Ucapan & Wawancara
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Pilih mengikut tahun
Pilih mengikut Penyampai
Ucapan Pembukaan oleh Penolong Gabenor Dr. Norhana Endut
di Majlis Sorotan Laporan Bersama Bank Dunia-BNM
"Managing Flood Risks ¨C Leveraging Finance for Business Resilience in Malaysia"
27 Mei 2024 | Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
Saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran anda ke majlis penting ini untuk menyorot dapatan daripada laporan bersama oleh Bank Dunia dan Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertajuk "Managing Flood Risks ¨C Leveraging Finance for Business Resilience in Malaysia".
Hari ini kita hidup dalam era yang penuh dengan ketidakpastian, iaitu ketidakpastian geopolitik yang semakin meningkat, ketidakpastian yang tinggi tentang hala tuju pertumbuhan dan perdagangan global serta ketidakpastian yang semakin ketara dari segi alam sekitar dan iklim. Kita sering diberitahu bahawa dalam era ketidakpastian, cara terbaik untuk maju ke hadapan adalah dengan membina daya tahan. Oleh itu, perbincangan hari ini amat penting, dan saya harap perbincangan ini meningkatkan lagi sumbangan kepada matlamat membina daya tahan.
Dari segi iklim, membina daya tahan iklim menekankan pentingnya memiliki keupayaan untuk menjangka, bersedia dan bertindak balas terhadap kejadian berbahaya. Ancaman dan arus perubahan iklim yang semakin meruncing, khususnya peningkatan kekerapan dan intensiti banjir, merupakan risiko utama terhadap fungsi ekonomi kita. Kejadian banjir ini bukan lagi kejadian terpencil; malah telah menjadi semakin kerap, semakin serius dan semakin meluas. Dalam erti kata lain, apabila perubahan iklim terus berlaku, risiko fizikal berkaitan iklim bukan lagi kejadian yang mempunyai kebarangkalian rendah dan berimpak tinggi, sebaliknya telah menjadi kejadian yang kebarangkaliannya tinggi dan berimpak tinggi.
Oleh itu, Kerajaan perlu menjangka peralihan ini dan sentiasa bersedia untuk menghadapi senario risiko yang lebih besar yang berpunca daripada kejadian pada masa hadapan dan bukan sekadar membayangkan ulangan kejadian masa lalu. Berlatarkan keadaan ini, dan menjelang penyediaan Pelan Adaptasi Kebangsaan Malaysia, Bank Dunia dan BNM telah membuat analisis kesan banjir terhadap ekonomi negara.
Meskipun laporan ini menyorot beberapa dapatan penting, izinkan saya untuk berkongsi tiga pandangan yang saya fikirkan sesuai untuk perbincangan pada hari ini. Pertama, dengan membuat andaian bahawa usaha adaptasi tidak lagi dilaksanakan pada hari ini, penilaian mendapati bahawa ada kemungkinan kejadian banjir besar pada tahun 2030 akan memberikan impak ketara terhadap ekonomi dalam negeri.
Kedua, laporan ini mengesahkan dapatan kajian terdahulu bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan tulang belakang ekonomi negara, akan lebih terjejas akibat banjir. PKS bukan sahaja sering kekurangan sumber dan pengetahuan untuk menguruskan risiko banjir dengan berkesan, yang boleh menyebabkan gangguan operasi, kerugian kewangan dan juga penutupan perniagaan; malah PKS turut menghadapi halangan yang lebih besar bagi mendapatkan pembiayaan sebelum kejadian banjir untuk membuat pelaburan berhubung dengan daya tahan banjir, serta untuk pulih selepas kejadian banjir.
Ketiga, dapatan laporan ini mendedahkan bahawa kesan banjir boleh dikurangkan dengan ketara menerusi tindakan sektor swasta, iaitu terutamanya dengan melabur dalam daya tahan rantaian bekalan. Tindakan ini boleh memberikan perlindungan yang berkesan kepada perniagaan terhadap kesan banjir.
Berdasarkan dapatan ini, kita juga boleh membuat kesimpulan secara umum bahawa; pertama, meskipun kita semakin dapat membuat penyesuaian dengan realiti perubahan iklim, seperti melabur dalam infrastruktur tebatan banjir dan memupuk kesedaran masyarakat, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengekalkan daya tahan ekonomi negara secara berterusan.
Langkah intervensi yang meluas diperlukan dalam persediaan untuk kejadian masa hadapan yang dijangka memberikan kesan yang lebih nyata kepada ekonomi. Beberapa bidang utama yang boleh diberikan tumpuan oleh Malaysia termasuk mempertingkatkan perancangan dan pelaburan jangka panjang dalam bidang adaptasi dan daya tahan. Kajian terkini oleh Vinod Thomas berdasarkan penyelidikan mengenai banjir selama tiga dekad menunjukkan bahawa meskipun usaha menjadikan sesuatu infrastruktur kalis bencana akan meningkatkan beban fiskal dalam jangka masa terdekat, langkah ini hanya menambah kos sebanyak kurang daripada satu persepuluh berbanding kos membina semula infrastruktur baharu[1].
Intervensi lain termasuk memastikan ketersediaan dan kebolehcapaian data banjir yang komprehensif untuk analisis dan sistem amaran awal yang lebih baik, serta penyediaan sokongan bersasar untuk golongan yang paling mudah terjejas.
Kedua, memandangkan pentingnya membina daya tahan, maka dasar dan inisiatif pencegahan perlu disepadukan dari awal lagi. Langkah ini bukan sahaja dari segi menjadikan infrastruktur kalis bencana dan penyediaan sistem tindak balas bencana, tetapi juga untuk menerapkan kedua-duanya secara strategik dalam strategi dan pelan hala tuju pembangunan negara, yang merangkumi penelitian terhadap ekosistem ekonomi negara seperti pengukuhan rantaian bekalan ekonomi.
Ketiga, dasar dan inisiatif pencegahan ini mesti dilengkapi sokongan daripada sektor kewangan. Sektor kewangan berperanan sebagai pemangkin dalam perjalanan kolektif kita ke arah Malaysia yang berdaya tahan terhadap banjir. Sektor kewangan mempunyai keupayaan untuk menggembleng modal, membangunkan penyelesaian kewangan yang inovatif dan memberikan insentif bagi amalan yang mengurangkan risiko dalam kalangan perniagaan.
Dengan menawarkan penyelesaian insurans dan takaful yang disesuaikan, pilihan pembiayaan yang boleh diakses untuk langkah tebatan banjir dan program pembinaan keupayaan yang bersasar, sektor kewangan boleh memperkasakan perniagaan untuk menjangka, menyerap dan membuat penyesuaian dengan lebih baik terhadap kejutan banjir. Oleh itu, sangat penting bagi pembuat dasar untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi hal ini. Sektor kewangan juga sangat perlu membangunkan dan menggunakan penyelesaian kewangan yang inovatif bagi memenuhi keperluan khusus perniagaan Malaysia.
Langkah-langkah tersebut adalah sebahagian daripada ringkasan pandangan saya berkenaan dengan isu ini. Saya pasti semua yang disebut dan banyak lagi perkara akan dibincangkan secara mendalam pada pagi ini. Sebelum saya mengakhiri ucapan, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan penghargaan kepada hadirin sekalian yang telah menyumbangkan data, pandangan dan pengalaman yang tidak ternilai pentingnya kepada analisis dan hasil laporan ini.
Harapan saya adalah supaya dapatan dan pemahaman daripada laporan ini akan menjadi asas penting untuk perbincangan dasar, membentuk tindakan semua pihak berkepentingan dan ejen ekonomi, dan akhirnya menyumbang ke arah meningkatkan daya tahan ekonomi Malaysia terhadap kejadian risiko fizikal berkaitan iklim pada masa hadapan.
Semoga kita semua akan memperoleh manfaat daripada semua perbincangan selepas ini.
Terima kasih.
[1] Thomas, V. (2023). Risk and resilience in the era of climate change. Springer Nature Singapore Palgrave Macmillan.