berlaku dengan menangani halangan rentas sempadan dan penyelarasan amalan secara proaktif, yang bertujuan untuk memacu pembangunan lestari di Malaysia dan dunia Islam yang lebih luas.
Ketiga, pembinaan keupayaan bagi memperkukuh bakat dalam kewangan Islam untuk persediaan masa hadapan. Pelaburan dalam pembangunan modal insan merupakan strategi penting untuk menggalakkan pertumbuhan jangka panjang dalam kewangan Islam. Di Malaysia, kita mempunyai ekosistem pembinaan keupayaan yang kukuh seperti program kelayakan dan pensijilan profesional, antaranya Chartered Professional in Islamic Finance (CPIF), Certified Shariah Advisor (CSA) dan Certified Shariah Practitioner (CSP). Malah untuk pasaran kewangan, sebahagian daripada modul untuk Pensijilan Pasaran Kewangan, yang pada asasnya merupakan lesen untuk menjadi peniaga pasaran wang, turut merangkumi modul pasaran wang Islam. Meskipun beberapa kelayakan ini bertujuan memenuhi keperluan sistem kewangan Malaysia, banyak daripadanya adalah relevan secara universal. Malaysia berharap untuk memainkan peranan menyokong pertumbuhan bakat yang berterusan dalam sektor kewangan Islam global.
Perbincangan meja bulat hari ini sangat tepat pada masanya. Bagi kami, Islamic Financial Market Sub-Committee (IFMC) yang ditubuhkan pada tahun 2022 adalah bertujuan untuk menangani cabaran pasaran dan mendorong penyelesaian bagi memperdalam pasaran kewangan Islam domestik. Salah satu pencapaian cemerlang IFMC adalah dalam bidang derivatif Islam, yang telah menghasilkan keputusan Majlis Penasihat Shariah yang inovatif mengenai keharusan lindung nilai jangkaan. Berdasarkan kemajuan ini, IFMC juga telah diamanahkan untuk mengkaji strategi bagi meningkatkan lagi penyertaan pelabur asing dalam pasaran domestik dan mengaktifkan pasaran untuk instrumen berkaitan kelestarian. Saya berharap sesi hari ini akan terus menghasilkan lebih banyak idea yang juga merangkumi pasaran antarabangsa dan rentas sempadan berlandaskan strategi ini.
Izinkan saya berkongsi pandangan yang mengambil inspirasi daripada pengalaman Malaysia, bolehkah kewangan Islam global mendapat manfaat daripada pembentukan Jawatankuasa Pasaran Kewangan Islam ¡°Global¡±? Sama seperti gabungan bank pusat dan sektor swasta dalam Global Foreign Exchange Committee (GFXC) yang ditubuhkan pada tahun 2017 untuk pasaran FX global, forum sedemikian akan meluaskan usaha berbilang negara dengan wawasan strategik untuk memacu pasaran kewangan Islam global, mengembangkan semua bidang pengantaraan kita dan menggalakkan pengurusan mudah tunai rentas sempadan yang berdaya tahan.
Kesimpulan
Dalam memanfaatkan kerjasama kita, marilah kita berpandukan pada kebijaksanaan ayat Al-Quran yang berikut:
¡°Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.¡± [Al-Maidah: ayat 2].
Semoga dialog ini menghasilkan momentum untuk kerjasama yang berterusan antara kita. Bersama-sama, kita boleh mencapai kejayaan yang lebih besar dalam kewangan Islam. Dengan ini, saya merasmikan Perbincangan Meja Bulat antara Islamic Development Bank dengan Islamic Financial Markets Subcommittee. Saya berharap wacana ini akan memberikan manfaat kepada semua.
Terima kasih.
[1] Sumber: ICD-LSEG Islamic Finance Development Report 2023.
[2] IIFM Sukuk Report 2023
[3] Bank Negara Malaysia
[4] Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; Statistics for Islamic Capital Market in Malaysia
[5] Sumber: Laman sesawang IILM