Mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format SDDS terkandung dalam Jadual I, II, III dan IV.
- Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual I, aset rizab rasmi berjumlah USD114,848.6 juta, manakala aset mata wang asing lain berjumlah USD2.3 juta pada akhir bulan Januari 2024.
- Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual II, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah USD15,517 juta. Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara. Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak USD23,424.9 juta pada akhir bulan Januari 2024, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang. Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek. Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah USD2,608.2 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang.
- Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan Kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah USD400.9 juta. Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.
Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Januari 2024 tetap boleh guna.
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.