Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Alu-Aluan oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid
di Perbincangan Meja Bulat IFMC-MLC Mengenai Sukuk Hijau 2024
Sasana Kijang, Kuala Lumpur | 19 Ogos 2024
Tetamu kehormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pertama sekali, terima kasih kerana sudi hadir dan saya dengan berbesar hati mengalu-alukan kehadiran anda semua ke Perbincangan Meja Bulat IFMC-MLC. Perbincangan ini menghimpunkan peneraju industri, penerbit, pelabur dan pengawal selia sebagai sebahagian daripada usaha bersama kita ke arah sistem kewangan yang lebih lestari.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dalam keadaan ketidaktentuan global, ekonomi Malaysia terus kekal berdaya tahan dan berada pada landasan untuk pertumbuhan yang berterusan dan lebih kukuh dengan KDNK dijangka meningkat sekitar paras tinggi julat 4% hingga 5% pada tahun 2024. Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan dalam negeri dan pelaburan yang kukuh daripada sektor awam dan swasta serta disokong oleh inisiatif-inisiatif utama seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas.
Daya tahan ekonomi negara ini telah mendorong penambahan nilai ringgit yang kukuh berbanding dengan dolar AS sejak bulan Julai, lantas menjadi salah satu mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini. Jangkaan yang semakin meningkat serta kejelasan berhubung dengan halatuju kadar faedah di ekonomi-ekonomi maju pastinya membantu pencapaian ini tetapi yang lebih utama ialah sentimen pasaran kewangan yang bertambah baik dan keyakinan pelabur juga semakin meningkat terhadap pasaran dan ekonomi Malaysia.
Kita harus menggunakan momentum ini sebagai asas dengan memanfaatkan peluang ini bagi meneruskan usaha ke arah reformasi struktur. Reformasi ini bukan sahaja akan memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara tetapi turut terus memberikan sokongan kepada ringgit dan pasaran kewangan. Usaha berterusan ke arah reformasi struktur adalah sangat penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur serta merealisasikan prospek pertumbuhan ekonomi jangka panjang negara.
Hadirin yang dihormati,
Memajukan ekonomi lestari merupakan salah satu tema utama dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Agenda kelestarian ini bertujuan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pada masa yang sama melindungi alam sekitar dan mendukung komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran global. Selaras dengan aspirasi ini, kita berada di sini pada hari ini untuk terus menyelaraskan usaha-usaha kita dengan matlamat negara yang lebih luas untuk memajukan kelestarian. Dalam konteks perbincangan meja bulat ini, sukuk hijau boleh terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi mampan pada masa hadapan menerusi pelbagai inisiatif Kerajaan terutamanya Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) yang dianggarkan memerlukan pembiayaan hingga RM1.85 trilion menjelang tahun 2050.
Peranan Malaysia sebagai perintis dalam kewangan Islam bukan sahaja telah menggalakkan pertumbuhan kewangan Islam dalam negeri tetapi turut menjadikan Malaysia sebagai hab global bagi kewangan patuh Syariah, sekali gus menarik penyertaan pelabur dari seluruh dunia. Pengembangan daripada kewangan Islam tradisional kepada terbitan sukuk hijau merupakan evolusi semula jadi kepimpinan Malaysia dalam bidang ini. Dengan memanfaatkan pengalamannya yang luas serta infrastruktur yang kukuh, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui pasaran sukuk hijau global.
Dalam hal ini, Malaysia terus menjadi pusat inovasi dengan pelbagai inisiatif pelopor, termasuk terbitan sukuk hijau. Malaysia merupakan penerbit sukuk hijau pertama dengan Tadau Energy Sdn Bhd yang diterbitkan pada bulan Julai 2017. Sehingga kini, sebahagian besar terbitan sukuk hijau berasal daripada Malaysia. Setakat bulan Julai 2024, daripada 291 sukuk hijau yang diterbitkan di seluruh dunia, sebanyak 262 terbitan adalah dari Malaysia. Hasilnya, bank-bank pelaburan Malaysia dipandang tinggi kerana peranan mereka sebagai penasihat dalam terbitan sukuk hijau. Selain itu, Malaysia turut meneruskan kepimpinannya di rantau ini dalam sukuk SRI dengan terbitan sebanyak 14 sukuk SRI yang berjumlah RM1.5 bilion sejak awal tahun sehingga kini. Manakala sejak pelancaran Rangka Kerja Sukuk SRI[1] oleh Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commission Malaysia, SC), jumlah terkumpul terbitan SRI telah menghampiri RM27.3 bilion[2]. Malaysia juga telah memberikan sumbangan yang penting iaitu mencakupi 25% daripada jumlah terbitan bon dan sukuk Hijau, Sosial dan Kemampanan ASEAN (ASEAN Green, Social and Sustainability) yang berjumlah USD49.1 bilion[3].
Hal ini merupakan asas yang penting. Ekosistem pada masa ini sudah berada pada kedudukan yang baik untuk memudahcarakan lagi terbitan sukuk hijau di Malaysia. SC telah membangunkan rangka kerja dan insentif yang mantap bagi menyokong terbitan-terbitan ini serta pembangunannya. Di samping itu, Dasar Pertukaran Asing (Foreign Exchange Policy, FEP) Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memudahkan terbitan sukuk di Malaysia oleh pemastautin. Bagi terbitan oleh bukan pemastautin pula, BNM sedang mengkaji inisiatif untuk menawarkan fleksibiliti FEP bagi menyokong terbitan sukuk dalam denominasi ringgit untuk kegunaan di Malaysia, termasuk menyediakan pembiayaan ringgit kepada entiti pemastautin bagi merangsang lagi projek pembangunan di negara ini.
Sementara itu, prospek permintaan untuk pelaburan berfokuskan ESG kekal kukuh. Setakat awal tahun 2024, aset global di bawah pengurusan berkaitan pelaburan mampan telah melebihi USD30 trilion dan diunjurkan mencecah USD40 trilion menjelang tahun 2030[4]. Hal ini mencerminkan peningkatan ketara serta minat yang kian meningkat dalam pelaburan berfokuskan ESG. Dengan aset pelaburan mampan yang berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (compound annual growth rate, CAGR) kira-kira 15 hingga 20% sepanjang dekad lalu, rantau Asia-Pasifik, meskipun masih membangun jika dibandingkan dengan AS dan Eropah, sedang mengalami pertumbuhan pesat. Pada tahun 2023, sukuk ESG mencakupi 6.2% daripada jumlah sukuk yang diterbitkan yang berjumlah USD214.9 bilion iaitu peningkatan sebanyak 9% dari tahun ke tahun. Hal ini menunjukkan trend menaik yang kukuh untuk pelaburan mampan di rantau ini.
Pada masa hadapan, bagaimanakah kita boleh mengembangkan ekosistem ini dengan lebih jauh? Pertama, kemudahan dan penawaran terbitan sukuk hijau yang berterusan perlu dipastikan berikutan terdapatnya keperluan kewangan. Sehingga kini, meskipun Malaysia telah membuat banyak terbitan, bahagiannya dalam sukuk hijau dari segi saiz masih kecil iaitu mencakupi hanya 7.5% daripada terbitan sukuk hijau global (Julai 2024: USD25 bilion)[5]. Tambahan lagi, terbitan tersebut hanya tertumpu pada Tenaga Boleh Diperbaharui dan hartanah hijau yang mencakupi lebih 80% daripada jumlah terbitan sukuk hijau setakat tahun 2023. Oleh itu, kita perlu memperluas dan menggalakkan penggunaan sukuk hijau untuk membiayai lebih banyak sektor dalam pelbagai projek hijau seperti pengurusan sisa, infrastruktur berdaya tahan, pembinaan bangunan yang cekap tenaga, penghutanan semula, perlindungan terhadap bencana ekstrem, pertanian mampan dan pemuliharaan biodiversiti. Salah satu pemangkin yang boleh diterokai adalah penubuhan repositori aset hijau yang juga boleh mempercepatkan pembangunan dan terbitan sukuk hijau lantas menyokong kemajuan selanjutnya dalam bidang ini.
Kedua, sokongan kerajaan dan pengawalselia melalui insentif serta pengawalseliaan yang menggalakkan adalah penting bagi menyokong pertumbuhan ini. Belanjawan 2025 sedang dibangunkan dan inilah peluang untuk industri merumuskan dan mengemukakan permintaan dan cadangan khusus berkaitan inisiatif hijau kepada Kerajaan. Selain itu, meja bulat ini juga boleh membincangkan langkah-langkah khusus bagi menggalakkan institusi kewangan Islam, syarikat korporat, dan pengurus aset untuk merangkumkan sukuk hijau dalam mandat pelaburan mereka dan seterusnya menggalakkan urus niaga sekunder untuk sukuk hijau.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pada hari ini dan sesi-sesi seterusnya, saya berharap agar kita akan mendapat perspektif yang baik berhubung kedudukan semasa, apakah yang negara perlu lakukan dalam ruang ini dan bagaimana kita boleh memainkan peranan di dalam perkara ini, Antara buah fikiran yang boleh kita renungkan:
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi'". [Al-Baqarah: ayat 30]
Sokongan orang ramai dan industri kewangan terhadap agenda kelestarian yang bermatlamat untuk memastikan "keamanan dan kemakmuran untuk manusia serta bumi" adalah sangat penting bagi mencapai kejayaan. Sukuk Hijau boleh memainkan peranan utama bagi membantu Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.
Saya berharap Perbincangan Meja Bulat ini dapat menjadi wahana untuk pelbagai pihak berkepentingan dalam pasaran iaitu penerbit, pasukan penstrukturan dan penasihat sukuk di institusi kewangan, pelabur, syarikat penarafan, perunding dan banyak lagi, untuk membincangkan keutamaan dan strategi yang boleh dilaksanakan dalam usaha memajukan lagi pasaran sukuk hijau. Perkara ini sememangnya merupakan sebahagian daripada aspirasi kami, melalui agenda Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC), untuk Malaysia menjadi pintu masuk antarabangsa bagi kewangan Islam.
Akhir kata, saya berharap agar perbincangan ini akan memberikan manfaat dan menghasilkan pertukaran pandangan yang bernilai kepada semua.
Terima kasih.
[1] Bond+Sukuk Information Exchange (BIX)
[2] Sumber: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
[3] Sumber: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
[4] Sumber: Bloomberg Intelligence
[5] Sumber: Bloomberg