Bank Negara Malaysia dan Bank Indonesia Memperkukuh Kerjasama Dua Hala
Embargo :27 Sep 2024
Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) mengadakan mesyuarat dua hala peringkat tinggi di Jakarta pada 27 September 2024. Kedua-dua bank pusat telah bertukar-tukar maklumat dan pengalaman serta mengadakan perbincangan dasar yang menyeluruh. Perbincangan ini merangkumi perkembangan makroekonomi, monetari dan kewangan, sistem pembayaran dan pendigitalan, serta strategi untuk memajukan kewangan Islam. Libat urus yang erat ini mencerminkan kerjasama yang sekian lama antara kedua-dua bank pusat serta komitmen yang padu untuk terus mengukuhkan lagi kerjasama yang saling memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Pada mesyuarat dua hala ini, Gabenor BNM Dato¡¯ Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor BI Perry Warjiyo menandatangani pembaharuan Perjanjian Swap Mata Wang Tempatan Dua Hala (Local Currency Bilateral Swap Agreement, LCBSA). LCBSA ini membolehkan pertukaran mata wang tempatan bernilai hingga RM24 bilion/IDR82 trilion dibuat oleh kedua-dua bank pusat untuk tempoh lima tahun. Hal ini susulan perjanjian pertama yang dimeterai pada tahun 2019 dan seterusnya diperbaharui pada tahun 2022. LCBSA ini mencerminkan usaha yang berterusan dalam kerjasama perbankan pusat bagi memperkukuh daya tahan kedua-dua negara, dan pada masa yang sama menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan.
Gabenor BNM Dato¡¯ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ¡°Memandangkan hubungan perdagangan dan kewangan yang semakin erat antara Malaysia dengan Indonesia, kami berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Bank Indonesia melalui pembaharuan LCBSA. LCBSA ini menyokong Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (Local Currency Settlement Framework, LCSF) antara kedua-dua negara yang terus menjadi penggerak utama bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan dalam mata wang tempatan.¡±
Gabenor BI Perry Warjiyo berkata, ¡°Bank Indonesia percaya bahawa penambahbaikan LCBSA dengan BNM mencerminkan kepentingan kerjasama antarabangsa sebagai sebahagian daripada gabungan dasar Bank Indonesia yang menyokong dasar-dasar utama dalam bidang monetari, kehematan makro serta sistem pembayaran, dan pada masa yang sama menyumbang kepada pembangunan mata wang tempatan dalam transaksi dua hala.¡±
Bank Negara Malaysia
Bank Indonesia
27 September 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.