Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Alu-aluan Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid
di Islamic Financial Stability Forum yang Ke-22
27 Mei 2024 | Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
Saya dengan rasa besar hati ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Islamic Financial Stability Forum yang ke-22, yang diadakan bersempena dengan Global Forum on Islamic Economic and Finance (GFIEF). Saya berharap perbincangan yang berlangsung di GFIEF sepanjang minggu ini dapat menjadi platform yang berorientasikan tindakan bagi membina kerjasama yang lebih erat ke arah membentuk masa hadapan yang lebih baik. Masa hadapan yang mengangkat lagi peranan ekonomi dan kewangan Islam dalam usaha mempromosikan pertumbuhan yang inklusif, daya tahan dan kemakmuran bersama.
Tema forum hari ini, "Daya Tahan dan Kestabilan Industri Perkhidmatan Kewangan Islam dalam Persekitaran Risiko yang Semakin Berkembang," adalah sangat penting untuk membimbing perjalanan kita ke hadapan dalam keadaan landskap operasi yang berubah-ubah.
Landskap risiko global semasa mewujudkan cabaran dan peluang kepada kewangan Islam
Dunia kewangan sentiasa semakin kompleks. Paradigma risiko tradisional semakin jelas dicabar oleh pelbagai faktor, seperti ketegangan geopolitik, inflasi yang tinggi, perdagangan global yang menjadi sederhana, gangguan teknologi serta perubahan iklim. Berlatarkan keadaan ini, kita menyaksikan sektor kewangan berhadapan jangkaan yang semakin meningkat untuk bukan sahaja mengekalkan daya tahannya malah perlu mengambil peranan yang lebih besar dalam menyokong transformasi ekonomi yang mampan. Jangkaan ini berpunca daripada keperluan mendesak untuk memacu perubahan pada skala dan kepantasan yang diperlukan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG). UN Conference on Trade and Development serta Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) menganggarkan bahawa jurang pembiayaan yang besar sebanyak kira-kira USD4.3 trilion dalam pelaburan tahunan global yang diperlukan untuk mencapai kemajuan yang ketara dalam SDG. Walaupun mungkin kelihatan mengejutkan, angka ini bersamaan dengan hanya sekitar 1% daripada aset kewangan keseluruhan berjumlah USD379 trilion yang dipegang oleh institusi perbankan, pelabur institusi dan pengurus aset.
Sektor kewangan moden berada di persimpangan cabaran dan peluang yang belum pernah terjadi sebelum ini. Berlatarkan keadaan ini, institusi kewangan bukan sahaja perlu menjangkakan risiko baru muncul malah perlu membuat penyesuaian segera untuk menguruskan risiko tersebut. Pada masa yang sama, terdapat juga jangkaan untuk meningkatkan lagi tahap keteguhan industri kewangan bagi terus memenuhi keperluan masyarakat dan ekonomi.
Memanfaatkan trend yang muncul untuk penyelesaian yang lebih inovatif dan berimpak
Dalam kewangan Islam, transaksi kewangan dijalankan berpaksikan prinsip teras Syariah, yang bermatlamatkan ihsan, atau pencapaian kecemerlangan, dengan mengekalkan standard tertinggi dalam semua aspek perniagaan. Usaha ini termasuk menjalankan operasi secara adil dan telus, mengekalkan tadbir urus Syariah yang mantap serta merangkumkan amalan yang saksama seperti perkongsian risiko. Menggabungkan nilai 'pengagihan kekayaan yang inklusif dan cekap' sebagai objektif utama perniagaan dapat mendorong institusi kewangan Islam untuk aktif menyesuaikan semula usaha mereka, memupuk pengagihan sumber kewangan yang lebih saksama untuk usaha yang produktif dan mampan.
Ruang berinovasi dalam kewangan Islam begitu luas, dan saya percaya ramai di sini yang bersetuju bahawa kewangan Islam masih belum dimanfaatkan sepenuhnya sebagai alat transformasi untuk menangani keperluan kewangan global. Cabaran yang dihadapi boleh menjadi pemangkin bagi institusi kewangan Islam untuk menyediakan penyelesaian alternatif kepada instrumen berasaskan hutang. Dengan kepelbagaian kontrak dan instrumen Syariah yang kita ada, penyelesaian yang disesuaikan dapat dihasilkan untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat dan projek berkaitan alam semula jadi. Kewangan Islam menawarkan keupayaan unik untuk "pembiayaan campuran", yang menggabungkan pelbagai bentuk modal seperti modal dermawan dan modal risiko, lantas dapat memperluaskan fungsi perantaraan kewangan melangkaui penyediaan kredit dan pemindahan risiko. Di samping itu, struktur wakaf juga boleh dimanfaatkan untuk membiayai projek sosial berskala besar, yang memaparkan potensi pembiayaan berimpak dalam kewangan Islam.
Kemajuan teknologi merupakan satu lagi dimensi yang dapat merungkai ciri-ciri unik kewangan Islam, sekali gus mencipta saranan nilai yang unik kepada pengguna solusi kewangan. Teknologi blok rantai dapat dimanfaatkan terutamanya dalam meningkatkan ketelusan dan keselamatan dalam transaksi kewangan, penggunaan ¡¯kontrak pintar¡¯ (smart contracts) boleh mengautomatikkan dokumen perjanjian bagi transaksi patuh Syariah supaya pematuhan kepada prinsip Islam dapat dilakukan sambil mengurangkan kos transaksi dan masa penyelesaian.
Perkembangan ini memerlukan pengawal selia, dengan sokongan IFSB, untuk mengamalkan pendekatan yang tangkas dan berfikiran jauh (forward-thinking) bagi memastikan rangka kerja pengawalseliaan sedia ada mencapai keseimbangan antara menguruskan kemungkinan risiko dengan memudahkan inisiatif pembangunan.
Kepentingan ekosistem yang mantap untuk menghadapi cabaran dan memajukan inovasi
Tuan-tuan dan puan-puan,
Berdasarkan pengalaman Malaysia, kami menyedari betapa pentingnya mewujudkan ekosistem yang mantap bagi menyokong perniagaan dan operasi kewangan Islam. Hal ini termasuk membangunkan rangka kerja undang-undang dan pengawalseliaan yang komprehensif berserta pembangunan instrumen pasaran dan infrastruktur yang berkaitan bagi memastikan sektor kewangan Islam dapat berfungsi dengan baik dalam pasaran yang dinamik.
Amalan piawaian berhemat yang diiktiraf secara global, seperti piawaian yang dikeluarkan oleh Islamic Financial Services Board (IFSB), dapat mempertingkatkan keyakinan pelabur dan memastikan sistem kewangan Islam bersedia menghadapi masa hadapan dengan memupuk amalan pengurusan risiko yang berkesan dalam kalangan institusi kewangan Islam. Malaysia telah mengamalkan sepenuhnya piawaian IFSB dan komited untuk memastikan pelaksanaannya melalui libat urus yang aktif dengan IFSB serta perkongsian kepakaran kami dalam kewangan Islam supaya keupayaan pengawalseliaan negara-negara lain dapat dipertingkatkan. Dengan terus mengukuhkan peraturan berhemat kami, baru-baru ini kami telah memuktamadkan dasar mengenai keperluan modal yang berkaitan dengan risiko operasi dan dedahan kepada rakan niaga pusat, dan kami sedang memuktamadkan keperluan modal untuk risiko kredit. Langkah-langkah modal dan mudah tunai ini, yang merupakan sebahagian daripada pakej pembaharuan Basel III, bertujuan untuk mengukuhkan sistem kewangan terhadap kejutan yang tidak dijangka dengan mewujudkan penampan semasa tempoh kestabilan. Kami juga sedang mengadakan libat urus dengan peserta industri untuk mendapatkan maklum balas mengenai rangka kerja modal berasaskan risiko untuk takaful (risk-based capital framework for takaful, RBCT) yang baharu bagi memastikan keberkesanannya dalam menangani risiko sedia ada dan risiko baharu dalam landskap kewangan.
Walau bagaimanapun, tinjauan kewangan Islam perlu melangkaui piawaian yang sedia ada. Piawaian berhemat dan rangka kerja pengawalseliaan perlu dipastikan cukup pragmatik untuk menyokong fungsi perantaraan yang melangkaui penyediaan kredit. Hal ini membolehkan institusi kewangan Islam memanfaatkan pelbagai kontrak Syariah secara berkesan dalam persekitaran pengawalseliaan yang kondusif. Sejajar dengan hal ini, kami sedang mengkaji semula Piawaian Kontrak Syariah untuk memperkemas rangka kerja pengawalseliaan dan merangsang inovasi industri.
Usaha kami tertumpu bukan sahaja pada kejelasan pengawalseliaan malah pada melengkapkan sistem kewangan Islam dan pasaran dengan pelbagai instrumen pasaran dan infrastruktur yang komprehensif. Dalam usaha mencapai matlamat ini, baru-baru ini kami menerbitkan Draf Dedahan (Exposure Draft, ED) mengenai Pembiayaan Islam Bercagar, yang bertujuan untuk meningkatkan ketelusan bagi peserta pasaran dan memperhalus aktiviti repo Islam. Selain itu, Majlis Penasihat Shariah (MPS) telah mengeluarkan keputusan mengenai lindung nilai jangkaan (anticipatory hedging) yang diharuskan, yang memperkasakan bank-bank Islam untuk terlibat secara dinamik dalam Islamic Profit Rate Swap (IPRS) dan Islamic Cross Currency Swaps (ICCS) tanpa dedahan dasar sebelum ini, meskipun tertakluk pada syarat-syarat yang ditetapkan. Kami juga menyaksikan penerbitan perdana repo Islam melalui FAST, atau Fully Automated System for Issuing/Tendering Bank Negara Malaysia pada bulan November tahun lalu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kewangan Islam telah membuktikan daya tahannya dan mengekalkan prestasinya walaupun pelbagai cabaran yang dihadapi. Pada tahun 2022, aset kewangan Islam global dianggarkan sebanyak USD4.5 trilion, mencerminkan pertumbuhan ketara industri, dengan kira-kira 60 negara kini mempunyai peraturan kewangan Islam. Sebagai pemimpin sektor kewangan Islam, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memaparkan impak industri dan menegakkan nilai-nilai intrinsik Syariah, yang menggalakkan pengagihan kekayaan yang saksama dan amalan ihsan atau berbuat baik dengan cara yang terbaik. Hal ini selaras dengan aspirasi ayat 77 Surah
Al-Qasas, Allah s.w.t berfirman, ¡°Carilah kebahagiaan akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan kebahagiaanmu di dunia. Berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.¡± Amat penting untuk kita semua, sama ada sebagai pengawal selia, peserta industri atau pengguna penyelesaian kewangan, untuk menghayati prinsip-prinsip ini dan memimpin melalui tauladan.
Akhir kata, saya berharap agar wacana pada hari ini akan memberikan manfaat kepada anda semua. Kepada para delegasi antarabangsa, saya berharap anda dapat menikmati keberadaan anda di Kuala Lumpur.
Terima kasih.
Bank Negara Malaysia
27 Mei 2024