Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menerbitkan Laporan Tahunan 2023 (Annual Report 2023, AR 2023), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 (Eonomic and Monetary Review 2023, EMR 2023) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023 (Financial Stability Review Second Half 2023, FSR 2H 2023).
Laporan Tahunan 2023
AR 2023 memperincikan inisiatif utama BNM dalam memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan pada tahun 2023. Laporan ini juga menyediakan membentangkan laporan tentang operasi dan sumber yang membolehkan BNM berfungsi dengan berkesan dan cekap.
Sorotan AR 2023:
-
Ekonomi Malaysia terus kukuh dan berdaya tahan pada tahun 2023. Meskipun keadaan persekitaran luaran mencabar, KDNK meningkat sebanyak 3.7%. Dalam keadaan kelembapan ekonomi global dan tekanan inflasi dalam negeri, BNM mempertimbangkan dan menguruskan keseimbangan dasar yang kompleks dan kebergantungan antara inflasi, pertumbuhan dan memelihara keyakinan terhadap ringgit.
-
Usaha BNM untuk memastikan aktiviti pengantaraan kewangan menyokong agenda pembaharuan ekonomi adalah dengan memberikan tumpuan khusus pada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), melalui ciri-ciri dana khas yang ditambah baik dan inisiatif kewangan sosial yang dipertingkatkan.
-
Usaha untuk memajukan pengantaraan berasaskan nilai dan menggalakkan penyelesaian oleh industri kewangan Islam untuk memenuhi permintaan bagi kewangan hijau dan lestari.
-
BNM meneruskan usaha untuk meningkatkan daya tahan iklim dan menguruskan risiko berkaitan iklim dalam sektor kewangan. Usaha ini bertujuan untuk menyokong institusi kewangan dan peralihan sektor benar kepada ekonomi yang lebih lestari, sejajar dengan dasar dan strategi negara. BNM juga terus mencapai kemajuan dalam usaha menyepadukan risiko berkaitan iklim ke dalam pengawalan dan penyeliaan kehematan.
-
Membanteras penipuan kewangan dalam talian kekal menjadi tumpuan utama. BNM bekerjasama rapat dengan industri kewangan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk meningkatkan pengesanan dana, mengekang aliran dana penipuan serta meningkatkan kesedaran mengenai taktik penipuan dan panduan pencegahan terkini.
-
BNM melancarkan Rangka Kerja Rangkuman Kewangan 2023-2026 yang menggariskan strategi untuk terus merapatkan jurang akses kepada perkhidmatan kewangan yang berkualiti dan mampu milik untuk semua.
-
Program pengawalan dan penyeliaan penting telah dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan sistem kewangan menghadapi kejutan. BNM memantapkan keperluan amalan pasaran oleh institusi kewangan untuk memperkukuh tanggungjawab mereka bagi melindungi kepentingan pengguna, terutamanya apabila berurusan dengan pengguna yang mudah terjejas. BNM juga sedang meningkatkan kesiapsiagaan sektor kewangan untuk menghadapi krisis melalui perancangan pemulihan dan penyelesaian serta latihan simulasi.
Lapan rencana dipaparkan dalam AR 2023:
-
DuitNow QR: Memupuk Pembayaran Digital yang Inklusif
-
iTEKAD: Pendekatan Ekosistem dalam Memperluas Kewangan Sosial
-
Merealisasikan Visi Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI): Lima Tahun Selepas Pengenalan
-
Memperibadikan Perkhidmatan Kewangan: Menggalakkan Layanan Adil terhadap Pengguna yang Mudah Terjejas
-
Menyokong PKS dalam Peralihan Hijau
-
Pendekatan Penguatkuasaan BNM dan Penzahiran Tindakan Penguatkuasaan
-
Di Sebalik Tabir Perumusan Dasar Monetari Bank Negara Malaysia
-
Menggalakkan Penyelesaian Mata Wang Tempatan Rentas Sempadan
AR 2023 juga berkongsi maklumat tentang Penyata Kewangan Diaudit BNM bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. Seperti yang diaudit dan diperakui oleh Ketua Audit Negara, kedudukan kewangan BNM kekal stabil pada tahun 2023. Aset BNM berjumlah RM631.26 bilion pada 31 Disember 2023. Keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM7.16 bilion dicatatkan bagi tahun kewangan 2023 dan RM4.31 bilion telah dipindahkan ke dalam Rizab Risiko BNM. BNM telah mengisytiharkan dividen sebanyak RM2.85 bilion kepada Kerajaan bagi tahun kewangan 2023.
Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023
Tinjauan Ekonomi dan Monetari mengemukakan penilaian dan unjuran ekonomi BNM.
Sorotan EMR 2023:
-
Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4% hingga 5% pada tahun 2024. Pertumbuhan ini akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan peningkatan permintaan luaran.
-
Inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 2% hingga 3.5% pada tahun 2024 dalam keadaan tekanan kos yang terkawal berikutan keadaan bekalan global yang semakin reda. Prospek inflasi kekal tinggi tertakluk pada risiko inflasi yang meningkat disebabkan oleh potensi pelarasan harga terhadap barangan makanan dan tenaga, serta tekanan luaran daripada kadar pertukaran dan perkembangan harga komoditi global.
-
Keadaan monetari dan kewangan domestik kekal kondusif bagi pengantaraan kewangan. Bekalan kredit akan disokong oleh kesediaan institusi kewangan yang berterusan untuk memberikan pinjaman berikutan sistem perbankan yang kukuh dan pasaran modal yang mantap. Di samping itu, keadaan ekonomi dan pasaran pekerja yang bertambah baik akan menyokong permintaan kredit.
-
Dasar monetari BNM akan terus berpandangan ke hadapan dengan memberi tumpuan pada trajektori pertumbuhan dan inflasi.
-
Meskipun asas-asas ekonomi Malaysia adalah kukuh dan prospek pertumbuhannya adalah positif, paras ringgit semasa berada di bawah nilai saksama.
-
Berikutan perkara ini dan selain menjalankan operasi pertukaran asing, BNM telah terlibat secara aktif dengan syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies, GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (government-linked investment companies, GLIC) untuk menggalakkan pendapatan pelaburan asing dibawa balik dan ditukarkan dengan lebih konsisten kepada ringgit. Pada masa yang sama, BNM juga memantau trend pemegangan mata wang asing oleh syarikat korporat, pengeksport dan pengimport Malaysia. Tindakan ini menyumbang kepada hasil yang positif. BNM telah memerhatikan aliran dan minat pasaran terhadap pembelian ringgit semakin meningkat.
-
Pada masa hadapan, pasaran kewangan menjangka ringgit terus menambah nilai dalam tahun 2024 dan trend penambahan nilai ini akan berterusan berikutan kesan faktor global menjadi semakin reda. Beberapa penganalisis telah membuat unjuran sehingga tahun 2025 dan menilai ringgit akan terus kukuh.
EMR 2023 memaparkan empat buah rencana:
-
Inflasi Asas pada Terasnya
-
Mengendalikan Kitaran Ekonomi: Interaksi antara Dasar Monetari dengan Dasar Fiskal
-
Keperluan Pembaharuan Pasaran Pekerja di Malaysia: Cabaran dan Peluang
-
Ringgit dalam Perspektif
Tinjauan Kestabilan Kewangan Bagi Separuh Kedua 2023
Tinjauan Kestabilan Kewangan merupakan penerbitan dwitahunan yang memperincikan penilaian risiko dan prospek kestabilan kewangan domestik oleh BNM.
Sorotan FSR ST2 2023:
-
Walaupun terdapat ketidaktentuan global, pasaran kewangan domestik kekal teratur dengan pengantaraan berterusan aliran dua hala dalam pasaran bon dan ekuiti.
-
Secara keseluruhan, keupayaan membayar hutang oleh perniagaan dan isi rumah kekal kukuh. Trend prestasi pinjaman yang berkembang berada dalam jangkaan institusi perbankan.
-
Ujian tekanan terkini yang dijalankan oleh BNM mengesahkan daya tahan institusi kewangan terhadap kerugian yang tidak dijangka yang disebabkan oleh kejutan makroekonomi dan kewangan yang teruk. Perkara ini akan terus menyokong keupayaan institusi kewangan untuk memenuhi keperluan pembiayaan dan perlindungan isi rumah dan perniagaan.
-
Pengukuhan operasi dan daya tahan siber tetap menjadi keutamaan BNM dan institusi kewangan. BNM terus menghendaki institusi kewangan mematuhi standard keselamatan siber (cyber hygiene) yang kukuh. BNM juga telah mengambil langkah untuk mengukuhkan kerjasama dengan rakan usaha sama tempatan dan antarabangsa melalui perkongsian risikan ancaman siber yang lebih tepat pada masanya.
Empat buah rencana dipaparkan dalam FSR ST2 2023:
-
Kemajuan dalam Pengukuhan Amalan Pengurusan Risiko Iklim
-
Risiko Penularan daripada Aktiviti Institusi Kewangan Bukan Bank
-
Kepentingan Memperkukuh Pengawalan dan Penyeliaan Risiko Mudah Tunai di Malaysia
-
Banjir dan Kewangan: Membina Daya Tahan Perniagaan di Malaysia
Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, "Prospek negara adalah baik. BNM mempunyai sebab untuk berhati-hati dalam menjangkakan keadaan yang lebih baik sepanjang tahun ini. Terdapat juga peluang yang baik untuk melaksanakan pembaharuan struktur yang sangat penting. Dengan mengambil tindakan tegas dan secara kolektif, BNM boleh memanfaatkan pemulihan ekonomi Malaysia yang teguh dan berdaya tahan selepas COVID-19 dan menentukan hala tuju bagi pertumbuhan dan kemakmuran yang berterusan. Walaupun mungkin terdapat cabaran pada proses peralihan ini, pembaharuan ini merupakan pelaburan untuk masa hadapan ke arah kemakmuran rakyat dan negara."
Untuk butiran lanjut mengenai laporan-laporan ini, sila kunjungi www.bnm.gov.my/AR2023.
Lihat juga:
Bank Negara Malaysia
20 Mac 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.